Penjara tahanan Palestin akan dikelilingi buaya - Utusan Malaysia

Penjara tahanan Palestin akan dikelilingi buaya

GAMBAR fail sebuah kawasan penjara Israel di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel telah mengambil langkah dari sudut perundangan ke arah me­nempatkan tahanan Palestin di dalam penjara yang dikeli­lingi dengan parit mengandungi buaya.

Menurut laporan media berbahasa Ibrani pada Khamis, cadangan kontroversi itu sebelum ini dikemukakan oleh Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir.

Menurut saluran televisyen Channel 7 Israel, Menteri Perlindungan Alam Sekitar, Idit Silman telah menandatangani satu perintah yang mengklasifikasikan semula buaya sebagai haiwan liar yang boleh diuruskan.

Perintah itu, sekali gus membolehkan agensi kerajaan, termasuk Perkhidmatan Penjara Israel, memelihara haiwan itu di premis mereka di bawah syarat-syarat tertentu.

Langkah itu menghapuskan halangan utama dari segi undang-undang yang sebelum ini menghalang pelaksanaan cadangan tersebut.

Ini kerana buaya sebelum ini diklasifikasikan sebagai haiwan liar yang dilindungi dan hanya boleh dipelihara di zoo yang mempunyai lesen.

Sementara itu, saluran te­levisyen Channel 13 melaporkan bahawa perubahan undang-undang tersebut dibuat selepas Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Israel membantah projek itu, yang digelar media Ibrani sebagai penjara buaya.

Ben-Gvir mengemukakan cadangan itu kira-kira enam bulan lalu dengan mencadangkan pembinaan penjara berkeselamatan tinggi yang dikelilingi parit dipenuhi buaya sebagai langkah menghalang cubaan melarikan diri oleh tahanan Pa­lestin.

Menurut Channel 7, Perkhidmatan Penjara Israel memulakan penilaian terhadap keboleh­laksanaan projek itu, termasuk mengadakan lawatan ke beberapa zoo bagi mengkaji kaedah pengendalian dan keperluan penjagaan buaya.

Laporan itu menyatakan pihak berkuasa percaya penggunaan parit dipenuhi buaya berpotensi mengurangkan kos kawalan keselamatan selain memperkukuh tahap keselamatan penjara.

Seekor buaya muda dianggarkan berharga sekitar AS$8,000 (RM32,634). Harga buaya dewasa boleh mencecah AS$20,000 (RM81,587).

Setakat ini, Perkhidmatan Penjara Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung cadangan itu  atau lokasi pelaksanaannya.

Kira-kira 9,500 rakyat Palestin kini ditahan di penjara Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak. 

Pertubuhan hak asasi Palestin dan Israel mendakwa, tahanan berdepan layanan buruk, termasuk kebuluran, penyeksaan dan pengabaian rawatan yang mengakibatkan puluhan kematian. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN