Sepanjang 2018 hingga Oktober 2021, sebanyak 69,205 perceraian dengan sebahagian besar suami didapati menyalah guna kuasa talak.
Exco Literasi Undang-undang dan Syariah, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Siti Razasah Abd. Razak merungkai perkara harus difahami dan ditekankan oleh setiap pasangan berhubung lafaz cerai di luar mahkamah bersama Seri.
SERI: Apakah tindakan perlu dilakukan pasangan sekiranya talak dilafazkan di luar mahkamah?
Dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh lafaz talak tersebut, salah satu pihak perlu ke mahkamah dan memfailkan permohonan pengesahan lafaz talak di luar mahkamah itu.
SERI: Proses perlu dilalui selepas permohonan pengesahan lafaz cerai tersebut difailkan?
Dalam tempoh 21 hari daripada tarikh permohonan pengesahan lafaz talak difailkan, pihak terbabit dikehendaki hadir ke mahkamah untuk siasatan atau perbicaraan.
Jika lafaz talak tersebut sah mengikut hukum syarak, mahkamah akan membuat perintah membenarkan perceraian dengan talak, merekodkan perceraian tersebut dan menghantar salinan rekod perceraian itu kepada Pendaftar Unit Nikah Cerai Rujuk (UNCR) daerah.
Salah satu pihak perlu ke UNCR untuk membuat permohonan dan membuat bayaran bagi mendaftarkan perceraian. Biasanya selepas tujuh hari daripada salinan rekod perceraian tersebut didaftarkan di UNCR, dan Sijil Cerai boleh diambil.
SERI: Hukuman pada suami lafaz luar mahkamah?
Suami boleh didakwa atas dua kesalahan:
1. Menceraikan isteri dengan lafaz talak di luar dan tanpa kebenaran mahkamah.
2. Jika lewat daripada tujuh hari melaporkan talak tersebut boleh didakwa sengaja cuai atau tidak membuat laporan.
Kesalahan ini masing-masing boleh di denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
SERI: Apa tindakan perlu diambil kalau suami enggan ke mahkamah?
Isteri boleh memfailkan kes pengesahan lafaz dengan membawa saksi yang melihat dan mendengar kejadian lafaz tersebut di hari perbicaraan. Kalau tiada saksi, suami tidak dapat dikesan dan lafaz tidak disabitkan sah oleh mahkamah. Bagi isteri digantung tidak bertali, isteri boleh bubarkan perkahwinan secara taklik, fasakh ataupun khulu’.
SERI: Pilihan lain selain menunggu suami lafaz cerai?
Undang-undang ada peruntukan dan pilihan kepada wanita membubarkan perkahwinan atau bercerai secara taklik atau fasakh tanpa perlukan kehadiran suami ke mahkamah.









