MELAKA: Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar Masjid Tanah dilanda banjir, sekali gus memaksa pembukaan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah sehingga pukul 5.00 petang ini.
Di daerah Alor Gajah, PPS PERKIM Masjid Tanah dibuka pada pukul 2 petang bagi menempatkan lima keluarga dan 15 mangsa yang terjejas akibat limpahan air banjir.
Sementara itu, di daerah Melaka Tengah, dua lagi PPS turut dibuka iaitu di SJK (C) Bertam Ulu pada pukul 3.10 petang dan JAPERUN Pantai Kundur pada pukul 3.27 petang.
Bagaimanapun, kedua-dua PPS tersebut masih dalam proses pendaftaran mangsa setakat pukul 5.00 petang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Alor Gajah, Kapten (PA) Sharulnizam Mad Shah berkata, hujan lebat yang bermula sekitar pukul 6 pagi telah menyebabkan paras air sungai dan parit meningkat sebelum melimpah ke kawasan penempatan penduduk di kawasan rendah.
“Setakat pukul 5 petang, seramai 15 mangsa daripada lima keluarga telah dipindahkan ke PPS PERKIM Masjid Tanah. Mangsa yang terlibat adalah dari Taman Ria Masjid Tanah, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah dan Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










