KANSAS CITY: Kapten Switzerland, Granit Xhaka menggesa penyokong negaranya supaya terus bermimpi menjelang pertembungan suku akhir Piala Dunia 2026 menentang juara bertahan, Argentina yang diketuai Lionel Messi, esok.
Pemain tengah Sunderland itu berkata, impian terbesar Switzerland ketika ini adalah menyingkirkan Argentina, sekali gus melakar sejarah mara ke separuh akhir buat kali pertama.
“Bagi penyokong, teruskan bermimpi. Saya seorang yang sentiasa percaya kepada impian dan impian boleh menjadi kenyataan.
“Namun, untuk merealisasikannya, kami perlu bekerja keras, berpeluh dan memberikan 100 peratus. Kadangkala anda juga perlu melakukan sesuatu di luar kebiasaan serta melangkaui kemampuan sendiri jika mahu menewaskan Argentina. Saya yakin pasukan ini sudah bersedia,” katanya pada sidang media praperlawanan di Kansas City.
Sudah dijangka, tumpuan utama sidang media di Stadium Arrowhead terarah kepada Messi yang kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol.
Jurulatih Switzerland, Murat Yakin menegaskan pasukannya mempunyai pelan tersendiri untuk mengekang pengaruh kapten Argentina itu walaupun mengakui ia bukan tugas mudah.
“Esok kami akan bermain sebagai satu pasukan. Kami mahu menguasai bola, melakukan tekanan tinggi ke atas Argentina selaku juara bertahan.
“Kami boleh bercakap apa sahaja di luar padang, tetapi yang paling penting ialah apa yang dipamerkan ketika perlawanan. Kami mempunyai penyelesaian sendiri,” katanya.
Xhaka pula mengakui hampir mustahil untuk mematikan terus pergerakan Messi sepanjang 90 minit, namun percaya disiplin taktikal mampu mengehadkan ancaman pemain legenda itu.
“Mustahil untuk menghentikannya sepanjang perlawanan kerana dia pemain yang luar biasa. Apa yang penting kami perlu bermain dengan bijak, kekal kompak, menutup ruang dan tidak memberinya terlalu banyak peluang.
“Apabila kami menguasai bola, dia juga tidak akan mempunyai banyak ruang untuk memberi impak kepada permainan,” katanya.
Bekas pemain Arsenal dan Bayer Leverkusen itu menyifatkan aksi menentang Argentina sebagai antara detik paling bermakna sepanjang kariernya.
“Selepas 72 tahun, dapat membawa Switzerland kembali ke pentas suku akhir dan berdepan juara bertahan membuatkan saya amat bangga.
“Tetapi saya bukan datang sekadar untuk bercakap. Kami mahu melangkah lebih jauh. Kami sudah semakin hampir dan saya benar-benar dahagakan kejayaan itu.
“Kami lapar untuk menang, sudah membuat persiapan rapi dan kini hanya perlu membuktikan mentaliti kami di atas padang. Saya yakin kami mampu menyusahkan Argentina,” katanya.
Dalam pada itu, Yakin menolak dakwaan bahawa Argentina menerima layanan istimewa daripada pengadil sepanjang kejohanan, susulan bantahan yang dikemukakan Mesir selepas tewas kepada pasukan Amerika Selatan itu pada pusingan 16 terbaik.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan anak buahnya supaya bersedia menghadapi corak permainan Argentina yang agresif dan penuh intensiti.
“Argentina sebuah pasukan yang sangat bijak. Mereka kuat dalam setiap perebutan bola, bermain dengan penuh semangat dan tidak gentar melakukan terjahan.
“Jika kami gagal bertahan dengan baik, kami tidak akan menang. Namun saya yakin kami sudah benar-benar bersedia,” katanya.
Switzerland bagaimanapun sekali lagi tidak dapat menurunkan pemain tengah muda, Johan Manzambi yang masih dibelenggu kecederaan.
Pemain Freiburg yang dikaitkan dengan perpindahan ke Newcastle United itu turut terlepas aksi pusingan 16 terbaik menentang Colombia yang dimenangi Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti.
“Kami sudah melakukan segala yang termampu untuk memastikan dia kembali cergas, namun malangnya dia masih belum bersedia untuk diturunkan,” kata Yakin.-AGENSI










