BATU PAHAT: Peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencatat 67.44 peratus setakat pukul 5 petang dengan pengundian berbaki kira-kira 15 minit lagi sebelum pusat mengundi ditutup pukul 6 petang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, seramai 1,809,642 orang daripada lebih dua juta pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka sejak pukul 8 pagi tadi.
Menurutnya, peratusan keluar mengundi itu melebihi PRN Johor 2022 sebanyak 53.13 peratus untuk tempoh sama.
“Tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi setakat ini iaitu Sri Medan, Semarang dan Sedili.
“DUN Perling, Stulang dan Bekok pula mencatat peratusan keluar mengundi terendah,” katanya.
Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun menjangkakan sebanyak 70 peratus atau 1.8 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN Johor ke-16 ini.
Katanya, jangkaan peningkatan keluar mengundi berbanding PRN 2022 itu didorong oleh peningkatan minat masyarakat untuk terlibat dalam proses demokrasi di Johor. – UTUSAN










