Sihat, tenang dan bahagia, itu sahaja yang saya mahukan – Elyana - Utusan Malaysia

Sihat, tenang dan bahagia, itu sahaja yang saya mahukan – Elyana

Elyana mengakui suami dan anak-anak menjadi punca kekuatan bagi dirinya menjalani hidup yang penuh dugaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPULUH tahun bertarung dengan ‘jahatnya’ penyakit kanser, untuk sesiapa sekali pun, berita mengenai kesembuhan dan bebas daripada penyakit itu tentulah adalah satu keajaiban yang paling dinanti-nantikan.

Begitu juga dengan penyanyi dan pelakon, Elyana, yang sebelum ini dibelenggu dengan derita itu.

Sungguh, perasaan tidak percaya itu seakan sukar dibuang dari dalam hati memandangkan cukup lama dia bertarung dengan kesakitan itu yang baginya, mungkin tiada petanda baik untuk sembuh di awalnya.

“Perasaan tidak mahu mengharap itu sudah lama tertanam dalam hati. Takut tidak dapat sembuh kerana sudah 10 tahun berusaha melawan kanser limfoma. Yang selalu saya panjatkan pada Allah SWT cuma mahu kekuatan untuk teruskan kehidupan.

“Tetapi, suatu hari, datang khabar gembira daripada doktor yang merawat. Dia khabarkan yang kanser saya sudah hilang. Masa itu, memang rasa macam tak percaya. Suami yang ada bersama menemani di hospital juga rasa macam tak percaya.

“Ya Allah, terasa seakan mimpi. Bayangkan, apa yang kami doakan selama ini telah menjadi kenyataan, ia dah berlaku! Sepuluh tahun saya ambil masa untuk menantikan saat ini!” katanya.
Mengaku sangat sebak dengan berita tersebut. Elyana tidak menolak terdetik rasa di hati bahawa mungkin inilah yang dikata orang, kesabaran dalam setiap ujian, pasti akan membuahkan rasa manis di penghujungnya.

“Ia bagaikan satu pelangi buat saya. Walaupun masih lagi perlu menjalani rawatan kemoterapi di hospital untuk beberapa sesi, tetapi ia sudah cukup untuk membuatkan saya rasa sangat bahagia,” katanya.

Kongsi Elyana lagi, sebenarnya, dalam hidup ini, terlalu banyak impian yang ingin dicapai tetapi yang terbayang di mata, cuma kelibat wajah anak-anaknya.

Kata penyanyi ini, apa yang diinginkannya sebagai seorang ibu adalah, memberikan segala kasih sayang dan kebahagiaan buat anak-anak namun dengan keadaan diri sebelum ini, ada had yang terpaksa dirinya akur.

“Setiap apa yang kita fikirkan, kita katakan dan doakan, semua itu harus kita lakukan dengan sebaiknya. Saya selalu mimpikan nak hidup lama sebab nak temankan anak sampai mereka besar dan sampai ada orang yang boleh betul-betul menjaga mereka.

“Saya nak ada orang yang boleh jaga mereka macam saya jaga mereka. Ternyata, Allah SWt beri peluang itu buat saya nikmati. Selain itu, saya nak sihat kerana nak beri inspirasi kepada orang yang melawan kanser.

“Saya akan rasa gembira jika boleh menggembirakan dan memberi inspirasi pada mereka kerana sekali gus ia membuatkan saya rasa kuat. Ia bagaikan satu putaran roda dan saya percaya perkara yang baik pasti akan berbalik juga kepada kita,” katanya.

Isi hati suami
Sempat menebak pertanyaan kepada suaminya, Khairul Anuar Husin, dia adalah orang penting yang bertanggungjawab membawa khabar gembira itu kepada anak mereka, Cinta Sumayyah saat pulang ke rumah pada hari yang sama Elyana mendapat berita itu.

Menurut Khairul, Cinta saat dimaklumkan, pada awalnya juga seakan tidak percaya namun turut teruja dengan berita baik tersebut.

“Cinta tanya, bila bonda boleh balik? Lama lagikah? Bila saya beritahu berita tersebut, dia pun melompat kegembiraan siap berjoget. Tak sabar dia nak bertemu bondanya sampai nak ikut pergi ke hospital.

“Tapi dalam pada itu, dia sehingga kini pun asyik bertanya, betulkah bonda sudah bebas kanser? Sebab dia fikir kami berdua tipu,” katanya.

Sempat mencelah, kata Elyana, Cinta adalah orang yang sentiasa inginkan keajaiban ini terjadi kerana dia pernah meluahkan rasa ingin melihat dirinya sihat sebagaimana ibu-ibu teman sepermainannya yang lain.

“Dia pernah tanya, kenapa saya tak boleh jadi macam ibu yang normal? Maksudnya, ibu yang tak sakit, boleh teman dia ke sana ke mari, pergi hotel temannya pergi kolam renang dan bermain. Iyalah, saya selalu sakit dan banyak berehat di bilik, tak boleh temankan dia.

“Pergi sekolah pun mak orang lain yang temankan sebab saya minta tolong kawan-kawan kalau terpaksa ke hospital. Jadi inilah berita yang dia paling nanti-nantikan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul mengaku, bukan mudah baginya sebagai seorang suami untuk menerima takdir pada awalnya namun tetap berpegang pada janji yang telah dibuat saat kedua-dua mereka sah bergelar suami isteri, 12 tahun lalu.

“Saya sudah janji masa akad nikah yang saya akan menjaga dia. Selagi boleh, kita jaga. Bukan cuma tanggungjawab, tapi sebab janji yang dibuat itu bukan pada manusia, tetapi kepada Yang Maha Pencipta. Janji kena ditunaikan.

“Mungkin, saya sendiri terlalu sayangkan dia. Macam sesetengah orang lain mungkin masih punya ibu bapa, tapi saya cuma ada dia dan anak-anak. Jadi, selagi ada daya dan kemampuan, saya akan menjaga keluarga ini,” katanya.

Sudah puas dengan kesibukan
Elyana tidak menolak, apabila dia memaklumkan dirinya kini sudah bebas kanser, ramai yang bertanya sama ada dia ingin kembali aktif bekerja dalam industri sebagaimana satu ketika dahulu.

Pun begitu, mungkin jawapan yang diberikan akan menyebabkan peminat berasa kecewa lantaran kata Elyana, dia tidak mahu terlalu fokus kepada kesibukan kerja dan nyanyian misalnya.

“Sudah tak ada lagi hal yang mahu saya kejar. Saya cuma nak kesihatan yang baik, kebahagiaan dan ketenangan. Kalau ada kerja, saya anggap itu rezeki. Tidak mahu memaksa. Saya ini sudah bekerja sejak berusia 13 tahun dan masuk tahun ini sudah 22 tahun berada dalam industri.

“Dah puas sibuk dengan kerja, penggambaran, pakai cantik-cantik, bersolek mampan. Yang saya mahukan sekarang cuma kebahagiaan bersama keluarga. Sekarang cuma nak cipta memori indah bersama orang tersayang, dengan anak-anak.

“Saya tak nak mereka membesar cuma mengingati kesakitan saya sebaliknya mahu mereka lihat ibunya seorang yang kuat, yang memberi inspirasi pada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, kata Elyana, mungkin dia akan mempertimbangkan usaha untuk menghasilkan sebuah single baru tidak lama lagi.

Katanya, ia adalah bagi mengenang dan menghargai sokongan peminat-peminat yang sentiasa memberinya semangat untuk terus kuat dan hidup.

“Lagu itu sebenarnya sudah ada, cuma saya tengah fikir bila masa yang sesuai untuk keluarkan. InsyaAllah dalam tahun ini juga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.