PETALING JAYA: Lapan individu ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan menganjurkan perjudian jenis See Ngo Lak serta judi dalam talian di kawasan Pasar Borong Selayang, di sini semalam.
Mereka ditahan terdiri tiga lelaki tempatan dan lima lelaki warga Myanmar menerusi operasi dijalankan oleh Bahagian Perjudian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan melibatkan dua individu berperanan sebagai penganjur manakala enam lagi pemain berusia antara 30 hingga 45 tahun.
Katanya, kegiatan tersebut dipercayai bergiat aktif sejak dua bulan yang lalu dan beroperasi bermula pukul 7 petang hingga 10 malam.
“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah meja, satu set mangkuk kaca kecil, tiga biji dadu serta wang tunai berjumlah RM6,266 yang dipercayai hasil kegiatan perjudian.
“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua suspek direman selama empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN










