PETALING JAYA: Kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan serta-merta bagi memastikan keselesaan pengguna susulan kejadian seorang lelaki warga asing membuang air kecil ketika menuruni eskalator di Stesen MRT Titiwangsa Laluan Putrajaya semalam.
Rapid KL mengingatkan semua penumpang supaya sentiasa menjaga kebersihan serta mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika menggunakan kemudahan pengangkutan awam.
“Kebersihan fasiliti awam merupakan tanggungjawab bersama demi mewujudkan persekitaran yang selesa untuk semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Rapid KL mengesahkan video tular yang memaparkan seorang lelaki membuang air kecil ketika menuruni eskalator di Stesen Titiwangsa, Laluan Putrajaya.
Rapid KL berkata, kemudahan tandas disediakan di setiap stesen bagi kegunaan penumpang dan orang ramai diseru memanfaatkan kemudahan tersebut.
“Pengguna juga diminta mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan kebersihan, keselesaan serta imej pengangkutan awam,” katanya. – UTUSAN










