PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) telah menamatkan perkhidmatan lima pegawainya selepas didapati terbabit aktiviti rasuah dalam tempoh setahun lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selain itu 15 orang anggota masih dalam prosedur tatatertib, manakala 50 lagi masih dalam siasatan aktif.
Beliau berkata, pihaknya mengakui isu rasuah dalam kalangan anggota masih menjadi ‘duri dalam daging’ pasukan itu.
“Budaya rasuah dan salah laku di pintu masuk perlu diberikan tanda noktah. Ia satu isu yang merunsingkan saya.
“Selain menerapkan disiplin tinggi dan perubahan budaya, saya juga akan mengarahkan supaya pihak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memainkan peranan lebih dalam memastikan perihal disiplin dapat ditingkatkan di pintu masuk utama.
“Bukan hasrat saya menjadikan statistik buang kerja sebagai KPI Ketua Pengarah AKPS. Adalah menjadi hasrat saya untuk mengurangkan jumlah mereka yang dibuang kerja kerana budaya rasuah dan salah guna kuasa sudah dinoktahkan dalam AKPS,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan AKPS di sini hari ini. – UTUSAN










