Makanan miniatur atau miniature food dihasilkan Ling Hooi Yin kelihatan realistik seperti makanan sebenar. Sekali pandang pasti anda ingat makanan ini boleh dimakan. Hakikatnya setiap makanan miniatur yang diukir dan diperbuat daripada tanah liat polimer ini tidak boleh dimakan kerana ia cuma replika daripada makanan sebenar.
Makanan miniatur adalah replika hidangan yang dibuat pada skala yang jauh lebih kecil daripada yang asal. Orang ramai boleh membuat sendiri atau membeli makanan miniatur ini daripada pembuatnya untuk dijadikan sebagai koleksi simpanan sendiri, penghias dekorasi mahu pun sebagai hadiah kepada orang lain.
Ling Hooi Yin, 29, mula mengukir dan membuat makanan miniatur sebagai hobi sejak 2010.
Kini sudah hampir 12 tahun dia menghasilkan pelbagai jenis makanan miniatur. Boleh dikatakan sehingga kini hampir 300 jenis makanan miniatur yang dihasilkannya.
“Seni dan kraf ini sudah tidak asing dalam diri saya sebab sejak dari kecil saya suka aktiviti sebegini. Namun saya hanya mengetahui mengenai makanan miniatur ini pada 2010. Ketika itu saya sedang belajar di sebuah kolej.
“Pada masa itu tidak ada sebarang bengkel yang saya ikuti untuk mempelajari cara pembuatan makanan miniatur ini. Saya hanya mempelajarinya sendiri dengan daripada video di YouTube atau blog oleh miniature artists.
“Selalunya ketika belajar saya perlu berfikir sendiri jika ada sebarang masalah. Sering juga saya melakukan percubaan dan kesilapan.
“Saya menggunakan tanah liat polimer dan beberapa alat mudah seperti pencungkil gigi, jarum dan sebagainya untuk mengukir makanan miniatur ini.
“Apabila saya boleh mengukir dengan baik, hobi ini kemudiannya menjadi bisnes sambilan semasa di kolej kerana saya mahu mencari pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan ketika belajar. Sejak 2011 saya jual makanan miniatur ini di bawah jenama TinyPinc.
“Bisnes sambilan itu kemudiannya berterusan sehinggalah saya bekerja sepenuh masa sebagai pereka kreatif di sebuah syarikat kreatif. Beberapa tahun bekerja saya mengambil keputusan menukar bisnes sambilan itu kepada bisnes sepenuh masa,” kata Ling kepada Utusan Malaysia.
Pada 2015, lulusan Pereka Multimedia dari The One Academy ini berhenti kerja sebagai pereka kreatif dan menjadi pengukir dan pembuat makanan miniatur di studio atau bengkelnya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Ling turut mempromosikan hasil kerja tangannya itu di bawah jenama TinyPinc itu di laman sesawang, kedai etsy dan juga akaun media sosial.
Makanan ada nilai sentimental.
Makanan miniatur menjadi pilihan Ling kerana baginya apabila dia melihat makanan ia akan mengembalikan kenangan nostalgia dalam dirinya. Setiap makanan itu semuanya hasil daripada kenangan gembira dan yang tidak dapat dilupakan dalam kehidupan seharian.
“Biasanya saya mendapat idea untuk menghasilkan makanan miniatur itu daripada kehidupan seharian. Makanan mengingatkan saya semula terhadap zaman kanak-kanak atau apa yang ibu saya masak.
“Idea untuk membuat makanan miniatur itu boleh muncul pada bila-bila masa tanpa saya jangka. Sebagai contohnya, ketika saya sedang makan di restoran dan tiba-tiba terdetik di dalam hati untuk membuat semula apa makanan yang saya makan itu dalam bentuk makanan miniatur.
“Apa yang saya hendak buat itu biasanya saya akan tulis dan lukis terlebih dahulu di dalam buku nota,” jelasnya.
Ujar Ling lagi, selain idea sendiri, kebanyakan pelanggan yang menempah makanan miniatur daripadanya turut memberi idea apa jenis makanan yang hendak dibuat.
Biasanya setiap makanan itu dibuat ada nilai sentimental dalam diri mereka (pelanggan).
“Salah seorang pelanggan saya pernah memberitahu saya makanan miniatur yang saya buat itu mengingatkannya terhadap makanan kegemaran ibunya yang telah meninggal dunia.
“Dengan memiliki makanan miniatur itu adalah caranya mahu mengingati dan menyimpan kenangan terhadap ibunya. Amat menyentuh perasaan apabila saya mendengarkan ceritanya itu,” katanya.
Kepakaran Ling membuat makanan miniatur, dia hanya membuat patung berukuran kecil seperti watak kartun atau objek-objek lain jika ada tempahan daripada pelanggan.
Makanan Asia paling sukar dibuat
Ling mengambil masa lebih kurang 30 minit sehingga lapan jam untuk mengukir dan membuat makanan miniatur. Tempoh masa mengukir bergantung pada butiran dan kerumitan dalam menghasilkannya.
Selepas diukir ia perlu dibakar dalam ketuhar selama 30 minit untuk mengeraskannya. Masa antara 20 hingga 30 minit lagi diperlukan untuk menyadurkan agar kelihatan bersinar dan dapat melindunginya setelah dijadikan sebagai anting-anting atau charms yang dipakai pada rantai leher.
“Ada pelanggan menempah untuk menjadikan makanan miniatur itu sebagai koleksi set perhiasan untuk simpanan sendiri. Ada juga pelanggan menempah makanan miniatur itu untuk diletakkan di tempat simpan abu mayat ibu bapa yang telah meninggal dunia.
“Saya terharu terutamanya apabila dapat membuat makanan kegemaran ibu bapa pelanggan yang telah meninggal dunia itu. Penghargaan mereka itu memang saya tidak dapat jelaskan dengan kata-kata.”
Setiap jenis makanan miniatur dijual pada harga bermula RM50 sehingga RM200 ke atas.
Ditanya apakah kesukaran yang dihadapi setiap kali mengukir dan membuat makanan miniatur, Ling menjelaskan paling sukar apabila tiba waktu untuk mengukir dan membuat makanan Asia.
Warna makanan yang hampir sama dan tekstur makanan itu amat mencabar.
“Saya guna banyak masa untuk percubaan ketika melakukan eksperimen terhadap warna dan tekstur.
“Namun saya percaya sabar adalah kunci utama. Sentiasa mencuba dan sentiasa mencuba sehinggalah berjaya mendapatkan apa yang diinginkan,” ujar Ling sambil tertawa kecil.
Sepanjang bergelar pembuat makanan miniatur ini, Ling pernah mengadakan pameran di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Saya telah mempamerkan hasil kerja tangan saya iaitu durian bersaiz kecil yang diletakkan di atas meja kecil.
“Saya juga pernah pergi ke pasar seni di beberapa negara seperti Singapura, Kemboja dan Hong Kong,” katanya.
Ling turut menyasarkan untuk mendapat lebih banyak pendedahan pada masa akan datang.
“Saya tidak sabar untuk mendapat lebih banyak pendedahan supaya lebih ramai orang dapat melihat bahawa rakyat Malaysia juga mampu membuat kraf yang bagus.
“Saya berharap dapat mencipta semula makanan Malaysia yang lebih nostalgia pada masa hadapan,” katanya.










