‘Onn Hafiz ibarat barang sampai, lebih baik daripada barang yang dipesan’

‘Onn Hafiz ibarat barang sampai, lebih baik daripada barang yang dipesan’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

​KOTA TINGGI: Pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 disifatkan sebagai keputusan tepat Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad diketengahkan sebagai poster boy Barisan Nasional (BN) pada awalnya, keputusan melantik Onn Hafiz akhirnya terbukti membawa manfaat kepada negeri itu.

Malah, beliau menjadikan pembelian dalam talian sebagai analogi kepada pelantikan Onn Hafiz yang awalnya tidak menepati pesanan, tetapi barangan yang diterima ternyata lebih baik daripada jangkaan.

“Dalam keadaan teknologi moden sekarang, kita tak perlu pergi ke pusat beli belah, boleh beli barang secara dalam talian. Saya pesan barang lain, barang lain sampai. Yang faham tak apa, tak faham pun tak apa.

​”Tetapi rupanya barang yang sampai ini jauh lebih baik daripada barang yang dipesan. Ertinya, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim tidak salah pilih,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sanjungan Legasi KEJORA Tahun 2025 serta Majlis Sentuhan Kasih KEJORA di Desaru, hari ini.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Hasni yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, secara berjenaka sempat mengingatkan pihak media agar melaporkan dengan tepat bahawa kehadiran beliau ke majlis tersebut adalah semata-mata untuk menyampaikan anugerah dan bukannya atas urusan kempen pilihan raya.

“Untuk para pemberita, sila tulis betul-betul. Saya datang bukan untuk berkempen. Sebagaimana arahan Perdana Menteri, saya hanya nak menyampaikan anugerah.

“Kebetulan Dewan Undangan Negeri dibubarkan, tak salah saya datang menyantuni anak buah saya di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN