PETALING JAYA: Golongan wanita di Malaysia didapati memperuntukkan sebanyak 25.5 peratus daripada masa harian mereka, atau kira-kira 6 jam 7 minit sehari, untuk melakukan kerja domestik dan kerja penjagaan tidak berbayar.
Peningkatan komitmen masa itu mencerminkan jurang gender yang masih berterusan di negara ini, berbanding golongan lelaki yang hanya meluangkan sekitar 18.1 peratus daripada masa harian mereka bagi aktiviti berkenaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, secara keseluruhannya penduduk Malaysia berumur 15 tahun dan lebih memperuntukkan purata 5 jam 12 minit sehari bagi kerja tidak berbayar tersebut yang bertindak sebagai sokongan penting kepada kesejahteraan isi rumah.
“Walaupun aktiviti ini tidak direkodkan secara langsung dalam ekonomi formal, statistik yang diterbitkan ini memberikan gambaran berharga mengenai nilai masa yang disumbangkan oleh penduduk.
“Dapatan ini amat penting sebagai asas dalam penggubalan dasar berkaitan keseimbangan kerja-kehidupan, pembangunan sosial, ekonomi penjagaan serta kesaksamaan gender bagi meningkatkan produktiviti negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Uzir, survei tersebut turut mendapati faktor lokasi tempat tinggal hanya memberi pengaruh yang terhad terhadap corak penggunaan masa penduduk.
“Penduduk di kawasan luar bandar memperuntukkan 21.7 peratus atau 5 jam 13 minit daripada masa harian mereka, manakala penduduk di kawasan bandar mencatatkan 21.5 peratus bersamaan 5 jam 10 minit.
“Bagi pecahan mengikut kumpulan umur pula, komitmen tertinggi dicatatkan oleh individu berumur 45 hingga 54 tahun dengan 23.8 peratus (5 jam 43 minit sehari), mencerminkan tanggungjawab domestik yang lebih besar pada peringkat pertengahan kitaran kehidupan,” katanya.
Mengikut data etnik, kumpulan Lain-lain mencatatkan peratusan masa tertinggi sebanyak 23.7 peratus, diikuti oleh Melayu (22.6 peratus) dan Cina (20.5 peratus).
Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, penglibatan penduduk Malaysia dalam kerja domestik tidak berbayar didapati lebih tinggi berbanding purata negara anggota Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).
“Wanita di negara OECD secara purata hanya meluangkan sekitar 17 peratus masa harian mereka, manakala lelaki di peringkat antarabangsa mencatatkan sekitar 9 hingga 11 peratus bagi aktiviti domestik.
“Dapatan ini menunjukkan beban kerja tidak berbayar di Malaysia masih tinggi untuk kedua-dua jantina, yang mana pengakuan terhadap nilai ekonomi penjagaan ini amat penting bagi mewujudkan pembahagian tanggungjawab yang lebih saksama,” katanya. – UTUSAN









