SRI GADING: Jentera Barisan Nasional (BN) digesa menyantuni dan menemui ahli-ahli serta penyokong Pas bagi memastikan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingini oleh parti itu.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau menyambut baik seruan pimpinan tertinggi Pas yang mengarahkan ahlinya mengundi calon BN di DUN yang tidak ditandingi mereka.
“Walaupun mereka (Pas) tidak bertanding, saya sudah minta calon dan jentera BN untuk mendekati pengundi, penyokong dan ahli daripada Pas, supaya mereka keluar mengundi.
“Kita risau mereka mungkin tidak akan keluar mengundi kerana tidak ada calon daripada parti mereka, jadi sangat penting untuk kita mendekati dan beritahu mereka bahawa apabila calon BN menang, akan mewakili semua termasuk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Restoran Sup Kambing Kanopi Parit Besar, di sini hari ini.
Khairy hadir bagi membantu calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri.
Katanya, jentera BN turut perlu mendekati pengundi bukan Melayu yang sudah kecewa dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
“Jentera BN perlu meyakinkan pengundi bukan Melayu untuk memberi peluang sekali lagi kepada gabungan itu.
“Kita kena pastikan macam di Parit Yaani, saya rasa dalam 45 peratus pengundinya adalah bukan Melayu, jadi kita dapatkan sokongan daripada mereka.
“Apa yang saya lihat pada hari ini, ada kekecewaan dalam kalangan pengundi bukan Melayu terutama orang Cina terhadap PH dan DAP. Sebab itu mereka dapat kosong dekat Sabah,” katanya yang turut menyeru supaya jentera BN untuk menyantuni ahli-ahli Pas supaya mereka keluar mengundi pada 11 Julai ini.
Sementara itu, Khairy berkata, BN turut mengalu-alukan undi dan sokongan daripada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama di kerusi yang tidak ditandingini pemimpin mereka.
“Saya juga mengajak rakan-rakan dari Bersatu sebab Pas dan Bersatu tidak bertanding di DUN Parit Yaani atas semangat kolaborasi agung di kalangan orang Melayu.
“Kalau tidak ada calon daripada PN, kita ajak pengundi daripada Bersatu untuk sokong BN kerana apa sekali pun, kita semua datang daripada rumpun yang sama,” katanya. – UTUSAN










