PETALING JAYA: Pembaziran makanan isi rumah di Malaysia dianggarkan antara 31.9 kilogram hingga 97.3 kilogram per kapita setahun, sekali gus menggambarkan skala isu tersebut di peringkat nasional.
Dapatan Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) 2025 turut menunjukkan pembaziran lebih ketara melibatkan makanan diproses atau dimasak berbanding makanan mentah.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pembaziran makanan semakin signifikan kerana memberi kesan langsung kepada keselamatan makanan, kecekapan penggunaan sumber, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
Ujarnya, statistik yang diterbitkan ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai amalan pengurusan sisa makanan isi rumah merangkumi kuantiti pembaziran, jenis makanan paling banyak dibazirkan serta faktor utama yang menyumbang kepada isu berkenaan di Malaysia.
“Dari segi kuantiti, majoriti isi rumah didapati membuang kurang daripada 500 gram makanan seminggu, iaitu 48.2 peratus bagi makanan mentah dan 45.6 peratus bagi makanan diproses atau dimasak.
“Sebanyak 94.1 peratus isi rumah dilaporkan membuang makanan diproses atau dimasak, berbanding 88.7 peratus bagi makanan mentah.
“Dapatan ini menunjukkan sebahagian besar pembaziran berlaku selepas makanan disediakan, sekali gus menekankan kepentingan perancangan hidangan, penyediaan makanan dan pengurusan lebihan makanan yang lebih baik,” katanya.
Mengikut jenis makanan, sayur-sayuran mencatatkan kadar tertinggi bagi kategori makanan mentah yang dibazirkan iaitu 29.1 peratus, diikuti buah-buahan (22.4 peratus) dan ikan atau makanan laut (15.0 peratus).
Bagi makanan diproses atau dimasak pula, nasi mencatatkan kadar tertinggi iaitu 16.7 peratus, diikuti sayur-sayuran (15.8 peratus) dan makanan yang dibeli dari luar (13.8 peratus).
Corak itu menunjukkan pembaziran banyak melibatkan makanan segar yang mudah rosak serta makanan ruji yang lazim disediakan dalam kuantiti besar.
Sementara itu, laporan berkenaan turut mengenal pasti makanan tamat tempoh sebagai punca utama pembaziran, iaitu 19.3 peratus.
Antara faktor lain ialah penyimpanan lebihan makanan terlalu lama (18.1 peratus), pembelian berlebihan (15.2 peratus) dan memasak dalam kuantiti berlebihan (15.1 peratus).
Dalam pada itu, sebanyak 79.3 peratus isi rumah di Malaysia masih mencampur sisa makanan untuk dibuang berbanding hanya 20.7 peratus yang mengasingkannya, sekali gus menunjukkan amalan pengasingan sisa makanan masih belum menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.
Dapatan itu turut menimbulkan cabaran terhadap usaha mempertingkat kecekapan pengurusan sisa organik serta mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan. – UTUSAN









