PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri selatan tanah air dan Sabah terus mencatatkan peningkatan ekoran cuaca buruk yang diramal sehingga Februari ini.
Di Johor, hampir seluruh negeri ditenggelami air apabila Muar menjadi daerah terbaharu yang terkesan akibat bencana itu sehingga menjadikan jumlah mangsa kini mencecah 4,397 orang.
Sehingga pukul 5 petang semalam, sebanyak 1,178 keluarga ditempatkan di 72 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
Muar merekodkan 52 mangsa daripada 14 keluarga yang dipindahkan ke dua PPS yang beroperasi di daerah itu hari ini.
Daerah lain yang turut terjejas adalah Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Johor Bahru dan Batu Pahat.
Di Sabah, jumlah penduduk yang menjadi mangsa banjir meningkat kepada 3,329 orang setakat pukul 5 petang semalam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam berkata, setakat ini, 3,329 orang daripada 1,231 keluarga dipindahkan ke 29 pusat pemindahan banjir (PPS) yang dibuka di enam daerah.
Daerah yang terjejas teruk masih lagi Kota Marudu yang membabitkan 2,765 orang mangsa daripada 1,061 keluarga dipindahkan ke 13 PPS.
Dalam perkembangan lain, mangsa banjir di Melaka terus meningkat dengan seramai 2,621 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang, semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sebanyak 23 PPS dibuka di ketiga-tiga daerah yang terjejas.
“Pada petang semalam, seramai 2,621 mangsa banjir telah dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.
“Sebanyak 1,418 mangsa membabitkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (1,034) dan Jasin (169),” katanya di sini semalam.
Tambahnya, jumlah kawasan yang dinaiki air banjir juga meningkat kepada 32 kawasan dengan 14 di Alor Gajah dan masing-masing sembilan di Melaka Tengah dan Jasin.
Di Negeri Sembilan, bilangan mangsa banjir di tiga buah daerah di Negeri Sembilan yang terkesan tidak banyak berubah apabila seramai 1,975 orang masih ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka setakat pukul 2 petang tadi.
Berdasarkan Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Negeri Sembilan berkata, kesemua mangsa terjejas banjir dari daerah Tampin, Jempol dan Kuala Pilah terdiri daripada 544 buah keluarga.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah di Tampin masih menempat jumlah mangsa teramai iaitu 482 orang daripada 122 buah keluarga manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemas seramai 281 orang daripada 75 buah keluarga,” katanya. – UTUSAN










