Setiap kali melihat pelbagai jenis beg yang disusun rapi di atas meja membuatkan Noor Syerifazidazetty Mustapha berasa gembira. Istimewanya setiap beg itu bukannya dibeli di kedai. Sebaliknya setiap beg tersebut adalah hasil buatan tangannya sendiri.
Noor Syerifazidazetty, 36, atau lebih mesra dengan sapaan Zetty ini memiliki hobi menghasilkan produk seni kraf. Hobi ini dilakukan secara suka-suka sejak beliau masih lagi bekerja makan gaji.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wanita yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Penyelidikan Operasi dari Universiti Sains Malaysia (USM)_ini menjelaskan hobi menjahit seni kraf ini hanya dibuat secara serius setelah beliau berhenti kerja pada 2012.
Keputusan berhenti kerja itu dibuat kerana mahu menjaga anak sulungnya sepenuh masa di rumah. Pada permulaannya beliau hanya membuat produk kraf yang kecil-kecil sahaja.
“Saya mula membuat cekak rambut, kerongsang, keychain dan penanda buku dan lain-lain lagi secara suka-suka sejak 2011. Selama dua hingga tiga tahun saya hanya fokus buat kraf yang mudah.
“Kebanyakan cara membuat produk itu hanya saya pelajari melalui cara cuba-cuba sendiri. Selain itu saya rajin juga melihat tutorial video daripada YouTube. Saya cuba ikut setiap langkah-langkah yang diajar itu dengan betul,” katanya. Beliau menggunakan jenama Zetty pada setiap beg yang dibuatnya.
Hanya pada 2019 Noor Syerifazidazetty mula membuat beg. Idea itu tercetus apabila ada pengikut akaun media sosialnya yang memberi cadangan agar beliau cuba membuatnya.
“Setelah saya rasa bosan dengan membuat kraf yang sama saya cuba membuat beg yang mudah. Saya juga pelajari cara pembuatan beg daripada YouTube. Oleh sebab saya sudah ada asas menjahit jadi tidak ada masalah untuk saya memahami setiap langkah-langkah yang mudah.
“Kadang-kadang agak sukar juga untuk memahami sendiri langkah-langkah yang diajar di dalam YouTube. Sebabnya kadangkala video di YouTube bukan di dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
“Tetapi sebab mahu belajar saya akan cuba sendiri mengikut video itu sehinggalah saya puas hati,” katanya.
Guna mesin jahit industri
Hobi yang dibuat secara serius itu mula menjadi bisnes apabila Noor Syerifazidazetty mendapat banyak permintaan daripada mereka yang suka hasil kerja tangannya.
“Apabila mula mendapat banyak permintaan apa salahnya jadikan hobi ini sebagai bisnes. Saya buat bisnes ini dari rumah. Berniaga di rumah ini dalam masa yang sama dapat menjaga anak-anak,” katanya.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata berusia 9, 6 dan 4 tahun ini menggunakan mesin jahit industri untuk menjahit setiap beg yang ditempah oleh pelanggan.
“Saya menjahit di rumah sahaja menggunakan mesin industri. Untuk menyiapkan sejenis beg itu bergantung pada saiz dan corak. Kebiasaannya sasaran saya dalam sehari paling minimum saya boleh siapkan sebuah beg,” katanya.

Katanya lagi setiap beg yang dibuat ini menggunakan bahan-bahan yang terdiri daripada kulit tiruan, designer cotton, poly canvas, cotton canvas, twill waterproof dan polyester waterproof.
“Saya mendapat mendapat idea membuat beg ini terutamanya dari segi corak (pattern), warna dan rekaan dari beg designer dari luar dan dalam negara. Ada juga saya beli pattern beg designer dari luar seperti shamballa bags dan oro rosa bag patterns,” katanya.
Sehingga kini beliau mampu menyiapkan pelbagai jenis beg. Ini termasuklah airiz sling bag, momenta crossbody bag, harlequin crossbody bag, guadalupe bag, zenaida backpack, clematis wristlet, clematis sling bag dan pelbagai lagi.
“Kebanyakannya saya buat beg silang kerana jenis ini yang paling banyak mendapat tempahan pelanggan.
“Harga beg ini bergantung pada jenis kain. Harga bermula dari RM75. Beg paling murah saya jual di antaranya ialah clematis sling bag. Ia bersaiz sederhana dan reka bentuk yang simple.
“Beg paling mahal setakat hari ini dan mendapat sambutan ialah zenaida backpack yang berharga RM200,” katanya.
Surirumah sepenuh masa ini amat seronok mempunyai hobi menjahit dan membuat beg. Baginya keistimewaan memilih hobi seni kraf itu adalah apabila produk yang dibuat itu telah siap dan dihargai orang yang membelinya.
“Saya dapat merasai keseronokan apabila pelanggan yang membeli beg saya itu berpuas hati,” katanya lagi.
JADI TESTER
September 2021 lalu Noor Syerifazidazetty mula melangkah jauh apabila menjadi tester atau penguji beg. Beg pertama yang diuji ialah beg Momenta crossbody hasil rekaan pereka tempatan.
“Selepas itu saya cuba-cuba personal message pereka beg dari luar negara. Alhamdulillah diterima menjadi sebahagian kumpulan penguji beg Shamballa.

“Beg Agustina adalah beg kedua yang saya berjaya jadi pengujinya. Saya juga berpeluang menjadi kumpulan penguji beg Mediana rekaan pereka dari Jerman. Ada dua lagi tester yang belum boleh diceritakan sebab test masih berlangsung,” katanya.
Sebagai seorang penguji, Noor Syerifazidazetty perlu mengikut arahan satu persatu untuk menghasilkan beg.
“Tester perlu ikut arahan satu persatu untuk menghasilkan beg. Sekiranya dalam proses pembuatan itu ada yang tidak kena seperti pola ‘lari’ kita perlu update supaya pereka beg tersebut dapat buat adjustment sebelum melepaskannya untuk dijual kepada orang ramai,” katanya.
Jelasnya lagi sebagai penguji beliau tidak menerima gaji sebaliknya beliau mendapat ilmu dan teknik baru dalam pemprosesan beg. Kelebihan jadi penguji ini ialah beliau mendapat rakan baru dari luar negara.










