Batu karang membiak secara bertelur, beranak - Utusan Malaysia

Batu karang membiak secara bertelur, beranak

Dr. Tan Chun Hong memberitahu sejak 2018, beliau dan rakan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakukan selaman malam apabila tiba musim peneluran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Batu karang adalah sejenis haiwan marin yang kebanyakannya hidup secara sesil dan berkoloni. Sebagai haiwan hidup, caranya membiak adalah sama ada bertelur ataupun melahirkan anak.

Bagi yang bertelur ada sperma daripada jantan, dan telur (oocyte) daripada betina. Ada juga batu karang yang ada kedua-dua jantina dalam satu badan, ataupun khunsa (dipanggil hermafrodit).

Mengenal pasti jantina batu karang, tidak boleh dilihat daripada organ luaran ataupun secara fizikal. Ini kerana, ia tidak mempunyai organ luaran yang jelas untuk membezakan di antara kedua jantina tersebut.

KENAL JANTINA
Proses pengenal pastian jantina hanya boleh dilakukan di bawah mikroskop. Sampel batu karang matang akan dibedah tisunya dan diperiksa menggunakan mikroskop.

Menariknya mengenai fenomena peneluran batu karang (coral spawning) ini berbanding haiwan lain ialah, batu karang memerlukan kombinasi isyarat spesifik dari persekitaran untuk memulakan proses berkenaan.

Antaranya suhu air sesuai semakin meningkat ataupun tertinggi dalam musimnya dan keamatan cahaya bulan yang terang.

Kajian menunjukkan peneluran berlaku sekitar seminggu selepas bulan mengambang.

Pergerakan arus air laut perlahan iaitu semasa pasang surut juga antara isyaratnya.

Isyarat-isyarat persekitaran ini, membantu batu karang yang sesil ini berkomunikasi antara satu sama lain dan melepaskan telur mereka ke dalam laut secara serentak untuk persenyawaan.

Pada musim peneluran karang, fenomena ini berlaku secara besar-besaran dan boleh melibatkan ratusan koloni yang mengeluarkan jutaan telur (dan sperma) dengan serentak. Proses ini dipanggil sebagai peneluran sinkroni (synchronous spawning).

Sejak 2018, saya dan rakan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakukan selaman malam apabila tiba musim peneluran.

Sepanjang tempoh itu, lebih 20 spesies berjaya direkodkan. Dengan data yang sedia ada, ramalan lebih tepat dapat dilakukan mengenai spesies batu karang dan musim peneluran.

Kajian menunjukkan perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia terdapat dua musim peneluran iaitu sekitar Mac ke April dan September ke Oktober. Namun, setiap koloni bertelur sekali sahaja setahun.

Keseluruhan proses peneluran karang ini sangat penting untuk kelestarian ekosistem marin. Secara semula jadinya, bilangan ataupun litupan karang hidup tidak akan bertambah atau berganda dengan kadar yang cepat kerana tumbesarannya sangat perlahan.

Contohnya tumbesaran batu karang daripada genus Acropora hanya membesar sebanyak 10 sentimeter (sm) setahun. Dengan adanya jutaan benih batu karang secara berterusan, ia dapat memastikan kesinambungan spesies batu karang pada masa hadapan. Bagaimanapun daripada jutaan telur tersebut, tidak semuanya hidup.

MATI TERAPUNG
Sebahagian besar dimakan haiwan pemangsa, mati terapung di permukaan laut atau hanyut ke kawasan yang tidak sesuai untuk hidup.

Sekiranya proses peneluran terganggu, bilangan batu karang di ekosistem kita akan turut berkurangan. Seterusnya, stok perikanan akan turut merosot disebabkan kehilangan habitat.

Antara ancaman antropogenik menyebabkan berkurangnya litupan batu karang adalah pencemaran. Batu karang sangat sensitif dengan perubahan persekitaran.

Kalau berlaku pencemaran air, contohnya tumpahan minyak dan sisa kumbahan tidak dirawat, batu karang akan mati atau mengalami tumbesaran terencat.

Ancaman kerosakan turut berlaku daripada segi fizikal iaitu menerusi aktiviti manusia. Lambakan pelancong melakukan aktiviti selam skuba dan snorkeling contohnya boleh membawa kerosakan terumbu karang jika tidak dilakukan dengan betul.

Ancaman semula jadi daripada perubahan iklim peringkat global turut menjadi ancaman batu karang.

Suhu air laut semakin panas menyebabkan batu karang tidak mampu bertahan. Ia akan menyebabkan kelunturan batu karang (coral bleaching) yang boleh mengakibatkan ia mati pada skala yang sangat besar.

UMT KOMITED
UMT komited menjalankan ai terumbu karang untuk lebih memahami ancaman tersebut. Contohnya dengan mengkaji kualiti air sekitar taman laut di Malaysia untuk memahami impak aktiviti manusia (pelancongan, pembangunan di darat dan sebagainya) terhadap marin.

Hasil kajian dikongsi dengan pihak pengurusan taman laut bagi membantu mereka merancang dan membuat sebarang keputusan berkaitan dengan pemeliharaan kawasan taman laut.

Ini penting dalam memastikan segala keputusan ataupun rancangan diambil, berasakan bukti saintifik. UMT turut mempunyai sistem simulasi pelbagai senario keadaan air laut pada masa akan datang. Sistem ini dapat mengkaji impak perubahan iklim seperti kenaikan suhu air laut yang abnormal dan keasidan lautan (ocean acidification) terhadap batu karang.

Ini amat penting untuk negara bersiap siaga dalam memelihara sumber makanan (food security) terutamanya perikanan yang berpotensi terkesan ekoran perubahan iklim.

UMT melalui Kumpulan Berfokus Penyelidikan Research and Education for Future Sustainability (REEFS) sering mengadakan bengkel kesedaran marin kepada kumpulan pemegang taruh setempat (orang kampung, pengusaha resort, pemandu diving dan snorkelling). Objektif bengkel diadakan adalah untuk membina kapasiti frontliner marin dari segi pemahaman dan ilmu tentang terumbu karang. ‘Duta batu karang’ ini membantu menjaga khazanah negara. Hasil ilmu dipelajari akan disampaikan kepada pelancong dan masyarakat setempat mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan terumbu karang.

—–
Artikel ini ditulis oleh Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), UMT, Dr. Tan Chun Hong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN