DI sebalik kepesatan pembangunan di Chukai, Kemaman, tidak ramai mengetahui kewujudan sebuah masjid yang merupakan antara tertua di negeri ini, dipercayai berusia hampir 200 tahun.
Dikenali sebagai Masjid Kampung Tuan, binaan yang terletak di pinggir Sungai Limbong di Kampung Tuan itu dikatakan mirip reka bentuk Masjid Kerisik di Pattani, Thailand di samping Masjid Agung di Demak, Jawa Tengah, Indonesia.
Semasa zaman kegemilangannya, ia merupakan masjid utama dan terindah di Kemaman.
Ketinggian puncak bumbung mencecah 11.28 meter menjadikan Masjid Kampung Tuan sebagai bangunan tertinggi ketika itu, sekali gus paling dominan berbanding yang lain di kawasan sekitar.
Walaupun tiada butiran tepat tentang sejarah penubuhannya, namun hasil maklumat dikumpulkan Pejabat Agama Daerah mendapati ia dibangunkan pada 1830 oleh seorang guru agama dari Pattani, Syeikh Abdul Rahman Syeikh Abdul Samad, yang dikatakan melarikan diri ke sini akibat peperangan di negaranya.
Allahyarham difahamkan merupakan anak kepada ulama nusantara tersohor, Syeikh Abdul Samad Al-Palembangi.
Namun, masjid berkenaan didakwa lebih masyhur semasa diterajui anaknya, Syeikh Abdul Samad atau lebih dikenali sebagai Tuan Wok.
Pembinaan Masjid Kampung Tuan dipercayai bagi memudahkan pengasasnya mengajar agama kepada penduduk kampung, di samping turut menjadi tumpuan ramai guru-guru agama untuk beribadah.
Berbeza dengan Masjid Kerisik yang dibina daripada konkrit, bagaimanapun Masjid Kampung Tuan menggunakan kayu cengal sebagai bahan utama di samping bumbung singgora, malah keseluruhan struktur dihasilkan secara pasak dan tanggam tanpa paku.
Difahamkan, mastaka yang terdapat pada puncak masjid itu merupakan elemen yang dicadangkan dibina di Masjid Kerisik, malangnya tidak dapat disiapkan berikutan pertempuran.
Selain itu, di puncak bumbung masjid turut diletakkan buah butung yang dibuat daripada tembaga.
Seorang penduduk, Syed Alwi Syed Hamzah, 67, berdasarkan cerita generasi terdahulu, kilauan cahaya daripada buah butung boleh menjadi penanda dan pedoman bagi golongan nelayan untuk pulang ke daratan, malah binaan itu dapat dilihat dari Kuala Kemaman, hingga kini.
Katanya, reka bentuk Masjid Kampung Tuan merangkumi ruang tunggal yang luas dipercayai khas untuk kegunaan jemaah lelaki.
“Saya difahamkan masjid ini juga menjadi tempat berlindung penduduk ketika zaman pemerintahan Jepun dengan menyorok di bahagian bawah jika ada serangan dari udara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun fungsi Masjid Kampung Tuan kini hanya sebagai surau susulan pembinaan masjid baru lain sekali gus tidak dapat menandingi peranannya pada zaman lampau.
Pada 2006, Jabatan Warisan Negara telah mengiktiraf masjid itu sebagai warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Air telaga mukjizat
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tuan, Asmadi Omar, 56, berkata, di masjid tersebut terdapat sebuah telaga yang masih digunakan hingga kini.

Katanya, telaga itu dipercayai dibina daripada tanah liat tanpa menggunakan kerek telaga, sekali gus menggambarkan kehalusan dan ketelitian hasil tangan generasi terdahulu.
“Air telaga tidak pernah kering sekalipun kemarau di kawasan kampung ini. Orang dulu-dulu mengatakan airnya dapat mengubati penyakit dan sehingga kini, masih ada yang sanggup datang untuk mengambilnya,” katanya.










