Abang Johari tolak keluar Malaysia, selar kempen PBK - Utusan Malaysia

Abang Johari tolak keluar Malaysia, selar kempen PBK

ABANG JOHARI TUN OPENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyelar tindakan Parti Bumi Kenyalang (PBK) memainkan isu mahu membebaskan Sarawak keluar dari Malaysia dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Dalam temu bual eksklusif dengan Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, Sarawak sudah memperakui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Malah, katanya, perjanjian MA63 yang berkuat kuasa pada 16 September 1963 itu dipantau sepenuhnya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pemimpinnya (PBK) dulu dari DAP. Memang dia (PBK) kata MA63 tidak sah. Dia ada tulis (surat) kepada Setiausaha Agung Komanwel dan jawapan Komanwel bahawa Sarawak sudah pun di bawah kedaulatan (sovereign) Malaysia, malah perjanjian ini juga dipantau PBB.

“Kalau kata nak buat ini (bebaskan Sarawak), pergi ke PBB lah, buat apa sibuk-sibuk sini (kempen PRN)? Kita sudah mempunyai pendirian, kita ada autonomi, negara kita bersekutu, sudah menjadi pilihan pemimpin-pemimpin terdahulu.

“Kita hanya teruskan, ini saya punya pendirian,” katanya dalam pertemuan di pejabat Ketua Menteri di DUN Sarawak, di sini semalam.

Beliau ditanya mengenai tindakan PBK yang memainkan isu ‘pembebasan Sarawak dari Malaysia’ untuk me­menangi PRN kali ini.

Semalam, Presiden PBK, Voon Lee Shan dalam temu bual dengan akhbar ini mendakwa proses kema­sukan Sarawak ke dalam Malaysia melalui laporan Suruhanjaya Cobbold pada 1962 tidak sah di sisi undang-undang.

Malah, katanya, PBK ber­hasrat ‘mem­­bebaskan’ Sarawak kerana pengagihan sumber yang tidak adil, kadar royalti minyak yang ti­dak patut, pem­bangunan tidak sama rata dan kekurangan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak.

Tegas Abang Johari, tiada sebab untuk Sarawak keluar dari Malaysia jika sudah mempunyai kuasa autonomi, malah memberi jaminan bahawa GPS tidak akan sesekali mengganggu-gugat perjanjian MA63.

“Kalau nak bebas bermakna nak kita merdeka macam di Catalonia di Sepanyol. Kalau ada autonomi sudah okay, macam Kanada ada Quebec tapi ada autonomi, jadi tak ada masalah.

“Kita ikut undang-undang, GPS ini parti yang patuh dengan undang-undang, kita tahu di mana kedudukan kita dari sudut perundangan. Kalau nak keluar (dari Malaysia), merdeka atau bebaskan Sarawak itu ada hadnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×