Penghidap rabun warna yang mengakibatkan kesukaran membezakan antara warna tertentu boleh memberi impak daripada segi psikologi khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan kanak-kanak, remaja dan dewasa muda menghidap rabun warna kongenital berkemungkinan mengalami isu emosi dan tingkah laku yang boleh mengurangkan kualiti hidup mereka.
Pakar Optometri dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharanjeet Kaur Malkeet Singh berkata, kajian mendapati penghidap khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah, didapati sangat sensitif, lebih gemar bersendirian dan mempunyai jangka masa perhatian yang pendek.
“Mereka juga didapati mempunyai pencapaian akademik yang kurang baik dan kebanyakan mereka berada dalam kelas lemah.

“Bagi murid sekolah menengah dengan rabun warna didapati mempunyai masalah tingkah laku dalaman, keyakinan diri yang rendah, kurang penyertaan dalam kelas dan tidak dapat menumpukan perhatian.
“Namun kajian ke atas golongan dewasa muda juga menunjukkan masalah emosi. Mereka lebih cenderung untuk mengasingkan diri dan berasa cemas. Tertekan atau murung, berbanding individu dengan penglihatan warna normal,” katanya pada Syarahan Perdana Profesor bertajuk ‘Dunia Rabun Warna’ berlangsung secara maya baru-baru ini.
Turut hadir Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekwan Toriman.
Rabun warna boleh berpunca daripada genetik atau diwarisi yang lebih dikenal sebagai rabun warna kongenital dan rabun warna perolehan.
Bagaimanapun rabun warna jenis kongenital tidak dapat diubati dan tidak progresif. Ia boleh menyebabkan individu mengalami masalah ketika melakukan tugasan visual tertentu dan boleh mempengaruhi kualiti hidup mereka dalam jangka masa panjang.
LAMBAT DIAGNOS
Kajian mendapati ibu bapa kurang sedar tentang masalah rabun warna kongenital, dengan hanya 16 peratus ibu bapa murid sekolah rendah dan 12 peratus ibu bapa murid sekolah menengah sedar anak mereka memiliki masalah rabun warna kongenital. Malah sebilangan besar individu dengan rabun warna tidak menyedari mereka mengalami keadaan ini.
Rentetan daripada itu, saringan awal di sekolah untuk mengesan murid dengan rabun warna adalah amat penting supaya pengubahsuaian awal dapat dilakukan.
“Tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat kita mengenai rabun warna kongenital mengakibatkan penderita lambat didiagnos, seterusnya memberi impak kepada status emosi dan tingkah laku mereka.
“Ibu bapa dan guru perlu tahu simptom rabun warna dalam kalangan kanak-kanak supaya mereka dapat dikenalpasti dan diberi pertolongan sewajarnya,” katanya yang menjelaskan pemeriksaan boleh dilakukan di klinik optometri.
KESAN AWAL
Rabun warna boleh dikesan melalui ujian saringan dan jenis. Tahap rabun warna boleh ditentukan dengan beberapa ujian diagnostik termasuk beberapa ujian warna yang sering digunakan di klinik oleh optometris.
Dr. Sharanjeet berkata, pemeriksaan penglihatan mandatori di sekolah oleh kebanyakan negara, termasuk Malaysia, tidak mewajibkan pemeriksaan untuk rabun warna. Di samping itu, ujian saringan bagi mengesan rabun warna juga kurang sesuai digunakan untuk kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan.
“Kajian UKM berjaya menghasilkan satu ujian saringan rabun warna yang mudah difahami dan sesuai digunakan pada murid prasekolah atau yang baru memasuki alam persekolahan.
“Ujian ini boleh dilakukan di sekolah oleh guru dan satu modul latihan saringan rabun warna telah dibangunkan. Ia merangkumi pengetahuan berkenaan rabun warna, masalah yang dihadapi oleh murid rabun warna dan cara melakukan saringan penglihatan warna serta tindakan seterusnya,” katanya.
ALAT BANTUAN PASIF
Dr. Sharanjeet berkata, oleh sebab rabun warna kongenital adalah keadaan yang diwarisi maka ia kekal sepanjang hayat.
Walaupun tidak ada ubat menyembuhkan keadaan ini pada masa kini, ada dua jenis pengurusan yang dapat membantu individu bagi rabun warna; iaitu alat bantuan aktif dan alat bantuan pasif.
Alat bantuan aktif mengubah warna imej yang dilihat dengan menggunakan algoritma pemprosesan imej. Ia merupakan suatu proses memanipulasi suatu imej atau gambar secara digital menggunakan perisian dalam komputer untuk meningkatkan kontras warna.

Syarikat seperti Microsoft, Google dan Apple telah mereka bentuk ciri dalam sistem operasi mereka untuk membantu individu dengan rabun warna.
Alat bantuan jenis pasif pula adalah alat bantuan optikal, terdiri daripada kanta lekap (tinted contact lens) dan kanta kaca mata berwarna (tinted spectacle lens) serta penapis berwarna (coloured filters).
PEWARISAN RABUN WARNA
Dr. Sharanjeet menjelaskan secara amnya, 1 dalam 12 lelaki (iaitu 8 peratus ) dan 1 dalam 200 perempuan (iaitu 0.5 peratus) adalah rabun warna.

Manusia mempunyai 23 pasang kromosom. Kromosom adalah struktur yang mengandungi gen.
Kromosom 1 hingga 22 adalah kromosom autosom yang sama pada kedua-dua jantina dan mengekod fungsi badan.
“Kromoson 23 adalah kromosom seks yang berbeza untuk lelaki dan wanita. Kromosom seks dilabel dengan X dan Y, di mana wanita membawa kombinasi XX dan lelaki kombinasi XY. Label Y hanya menentukan jantina lelaki.
“Gen yang menentukan rabun warna kongenital hanya terdapat pada kromosom X. Oleh kerana lelaki hanya mempunyai satu kromosom X, maka kebarangkalian untuk mewarisi sebarang gen rabun warna pada kromosom tersebut adalah tinggi,” katanya.
Gen rabun warna pada kromosom-X boleh diwarisi berdasarkan:
* Ibu adalah pembawa (carrier) gen rabun warna dan ayah adalah normal.
* Ibu adalah pembawa (carrier) gen rabun warna dan ayah ada rabun warna.
* Ibu adalah normal dan ayah ada rabun warna.
* Kedua ibu dan ayah ada rabun warna.








