Pada 30 Oktober 2021 telah pergi seorang guru mulia, seorang musnid (ahli sanad) dan hadis yang agung, Syeikh Fahmi Zamzam al-Nadwi al-Maliki (semoga Allah merahmati rohnya).
Keilmuan beliau terzahir di seluruh nusantara bermula di Indonesia hingga ke Malaysia dan selatan Thailand. Beliau ialah tokoh mengajar pelbagai ilmu seperti hadis, tasauf dan lain-lain.
Ketokohan beliau tidak hanya dikenali di nusantara. Sebaliknya sehinggakan di Oxford, bandar ilmu di United Kingdom. Datuk Dr. Afifi al-Akiti menyampaikan khabar duka ini kepada ulama hadis kontemporari terkenal, Dr. Muhammad Akram al-Nadwi, rakan alumni Nadwah al-Ulama bersama Syeikh Fahmi ketika di India dulu.
Dr. Akram telah menjawab dengan belasungkawa yang sangat menarik tentang Syeikh Fahmi Zamzam. Penulis terjemahkan untuk dikongsi bersama:
——————————————————————————————————————-
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kewafatan Syeikh Fahmi Zamzam al-Nadwi Oleh: Dr. Muhammad Akram al-Nadwi, Oxford: Pagi ini (Sabtu, 23 Rabiulawal 1443H – 30/10/2021) berita kewafatan Syeikh Fahim Zamzam al-Banjari al-Maliki al-Nadwi menyedihkanku. Inna lillah wa Inna ilaihi rajiun.
Seolah-oleh berita ini benar-benar menggoncang diriku. Tidak aku jangkakannya. Aku bertemu dengan hal yang amat menyakitkan tatkala mendengar berita ini. Pemergiannya yang mengejutkan menyebabkan air mataku berlinangan dari lubuk hati, membuatku sedih dan pilu.
“Seolah-olah salah seorang pemimpin para pejuang di medan perang mati syahid dengan penuh bahagia. Betapa mulia, alim dan solehnya lelaki yang telah meninggalkan kita ini. Rahimahullah.
Syeikh Fahmi dilahirkan pada Januari 1959 di Amuntai Selatan, Kalimantan, Indonesia. Beliau menuntut ilmu di Madrasah Darul Salam, Indonesia dan beberapa sekolah lagi. Kemudian menyambung pengajian di Dar al-Ulum, Nadwah Ulama’ pada 1980 dan memperolehi Syahadah Alimiyyah pada 1983 dan sijil pengkhususan dalam bidang sastera Arab pada 1987.
Beliau kemudian ke Mekah pada 1988 dan menuntut ilmu daripada Syeikh Musnid Muhammad Yasin al-Fadani dan Syeikh Allamah Muhammad Alawi al-Maliki r.h. Beliau memberinya ijazah ammah.
Kemudian Syeikh Fahmi pulang ke negaranya sebagai seorang pendakwah yang jujur, alim lagi mulia.
Beliau mengajar di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Kedah. Pada 2001 beliau mengasaskan Madrasah Nurul Hidayah al-Sakinah di sebahagian daerah di Kalimantan. Kemudian mengasaskan dua madrasah lagi dengan nama yang sama.
Beliau sering berulang-alik antara Indonesia dan Malaysia untuk mengajar di situ. Beliau juga memegang jawatan tinggi dalam bidang keilmuan dan mendapat kepercayaan para ulama dan guru.
Beliau memiliki sejumlah karya dan terjemahan kitab-kitab hadis ke dalam bahasa Melayu.
Aku (Dr. Akram al-Nadwi) mengenalinya sejak menuntut di Dar al-Ulum, Nadwah Ulama’. Beliau seorang pelajar yang bersungguh-sungguh, menguasai bahasa Arab dan ilmu-ilmu. Kami memiliki hubungan yang erat dan aku tidak akan melupakan memori indah yang semakin mekar dengan bertambahnya hari yang berlalu.
Beliau bermazhab Shafie dengan penuh kesederhanaan sesuai manhaj Nadwah Ulama’. Beliau memakai nisbah ‘al-Maliki’ pada namanya kerana cinta dan taat setia kepada gurunya, Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki.
Beliau terkenal dengan usaha mengajar dan mengarang hadis. Baru-baru ini, ada pengkaji Malaysia yang menulis tentang manhaj beliau dalam mengajar Sahih Bukhari.
Beliau juga adalah utusan Nadwah Ulama’ ke Indonesia dan Malaysia juga tokoh kebanggaan warga Nadwah Ulama’, bahkan kebanggaan semua ahli ilmu.
Kami sentiasa berhubung. Apabila aku (Dr. Akram) menziarahi Malaysia sejak 10 tahun yang lalu, aku ingin menziarahinya tetapi dia berada di Indonesia ketika itu, jadi kami tidak dapat berjumpa.
Maka kami hanya berbicara melalui telefon dan kami amat kecewa kerana terlepas peluang bertemu.
Institut al-Salam di London bercadang menganjurkan bengkel latihan bagi pelajar di Malaysia pada April 2020. Lalu Syeikh Fahmi Zamzam menghubungiku dan menzahirkan kegembiraannya dan berkata ingin menghabiskan masa denganku.
Namun ia dibatalkan kerana wabak Covid-19. Apabila mengetahui berita terbitnya kitabku Pengantar Sahih al-Bukhari beliau mengucapkan tahniah dan berusaha untuk membeli kitab tersebut.
Banyak kebaikan yang telah mengalir melalui tangannya di Indonesia dan Malaysia. Ramai penuntut yang menuntut daripada beliau. Beliau telah memenuhi pandangan dan pendengaran mereka dengan akhlak yang cantik, lemah lembut peribadinya, mulia jiwanya, tawaduk, banyak memberi nasihat, tidak aku dengar mengenainya melainkan cerita-cerita yang menggembirakan hati.
Kematiannya menyebabkan ada satu kelompangan yang tidak dapat ditutup dalam waktu yang terdekat. Ia adalah musibah bagi Nadwah Ulama’ seperti musibah bagi negerinya. Seburuk-buruk musibah adalah kematian tokoh yang tiada galang gantinya. Moga Allah mengampuninya, mengangkat darjatnya dan menempatkannya di dalam syurga-Nya.”
—————————————————————————————————————————–
Begitulah indah seorang ulama memberi belasungkawa kepada rakan ulama yang lain. Walau berbeza bangsa dan bahasa, mereka disatukan dengan kecintaan sesama Islam.
Pertama kali penulis bertemu Syeikh Fahmi Zamzam adalah sekitar 2009 dan mengaji kitab al-Awail al-Zamzamiyyah. Diceritakan beliau pernah sebilik dengan Kiai Hj. Thoifur Mawardi Purworejo ketika menuntut ilmu di Rusayfah Mekah, pondok Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki.
Kiai Thoifur pernah bercerita kepada penulis bagaimana kesungguhan dan ketekunan Syeikh Fahmi ketika menuntut ilmu walaupun datang ketika sudah menjadi seorang alim.
Kali terakhir penulis berbicara dengan Syeikh Fahmi Zamzam adalah pada Februari 2021. Ketika itu, penulis meminta penerbit kitab Hidayah al-Salikin tahkikan Syeikh Fahmi agar dapat diulang cetak untuk dijadikan bahan pengajian di masjid.
- Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM










