Mudah lafaz talak, tanda suami tak matang - Utusan Malaysia

Mudah lafaz talak, tanda suami tak matang

PERCERAIAN memberi kesan dalam aspek kewangan, psikososial dan pendidikan anak-anak keluarga yang terlibat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“AKU ceraikan kamu dengan talak satu. Abang ceraikan kamu. Mulai saat ini kamu bukan lagi isteri aku,” Inilah antara ayat atau lafaz cerai yang terkeluar daripada mulut suami kepada isteri.

Kenapa begitu mudah melafazkan cerai? Sedangkan sewaktu ingin berkahwin, setiap pasangan boleh pula duduk semeja berbincang baik, berbicara dengan kata-kata manis untuk bernikah dan berjanji sehidup semati.

Namun apabila timbul masalah rumah tangga sikap suami berubah menjadi terburu-buru dalam menyelesaikan masalah.

Kaunselor yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Yusni Mohamad Yusop berkongsi kepada Seri, perkahwinan bahagia itu sendiri boleh dinilai melalui kematangan suami mengemudi bahtera keluarga untuk memastikan tanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak kapal (isteri dan anak-anak) sepanjang pelayaran.

DR. YUSNI MOHAMAD YUSOP

GAYA: Mengapa lelaki sekarang makin hilang sabar?

Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Negara pada 2020, kadar perceraian meningkat sebanyak 12 peratus, menunjukkan kira-kira 50,862 kes perceraian difailkan pada 2018. Ia meningkat kepada 56,975 kes pada 2019.

Data Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat 2017 pula menunjukkan perceraian pasangan usia muda berpunca daripada faktor ketidakfahaman, suami tidak bertanggungjawab, kecurangan dan campur tangan mentua.

Hal ini menggambarkan sikap kurang matang pasangan khususnya pihak suami dalam mengendalikan kemelut rumah tangga. Ketidakmatangan suami ini boleh menyumbang kepada kurang sabar dan bersikap terburu-buru dalam membubarkan ikatan perkahwinan.

Suami adalah ketua keluarga. Apakah peranan suami dalam membimbing isteri?

Seorang suami yang berilmu boleh memainkan peranan mendidik isteri dengan;

1) Membentuk peribadi dan personaliti isteri sebagai seorang wanita yang sesuai untuk menjadi isteri dan ibu.

2) Mengajarkan isteri untuk menjaga maruah diri, suami dan cara berpakaian. Mendidik isteri menghormati suami dan ahli keluarga sebelah suami dan isteri.

3) Mendidik isteri cara komunikasi yang baik dan berkesan dalam rumah tangga, cara bergaul dengan jiran tetangga serta had pergaulan dengan rakan-rakan khususnya yang berlainan jantina.

4) Membimbing isteri cara mengurus kewangan dengan baik. Isteri bekerja atau tidak, mereka harus sama-sama tahu mengurus kewangan keluarga secara sepakat dan berhemah.

5) Menyokong isteri dan berpakat dalam mengurus hal rumah tangga dan anak-anak.

6) Memimpin isteri untuk mematuhi ajaran agama. Suami harus membawa isteri dan anak-anak merapatkan hubungan baik dengan Allah SWT.

Perlukah kursus perkahwinan dianjurkan untuk pasangan sudah berkahwin?

Kursus perkahwinan merupakan salah satu kaedah seharusnya diberi perhatian untuk dilaksanakan secara wajib sebagai usaha menangani isu kes perceraian yang semakin meningkat.

Kursus boleh memfokus kepada bengkel bersiri antaranya, memantapkan hubungan suami isteri, pengurusan kewangan, gaya dan kemahiran keibubapaan, menangani konflik dalam keluarga serta menghadapi anak-anak remaja.

Kursus perkahwinan perlu dimantapkan lagi untuk menyemarakkan kasih sayang antara suami isteri.

Apakah impak perceraian jika kerajaan tidak mengambil langkah serius tangani?

Kajian mendapati, perceraian memberi kesan daripada aspek kewangan, psikososial dan pendidikan anak-anak kepada keluarga yang bercerai-berai.

Aspek Kewangan
Kesan ini amat dirasai oleh bekas pasangan khasnya suami atau isteri yang tidak bekerja apabila perceraian berlaku. Bekas pasangan terpaksa mencari kerja menanggung anak-anak dan menyara persekolahan mereka. Ada kemungkinan bekas pasangan terpaksa bergantung kepada bantuan dan zakat.

Aspek Psikososial
Khususnya terhadap bekas pasangan dan anak-anak adalah masalah emosi dan tingkah laku.

Masalah emosi misalnya tekanan dan kemurungan. Perasaan sedih, marah, dendam, kecewa, hilang kepercayaan dan rindu ini boleh mengheret bekas pasangan dan anak-anak kepada tekanan perasaan.

Kerumitan dan tekanan emosi yang tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan individu tercampak dalam kancah emosi yang kronik iaitu kesihatan mental.

Terdapat kes individu menanggung unfinished business seperti perasaan diabaikan, tidak mempercayai orang lain, anggapan generalisasi bahawa semua lelaki atau perempuan itu sama jahat (akibat kesalahan ibu atau bapa individu yang menjadi penyebab perceraian). Hal ini boleh mengganggu kualiti diri dan fungsi individu.

Masalah tingkah laku, perubahan sikap yang negatif khususnya anak-anak seperti menarik diri daripada sosial kerana rasa malu perceraian yang berlaku.

Adakalanya anak-anak yang masih tidak memahami erti perceraian menunjukkan sikap ‘protes’ kesan daripada kehilangan orang yang disayangi.

Kegagalan membantu isu ini boleh mengakibatkan meningkat gejala sosial seperti lari dari rumah, ketagihan bahan terlarang, jenayah juvana dan lain-lain.

Aspek Pendidikan

Keciciran pembelajaran akan berlaku, khususnya jika kedudukan sosio-ekonomi keluarga yang rendah.

Keperluan sebagai pelajar tidak dapat dipenuhi apabila kewangan ibu tunggal tidak stabil. Kesannya anak-anak meninggalkan alam persekolahan lebih awal dan terpaksa bekerja membantu ibu.

 

Tips dalam membentuk dan memantapkan keluarga bahagia

Pasangan harus belajar saling menerima dan menghargai pasangan mereka. Terimalah baik dan buruk seadanya dan berusaha menjadi pasangan yang baik kepada satu sama lain.

Suami perlu bina personaliti sebagai pemimpin keluarga yang berilmu, berakhlak, bersifat tegas dan penuh kasih sayang.

Suami berperanan penting memastikan pembentukan keluarga bahagia.

Bentuk budaya dan peraturan keluarga yang mematuhi ajaran agama dan norma masyarakat. Menjadikan agama sebagai teras keluarga dan praktiskan amalan murni yang sesuai dengan norma masyarakat.

Sentiasa sedar dan laksanakan peranan masing-masing sebagai suami, isteri dan anak dalam keluarga.

Wujudkan quality time khusus untuk keluarga. Contohnya keluar makan bersama, sambutan hari ulang tahun ahli keluarga, riadah, menonton, bercuti dan lain-lain mengikut kemampuan.

Uruskan semua isu kekusutan dengan segera, penuh adab dan telus khususnya berkaitan kewangan.

Praktis komunikasi berkesan dalam keluarga, antara suami, isteri, anak dengan orang luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN