Suara berbeza wajar diberi ruang – Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Suara berbeza wajar diberi ruang – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bersama Ismail Sabri Yaakob dalam Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – GAMBAR FB ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru semua pihak agar menghayati semangat Keluarga Malaysia yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam titah istiadat mengucap selamat berangkat, baginda bertitah, semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi, kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang semakin pelbagai.

“Keluarga Malaysia ialah keluarga yang besar. Menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan
untuk melaksanakan seadil-adil perimbangan kepada seluruh ahli keluarga secara bijaksana,” titah Sultan Nazrin di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.

Baginda bertitah, dalam hasrat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia, amatlah penting diberikan keyakinan bahawa setiap warga ada tempat dalam keluarga besar Keluarga Malaysia.

“Amalkan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan kelainan pandangan, begitu juga menghargai perbezaan pendekatan dan perbezaan kaedah, agar tercapai nanti secara konsensus pendapat, pandangan, pendekatan dan kaedah terbaik untuk manfaat negara dan warga.

“Suara yang berbeza sewajarnya diberi ruang untuk boleh diluahkan kerana rintihan hati yang dikurung berpotensi menyalakan bara marah dan mengalirkan lava dendam yang lebih volkano sifatnya,” titah baginda.

Sultan Nazrin menamatkan tempoh tugas-tugas sebagai Ketua Utama Negara pada 12 tengah malam semalam, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ismail Sabri.

Titahnya, sepanjang tempoh memenuhi amanah tersebut, selain daripada sesi menghadap sebelum berlangsungnya mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri turut mengadakan beberapa sesi menghadap, untuk menyembah maklum, berbincang, bertukar pandangan dan memohon panduan juga nasihat mengenai urusan-urusan negara, dalam semangat kekeluargaan.

“Dalam kesibukan tugas, masih bersedia meruang masa meraikan beta untuk mengadakan istiadat selamat berangkat dalam semangat pergi berkhabar, pulang berberita.

“Semoga Allah senantiasa melimpahkan nur penyuluh membantu Yang Amat Berhormat melakukan yang makruf, dan mendirikan dinding penghalang daripada dipengaruhi melakukan yang mungkar, semoga Yang Amat Berhormat dikurniakan hidayah dan kekuatan ketika dihempas badai ujian dan disemaikan rasa syukur dan takwa ketika berada di puncak kejayaan,” titah baginda

Baginda juga menyampaikan salam terima kasih kepada ahli-ahli Jemaah Menteri yang telah memberikan perhatian kepada titah-titah yang Beta zahirkan melalui Perdana Menteri.

“Beberapa orang Menteri telah mengambil tindakan susulan, ada yang menghadap beta untuk menyembah maklum balas. Beta menzahirkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai kerajaan yang membantu beta dengan membekalkan maklumat serta menyembah nasihat sebelum beta memperkenankan sesuatu keputusan, begitu juga kepada para pegawai dan petugas Istana Negara yang telah memudahkan beta menyempurnakan tugas dalam tempoh masa beta diamanahkan tanggungjawab Kepala Utama Negara.

“Semoga hubungan harmoni terus terjalin antara Istana Negara dan Putrajaya dalam semangat saling memahami, saling menghormati,” titahnya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, segala pandangan, nasihat serta buah fikiran dizahirkan Sultan Nazrin banyak membantu dan menjadi pedoman serta ingatan kepada beliau bersama rakan Jemaah Menteri dalam memastikan pentadbiran negara sentiasa berada di landasan tepat.

Memetik laporan Bernama, Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Nazrin sepanjang tempoh baginda menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.

“Sememangnya inilah azam kerajaan baharu bawah pimpinan patik pada hari tatkala mengangkat sumpah memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan warkah menjunjung kasih pada Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Istana Negara, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×