ALOR SETAR: Seorang lelaki tempatan ditahan polis semalam berhubung hantaran karikatur dipercayai menghina polis yang dimuat naik di media sosial miliknya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, penahanan suspek berusia 50 tahun itu dibuat setelah laporan polis diterima pada Ahad lalu berhubung hantaran berkenaan yang tular.
Katanya, suspek ditahan di hadapan Menara Seri Wilayah P2a, Putrajaya serta merampas satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran jelik di media sosial.
“Hantaran itu memaparkan karikatur dua imej lelaki berpakaian seragam polis, mengenakan solekan serta membawa beg tangan wanita di hadapan sebuah lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, hasil semakan mendapati sebanyak 38 laporan polis diterima dari negeri-negeri lain berhubung insiden sama.
Menurutnya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi untuk proses reman dan mahkamah membenarkan suspek direman selama dua hari bermula hari ini.
“Suspek yang bekerja sendiri dan sudah berkahwin serta tidak mempunyai rekod lampau disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang komen, spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batasan, melanggar peruntukan undang-undang sedia ada serta cuba mencetuskan provokasi atau menggugat keamanan negara,” katanya. – UTUSAN








