Hutan paya bakau benteng hakisan - Utusan Malaysia

Hutan paya bakau benteng hakisan

Teknik Comp-Mat untuk penanaman pokok paya laut yang dijalankan di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyedari kepentingan hutan pesisiran pantai dan hutan paya laut kepada kestabilan ekosistem kawasan pantai, Majlis Biodiversiti-Bioteknologi Negara (MBBN) ke-4 pada 2005 memutuskan agar kerajaan-kerajaan negeri serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) (pada masa itu dikenali sebagai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar—NRE) mengambil inisiatif memelihara serta memulihara ekosistem hutan paya laut.

Selaras dengan itu, KeTSA menubuhkan Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai. Ia dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KeTSA untuk menentukan hala tuju dan menyelaras pelaksanaan program ini secara bersepadu.

Objektif program adalah memulihara pesisiran pantai; mewujudkan zon penampan; memelihara dan memulihara habitat pesisiran pantai.

Selain itu meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika dengan penanaman pokok-pokok hutan paya laut dan spesies yang bersesuaian di pesisir pantai negara.

Program kebangsaan yang dilaksanakan di seluruh negara ini menggabungkan penyertaan dan kerjasama bersepadu daripada semua pihak iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, institusi penyelidikan, universiti-universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

Menerusi program ini Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut memainkan peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal mengenai Penyelidikan dan Pembangunan (JTRD).

Ketua Pengarah FRIM, Dr. Ismail Parlan berkata, pihaknya turut menjalankan penyelidikan bagi menjayakan program penanaman pokok spesies hutan paya laut serta memantau kesan sosio-ekonomi dan ekologi program penanaman tersebut.

Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kadar kemandirian pokok persisiran pantai yang ditanam terutamanya di kawasan berisiko tinggi, FRIM telah menjalankan kajian mengenal pasti kaedah penanaman yang sesuai.

DR. ISMAIL PARLAN

Hasil kajian mendapati teknik inovatif Comp-Mat dan Comp-Pillow adalah kaedah penanaman terbaik untuk spesies bakau dengan kadar kemandirian yang tinggi.

“Kaedah ini berpotensi untuk diguna pakai di lapangan dan didapati berjaya dengan bantuan struktur pemecah ombak seperti geo-tube. Plot demo bagi kajian ini terletak di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor,” ujarnya.

Beliau berkata, kaedah penanaman inovatif itu berjaya meningkatkan kadar kehidupan pokok bakau dan secara langsung menambahkan keluasan hutan, meningkatkan ketumpatan populasi serta menambah kepelbagaian spesies bakau.

FRIM juga menghasilkan maklumat lengkap dari segi penilaian ekonomi pembangunan ekopelancongan di persekitaran kawasan hutan paya laut.

Ia boleh dijadikan panduan kepada perancang khususnya jabatan perhutanan negeri agar keputusan dan polisi pengurusan dapat dibuat dengan lebih berkesan.

Hasil kajian ini juga dapat diguna dalam mempromosi ekosistem hutan paya laut dari segi kepentingannya dan perkhidmatan lain. Antaranya sebagai destinasi eko-pelancongan pilihan, di samping pemuliharaan secara berkekalan.

Sebagai tambahan, hasil kerjasama penyelidikan dengan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (YKMAM), FRIM berjaya tubuhkan satu germplasma hutan paya laut iaitu Germplasma Warisan Hutan Bakau di Bagan Datuk, Perak.

Ia bagi memastikan sumber biji benih pelbagai spesies pokok hutan paya laut dipelihara secara berterusan.

Melalui projek germplasma tersebut kata Dr. Ismail, semua spesies bakau yang terdapat di negara ini akan dikumpulkan di satu kawasan.

“Selain memulihara dan mengayakan kepelbagaian spesies pokok hutan paya laut, germplasma ini juga bakal menjadi salah satu medium pendidikan kepada masyarakat untuk mempelajari kepelbagaian spesies hutan paya laut yang terdapat di negara ini,” ujarnya.

Dr. Ismail berkata, setelah 15 tahun projek tersebut dilaksanakan, sebanyak RM58.34 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Bersesuaian di Pesisiran Pantai Negara sejak 2005 hingga 2020.

Sehingga 15 November 2020, seluas 5,908.68 hektar kawasan hutan simpanan kekal dan tanah kerajaan ditanam dengan sejumlah 13.66 juta pokok daripada spesies hutan paya laut dan spesies pesisir pantai di seluruh negara.

Antara spesies pokok yang ditanam termasuklah bakau kurap, bakau minyak, api-api, rhu pantai, ketapang, npah, nyireh dan tembusu.

“Saya percaya kajian oleh FRIM menepati objektif program ini kerana seperti yang dimaklumkan sebentar tadi, antara objektif program ini ialah untuk memulihara pesisiran pantai serta mewujudkan zon penampan.

“Hasil kajian FRIM mendapati zon pokok hutan paya laut terbukti berkesan sebagai pemampan semula jadi terhadap impak tindakan ombak di pesisiran pantai, “ katanya lagi.

Aktiviti penyelenggaraan tapak semaian dan pemantauan anak pokok spesies bakau di Bagan Datuk, Perak.

Menurut Dr. Ismail, kepadatan jajaran pokok bakau memainkan peranan dalam menurunkan kadar impak ombak terhadap pantai. Ini kerana kajian itu mendapati kelebaran 100m bakau berupaya mengurangkan ketinggian ombak dari 0.24m kepada 0.01m (bakau padat) dan 0.03m (kurang padat).

Selain itu, kajian-kajian lain FRIM mendapati kawasan hutan paya laut turut mengalami hakisan semula jadi, pembangunan kawasan bandar di pesisiran pantai, pertanian, penambakan, akuakultur, rekreasi, dan pelancongan.

Negeri Johor adalah antara negeri yang mempunyai hutan paya laut yang besar di Semenanjung Malaysia.

Namun begitu, antara kawasan hakisan pantai tertinggi yang dicatatkan ialah di Tanjung Piai, Johor dengan hakisan antara 3.2 ke 12.5 meter setahun iaitu kira-kira purata 0.3 ke satu meter sebulan.

Ia disebabkan oleh ombak dari kapal-kapal besar serta projek pembangunan dan penambakan di kawasan berhampiran.

Kajian juga mendapati purata kehilangan kawasan hutan paya laut di antara tahun 1990 hingga 2017 ialah 0.13 peratus bersamaan 788 hektar setahun.

Oleh itu, berdasarkan kajian-kajian ini, FRIM dapat mengesyorkan setiap negeri yang mempunyai dirian hutan paya laut mengekalkan dirian sekurang-kurangnya 100m lebar dari pesisir pantai bagi mengurangkan ketinggian ombak dan arus.

Aktiviti penanaman pokok hutan paya laut di Bagan Datuk, Perak.

HARI KONSERVASI IKTIRAF HUTAN BAKAU

Hutan paya laut di negara ini dianggarkan seluas 629,038 hektar (1.9 peratus daripada keluasan Malaysia) dan daripada jumlah itu, 411,095 hektar digazetkan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK)
Pokok spesies hutan paya laut didefinisi sebagai jenis tumbuhan berkayu yang hidup di kawasan pantai bersaliniti tinggi.

Secara umumnya, bakau merujuk kepada tumbuhan yang ditenggelami air laut pasang surut. Setiap hutan paya laut terdiri daripada spesies-spesies berlainan yang mempunyai tahap adaptasi yang berbeza di setiap zon persekitarannya.

Negara kita mempunyai kepelbagaian spesies hutan paya laut flora yang tinggi iaitu sebanyak 42 spesies telah dicatat daripada 52 spesies pokok hutan paya laut di Asia Tenggara (Mangrove Guidebook Southeast Asia).

Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO semasa Persidangan ke-38 pada 2016 mengisytiharkan 26 Julai setiap tahun sebagai Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa sebagai mengiktiraf sumbangan dan peranan hutan paya laut, khususnya di peringkat antarabangsa.

Pengisytiharan ini juga adalah pengiktirafan Unesco terhadap kepentingan hutan paya laut serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Hutan paya laut sedia ada juga perlu dikekalkan kerana ia merupakan sumber ekonomi penduduk pesisiran pantai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×