Tips kurangkan rabun mengadap gajet - Utusan Malaysia

Tips kurangkan rabun mengadap gajet

Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, ramai yang perlu menghabiskan masa belajar dan bekerja secara dalam talian di rumah.
Sudah tentu kaedah ini melibatkan komponen utama iaitu gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan juga tablet. Norma baharu telah memaksa kita meluangkan lebih masa berdepan dengan peranti elektronik dan ini berpotensi untuk menjejaskan penglihatan seperti rabun.

Oleh itu, selari dengan peredaran teknologi, industri perubatan telah menemui pelbagai kaedah untuk merawat dan mengurangkan masalah rabun.
Antaranya, teknologi pembedahan laser refraktif, iaitu kaedah rawatan mata secara laser atau lebih dikenali sebagai pembedahan LASIK (laser-assisted in situ keratomileusis) adalah salah satu pilihan untuk mengatasi masalah ini.

TEKNOLOGI RAWATAN LASIK
Pakar motivasi sekaligus pakar mata, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad berkata pembedahan laser ini adalah kaedah selamat, berkesan, dan hanya mengambil masa selama dua hingga 15 minit untuk
kedua-dua belah mata.

“Sudah lebih lapan ribu mata saya rawat menggunakan kaedah laser ini, ia boleh dilakukan untuk individu berusia antara 18 sehingga 45 tahun. Individu yang memilih rawatan ini perlu menjalani
pemeriksaan terperinci,” kongsinya.
Namun, tidak semua mampu untuk membiayai kos rawatan ini kerana harganya bermula dari RM3,000 dan boleh mencecah lebih RM10,000.

TIPS KURANGKAN RABUN DERDEPAN LAMA DENGAN GAJET
Bercakap kepada Utusan Malaysia pakar mata dan motivasi terkenal tanah air itu juga berkongsi tips untuk mengurangkan masalah rabun akibat berdepan dengan gajet terlalu lama.

Tips elak rabun:
1. Matikan atau jangan bermain dengan gajet sejam sebelum tidur
Menurut Prof Muhaya, apabila melihat skrin gajet, blue light akan masuk pada retina mata, ia tidak menyihatkan dan akan memberi risiko rabun lebih-lebih kepada kanak-kanak.

“Tabiat melihat gajet secara dekat adalah tidak digalakkan kerana semakin dekat individu itu melihat gajet, semakin tinggi risiko dan masalah rabun dihadapi.

“Blue light akan mengganggu hormon melatonin, sekaligus akan mengganggu waktu tidur individu. Oleh itu, digalakkan untuk tidak melihat skrin peranti elektronik satu jam sebelum tidur, cara ini bukan sahaja dapat membantu menyihatkan mata namun kesihatan secara keseluruhan,” terangnya.

2. Amal konsep 20, 20, 20
Tidak dinafikan ramai diantara kita jarang mengelipkan mata apabila berdepan dengan gajet. Jelas Muhaya ia adalah satu tindakan tidak sihat kerana individu perlu berkelip sebanyak 12 hingga 15 kali dalam masa seminit.

“Apabila individu itu jarang berkelip, kelenjar minyak yang terdapat di bulu mata tidak akan turun ke kornea, ini menyebabkan mata menjadi kering,” ujarnya.

Oleh itu, Muhaya berkongsi tips 20, 20, 20 iaitu, selepas 20 minit menghadap gajet individu perlu melihat kepada objek sejauh 20 kaki seperti melihat awan dan di luar tingkap selama 20 saat.
Tabiat Ini akan membantu untuk mengurangkan rabun akibat terlalu lama menghadap gajet.

3. Banyakkan melihat objek jauh
Antara tips yang paling mudah dikongsikan Muhaya adalah menyarankan individu untuk kerap melihat objek jauh. Menurutnya, kebanyakan individu sudah terbiasa melihat gajet dengan jarak dekat. Oleh itu, bagi membantu mata untuk lebih rileks, individu perlu membiasakan diri untuk melihat objek-objek yang jauh sebagai contoh melihat pokok-pokok, gunung ganang dan awan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN