Pencinta aktiviti mendaki hiking pasti tidak sabar untuk mendapat kelonggaran melakukan aktiviti sedemikian. Rindu mandi peluh dan merasai lelah.
Perasaan itu turut dirasai Zaiton Ridzuan, 57, seorang kaki hiking ini mula menyertai aktiviti tersebut sejak 1980-an.
Baginya, aktiviti itu cukup mendamaikan. Pelbagai bentuk khazanah berharga alam semula jadi seperti penemuan air sungai yang mengalir jernih, deras bunyi air terjun dan keunikan batu boleh dilihat menerusi aktiviti hiking.
“Lepas jatuh cinta dengan aktiviti lasak ini, saya pun terus mendaftarkan diri sebagai ahli Kelab Belia Perak. Walaupun bekerja tetap, ia bukanlah halangan untuk saya menyertai apa jua aktiviti riadah dianjurkan kelab kerana minat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ekspedisi Muhibah Mendaki Gunung Jerai anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak pada 1989 antara acara sulung disertainya.
Hampir separuh hidupnya terlibat dengan aktiviti pendakian. Kata Zaiton, ia didorong ingin mempelajari dan menyelami ilmu kehidupan alam semula jadi di hutan dengan lebih dekat.
Pasangan Zaiton Ridzuan dan Azahari Ahmad Lias saling berkongsi minat mendaki gunung dan bukit.

“Selain mengagumi kebesaran ciptaan Allah, saya mahu menikmati, menghayati dan menerokai setiap sisi hutan belantara yang memiliki nilai estetika dan metafora yang sangat istimewa dan berharga,” katanya.
Seusai mendirikan rumah tangga dengan Azahari Ahmad Lias, 55, minat mendakinya dilupakan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
PEMERGIAN ANAK TUNGGAL
Namun pemergian anak sulung pada 2014 kala usia permata hatinya hanya 14 tahun kerana kemalangan jalan raya, benar-benar memberi tamparan hebat buat Zaiton dan Azahari.
Bagi mengubati kesedihan dan menerima ketentuan qada dan qadar, mereka berdua mendekatkan diri kepada Allah.
“Dalam masa sama turut melibatkan diri dalam aktiviti pendakian sebagai terapi diri,” katanya.
Zaiton mengakui, lama tidak hiking menyebabkan mudah pancit.
“Kami memulakan langkah pertama pendakian di Banjaran Bukit Tabur di Taman Melawati, Hulu Kelang. Pada mulanya saya pancit sebab lama tidak mendaki.
“Namun berbekalkan pengalaman tambahan pula suami, pesara tentera yang sebelum ini berkhidmat unit Pasukan Gerak Khas 22 Komando banyak membantu menerusi pendakian sulung kami itu,” katanya mengimbau kenangan.
Selepas ‘lulus’, mereka meneruskan pendakian di lokasi lain antaranya Gunung Gap Ulu Semangkuk, Gunung Pine Tree Hill dan Gunung Mini Irau.
“Selepas bertemu Ahmad Zahid Hassan, iaitu ketua kumpulan Rawang Hikers Mountain Club, kami makin ligat mendaki. Kumpulan ini adalah antara kelab pendakian yang sangat aktif di sekitar Bukit Sentosa Rawang Selangor.
“Bersama mereka, kami boleh berkongsi ilmu, tips, nasihat dan pengalaman pendakian dengan para pendaki lain.
“Sejak itu kami semakin bergiat aktif dan seringkali menyertai beberapa ekspedisi pendakian anjuran kelab seperti di Gunung Pulai, Gunung Baling, Bukit Mak Cun, Gunung Reng, Gunung Ledang, Gunung Datuk, Gunung Angsi dan Gunung Nuang,” katanya.

BEZA BUKIT, GUNUNG
Antara mendaki gunung dan bukit, Zaiton berkata, pendakian gunung memberi kepuasan kerana pemandangannya jauh lebih cantik dihiasi dengan rimbunan pokok renek, pokok bonsai, dikelilingi hutan lumut atau istilah mossy forest, ditemani udara yang sejuk dan seluas saujana mata memandang.
Pasangan ini turut mencabar diri dengan menawan G7 yang dikatakan mempunyai senarai tujuh gunung di Semenanjung Malaysia berketinggian melebihi 2,000 meter.
“Pendakian G7 sememangnya jadi idaman dan matlamat utama mencapai kepuasan maksimum bagi kebanyakan pendaki tegar. Setakat ini lima puncak G7 berjaya ditakluki antaranya Gunung Korbu (Perak), Gunung Yong Belar (Pahang) dan Gunung Yong Yap (Perak).
“Kami tidak sempat melengkapkan senarai baki pendakian G7 iaitu di Gunung Tahan (Pahang) dan Gunung Chamah (Kelantan) yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac 2020,” katanya.
Biarpun segala aktiviti pendakian terhenti akibat gelombang pandemik pasangan ini mengubat kerinduan dengan aktiviti berjoging, berbasikal dan mendaki bukit kecil berhampiran dengan rumahnya yang disifatkan sebagai latihan pemanas badan.
CABARAN
Dalam apa jua pendakian sudah semestinya mempunyai pelbagai halangan dan cabaran yang perlu dilalui.
Antaranya perlu mendaki menyusuri lereng berbatu yang tajam tanpa menggunakan sebarang bantuan tali keselamatan, trek basah dan licin serta kasut yang dipakai terbenam hingga ke lutut.
Namun itulah manisnya dunia hiking.
“Bagi menangkis cabaran itu, pendaki perlu mempunyai kecergasan stamina, ketahanan fizikal dan mental perlu seiringan kerana ia akan digunapakai nanti.
“Paling penting jangan malu dan takut menuntut ilmu daripada mereka yang profesional,” katanya.
Ujar Zaiton, pendakian lebih baik dilakukan secara berkumpulan bagi mengelak berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
“Sewaktu hiking, jangan lupa tanggungjawab kita terhadap alam sekitar. Budaya melestari alam perlu disemat. Agak menyedihkan apabila segelintir pendaki gemar membuang sampah terutamanya bila berada di puncak.
“Penat bagaimana sekalipun solat jangan tinggal kerana itu kewajipan kita terhadap Allah di samping memohon diri kita dilindungi dari sebarang bahaya,”









