‘Projek Semanis Negaraku’ idea Ziddaini bantu peniaga - Utusan Malaysia

‘Projek Semanis Negaraku’ idea Ziddaini bantu peniaga

Daini Putra Yazit bersama manisan projek ‘Semanis Negaraku’ sempena Hari Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi mereka yang bekerja dalam bidang dekorasi, sudah semestinya ingin tampil dengan hasil gubahan dan deko yang menarik minat ramai. Namun tidak dinafikan golongan ini merupakan antara terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Sentiasa berfikir di luar kotak dan merealisasikan idea unik tersebut. Itulah prinsip dan konsep seorang perancang majlis dan dekorasi yang tidak asing lagi di tanah air iaitu Ziddaini Putra Yazit.

Dari bidang pengurusan dan teknologi pejabat ke bidang dekorasi, Ziddaini, 43, atau lebih mesra dipanggil Daini mengakui cukup terkesan dengan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana dia tidak menerima sebarang tempahan.

Namun itu tidak menghalang Daini untuk terus berkarya. Oleh kerana semangat dan dedikasi yang ditonjolkan, dia tampil dengan projek ‘Semanis Negaraku’ hasil kolaborasi dengan beberapa pihak sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Bila terfikir idea ini, saya mula membuat carian di Google bagi mendapatkan gambaran idea. Malangnya tiada rujukan diperoleh. Hanya ada kisah mereka menghasilkan satu produk khusus mengikut kepakaran mereka sahaja.

“Dari situ saya terus semangat untuk hasilkan projek lebih menarik iaitu gabungan banyak jenis makanan mengikut konsep dan warna Jalur Gemilang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

PELUANG TONJOL BAKAT

Sesuai dengan slogan ‘Keluarga Malaysia Prihatin’, Daini berkata, niatnya melaksanakan projek ini adalah membantu perniagaan makanan kecil-kecilan yang terjejas akibat pandemik ini.

“Saya menterjemahkan keprihatinan saya berdasarkan tema tersebut untuk membantu mereka yang ada perniagaan.

“Saya pilih orang yang boleh merealisasikan idea saya, saya nak mereka yang boleh mencabar diri untuk memberi kelainan, kerana itu saya tampil dengan projek Semanis Negaraku,” katanya.

Menurut Daini, mainan jiwa adalah perkara asas yang ditekankan dalam projek ini, oleh itu, konsep jalur gemilang adalah tema yang sesuai dan dia ingin memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk menonjolkan bakat yang ada.

“Saya mahu inspirasikan orang, apabila kita hendak lakukan sesuatu kita buat sehabis baik. Saya juga nak buktikan walaupun kita tidak mengenali antara satu sama lain tetapi kita boleh bersatu dalam menjayakan projek yang dilakukan kerana kita adalah Keluarga Malaysia,” kongsinya penuh rasa patriotik.

‘BURGER’ antara makanan yang terdapat dalam ‘Projek Semanis Negaraku’.

RAKAN-RAKAN KOLABORASI

Berkecimpung dalam bidang dekorasi selama 10 tahun, Daini berkata, selepas mendapat idea untuk merealisasikan projek tersebut, dia terus mencari orang yang diperlukan di laman Facebook.

Dia menzahirkan rasa syukur kerana apabila setiap kali hendak berkolaborasi dengan mana-mana pihak, sentiasa menerima respons positif.

“Dua rakan kolaborasi adalah mereka yang saya kenal dan jumpa, dua orang lagi sekadar rakan di Facebook dan tahu kepakaran mereka. Manakala lapan orang adalah mereka yang dicari dan baru menjadi rakan di Facebook setelah mereka bersetuju berkolaborasi.

“Kebanyakan dari mereka adalah suri rumah dan melakukan perniagaan sepenuh masa serta secara sambilan,” jelasnya.

ANTARA corak makanan yang menarik dihasilkan daripada warna Jalur Gemilang.

CABARAN

Apa jua perkara yang dilakukan, mesti ada cabaran dan ujian yang perlu diharungi. Namun bagi Daini ia bukanlah satu penghalang.

Menurutnya, ada yang terpaksa berjumpa di sempadan negeri dipisahkan oleh tembok, batu dan kawat besi bagi mendapatkan produk makanan daripada rakan kolaborasinya itu.

“Bukan mudah untuk mendapatkan produk-produk tersebut. Ada yang tinggal berdekatan kawasan rumah saya. Ada yang terpaksa merentas daerah.

“Ada juga yang membuat kiriman pos dari Perak, Kelantan dan juga Kuala Lumpur,” kongsinya terharu dengan kesungguhan ditunjukkan oleh rakan-rakannya.

Daini ingin menunjukkan bagaimana makanan itu boleh dihasilkan dan dipersembahkan dari sudut berbeza berdasarkan pengalaman serta idea yang dia miliki.

Menurutnya, rancangan asal ada 15 tajaan jenis makanan namun di saat akhir lima daripadanya terpaksa menarik diri atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu hanya 10 jenis tajaan makanan saja dalam projek ini.

Kongsi Daini, hasil kolaborasi tersebut disedekah kepada jiran kawasan perumahannya.

“Jiran saya melihat saya membuat penggambaran di kawasan rumah dan mereka terkejut melihat hasil pada sesetengah makanan terutama yang berbeza warna dari kebiasaan,” ujarnya.

PENGHARGAAN (Senarai makanan dan tajaan)
1. Roti jala – Nur Nadia Muhamad Onif
2. Kek gulung mini – Siti Hajar Khuzai
3. Macaron – Zamzila Ahmad Shafandi
4. Kuih lapis – Zarina Mohd. Zaman
5. Kuih bulan – Syazana Mohmad Said
6. Manisan meringue – Ros Syamimi Mohd. Nor
7. Tart keju – Norfazliza Mohd. Jali
8. Puding – Fazniza Razali
9. Biskut berhias – Izwani Abd. Latif
10. Putu mayam – Hasliana Hanafi dan Mohamad Hibatullah Abd. Hamid (suami isteri)
11. Jurugambar – Haniz Hazirah Azahah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN