KUALA LUMPUR: Penetapan syarat simpanan minimum sebanyak RM15,000 bagi bakal jemaah haji berjaya mengurangkan kadar penangguhan tawaran haji kepada 18 peratus pada musim haji ini berbanding kira-kira 50 peratus tahun lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, penetapan jumlah simpanan itu dibuat selaras dengan kadar bayaran haji terendah bagi kumpulan berpendapatan rendah (B40), meskipun kos sebenar menunaikan ibadah haji pada musim lalu mencecah RM33,300.
Beliau berkata, syarat berkenaan terbukti berkesan dalam memastikan bakal haji yang menerima tawaran berada pada tahap kesiapsiagaan kewangan yang lebih baik.
“Penetapan jumlah simpanan minimum RM15,000, selari dengan bayarah kadar bayaran haji terendah bagi kumpulan B40, walaupun kos sebenar menunaikan haji pada musim lalu adalah RM33,300.
“Syarat diperkenalkan musim haji ini ternyata berkesan apabila kadar penangguhan tawaran haji berjaya mengurang kepada 18 peratus, berbanding kira-kira 50 peratus pada tahun lalu selepas.
“Penurunan ini menunjukkan tahap simpanan merupakan indikator penting dalam menentukan tahap kesiapsiagaan sebenar bakal haji untuk menerima tawaran dan menunaikan ibadah haji pada tahun giliran haji,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai justifikasi TH memperkenalkan syarat baharu dengan mewajibkan pendeposit menyimpan minimum RM15,000 dalam akaun bagi membolehkan bakal jemaah menerima tawaran haji.
Dalam pada itu, Marhamah berkata, Tabung Haji (TH) tidak melaksanakan tawaran Haji Khas berdasarkan kategori tertentu kerana langkah itu boleh menjejaskan sistem giliran sedia ada.
Katanya, pengenalan kategori tawaran khas berpotensi memberi kesan kepada pendeposit lain yang telah lama menunggu giliran untuk menunaikan ibadah haji.
“Sebarang pengenalan kategori tawaran haji khas berpotensi menjejaskan sistem giliran sedia ada dan memberi kesan kepada pendeposit lain yang sudah lama menunggu giliran untuk menunaikan ibadah haji.
“Pendekatan ini juga selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam pengurusan giliran haji yang diamalkan oleh TH sejak sekian lama,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan tiada kes penipuan pakej haji dilaporkan sepanjang musim haji tahun ini.
Menurut beliau, TH sentiasa menjalankan pemantauan terhadap pengelola jemaah haji yang berlesen, manakala tindakan terhadap pihak tidak berlesen dilaksanakan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut bidang kuasa masing-masing.
“TH sentiasa memantau pengelola jemaah haji yang dilesenkan, manakala tindakan terhadap pihak yang tidak dilesenkan dilaksanakan bersama MOTAC dan PDRM mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya. – UTUSAN










