Penganggur dipenjara lima bulan curi wang tabung masjid

Penganggur dipenjara lima bulan curi wang tabung masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Tindakan seorang penganggur mengumpil dan melarikan wang RM50 daripada tabung sebuah masjid mengundang padah apabila dia dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mohamad Syafizi Md. Shuhairi, 34, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Ashrul Wan Afham Mohamad Azmi atas pertuduhan mencuri wang tabung Masjid Putra Taman SBJ, Wakaf Bharu pada 30 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri wang tabung masjid itu pada pukul 7 petang, 30 Jun 2026, daripada milikan Masjid Putra Taman SBJ di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebatan.

Mengikut fakta kes, pihak masjid menyedari tabung berkenaan telah diumpil sebelum membuat laporan polis. Siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian merakam kelibat tertuduh memasuki masjid pada pukul 7 petang sebelum melarikan tabung berkenaan.

Susulan laporan polis, tertuduh diberkas pada 2 Julai lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshalizawati Muhammad.

Roshalizawati memohon hukuman minimum dengan alasan anak guamnya telah insaf, tidak mempunyai pekerjaan dan masih bujang.

Bagaimanapun, Mahfuzah Hamizah memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kerana kesalahan itu melibatkan kecurian di rumah ibadat. Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh dia ditangkap.

Dalam prosiding sama, Mohamad Syafizi turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah berbahaya jenis methamphetamine di Ibu pejabat Polis Daerah Tumpat pada 2 Julai lalu.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan laporan kimia bagi pertuduhan dadah tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN