PETALING JAYA: Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel, Trademark Collection by Wyndham, memanfaatkan platform Everse 2026 untuk memperkukuh promosi sektor pelancongan dan hospitaliti Genting Highlands.
Ini sekali gus menyokong usaha merancakkan ekonomi pelancongan domestik menerusi penglibatan golongan belia.
Kedua-dua hotel di bawah Kumpulan Syarikat NCT (NCT Group) itu akan menyertai Everse 2026 yang berlangsung pada 18 hingga 19 Julai di Hextar World, Empire City.
Acara yang dianjurkan dengan kerjasama SEGi University College itu menghimpunkan pelbagai elemen budaya belia seperti esukan, K-pop, cosplay, keusahawanan dan penciptaan kandungan.
Naib Presiden Eksekutif Ion Majestic Hospitality Sdn.Bhd. merangkap Ketua Strategi Korporat dan Pembangunan Perniagaan NCT Group, Tee Yih Fung, berkata, Everse 2026 adalah platform strategik untuk memperkenalkan Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel kepada segmen pengguna muda yang berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan industri pelancongan pada masa depan.
Ujarnya, usaha itu selaras dengan aspirasi syarikat untuk menawarkan pengalaman hospitaliti yang menggabungkan kreativiti, gaya hidup dan nilai tambah kepada pengunjung.
“Kami mahu memberi peluang kepada pengunjung mengenali keunikan Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel serta menjadikan Genting Highlands sebagai destinasi pilihan untuk percutian dan gaya hidup,” katanya dalam kenyataan.
Terletak dalam pembangunan bersepadu Grand Ion Majestic milik NCT Group di Genting Highlands, kedua-dua hotel itu berada pada ketinggian kira-kira 6,000 kaki dari aras laut dan menawarkan pelbagai kemudahan termasuk pemandangan panoramik tanah tinggi, piramid langit atas bumbung tertinggi di Malaysia, kolam renang air panas, jambatan penghubung berlantai kaca serta ruang acara.
Penyertaan dalam acara berskala besar seperti Everse 2026 dijangka membantu meningkatkan kesedaran jenama, merangsang tempahan hotel serta menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem pelancongan dan ekonomi tempatan, khususnya di Genting Highlands.
Penyertaan tersebut juga dilihat sebagai strategi pemasaran bagi meningkatkan keterlihatan jenama serta menarik lebih ramai pelancong ke Genting Highlands melalui pengalaman interaktif di reruai khas yang mengetengahkan kemudahan dan tarikan hotel.
Pengunjung berpeluang mengenali produk hospitaliti yang ditawarkan termasuk bilik bertema, dek pemerhatian, Edge Skywalk Hoverland yang terletak di bangunan pada altitud tertinggi serta Hard Rock Cafe menerusi pelbagai aktiviti interaktif seperti sesi fotografi, cabaran “Guess the Destination” dan Mystery Box.
Sempena Everse 2026, hotel itu turut memperkenalkan pakej eksklusif Rockstar Stay Package pada harga RM488, merangkumi penginapan satu malam bersama sarapan untuk dua orang, hidangan set untuk dua orang di Hard Rock Cafe Genting Highlands serta hadiah eksklusif Hard Rock Cafe. – UTUSAN










