PUTRAJAYA: Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Inisiatif Cermat Madani sehingga semua persoalan berkaitan tadbir urus, persaingan industri, keselamatan data serta perlindungan pengguna diperhalusi dan diperjelaskan secara menyeluruh.
Presidennya, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, pihaknya menyokong hasrat kerajaan memperkukuhkan aspek keselamatan jalan raya menerusi pendigitalan, namun pelaksanaan sesuatu dasar perlu dibuat secara telus, adil dan melibatkan semua pihak berkepentingan supaya tidak mencetuskan persepsi negatif dalam industri.
Menurut beliau, PERWATAM yang dianggotai lebih 900 ahli turut membawa suara lebih 15,000 wakil takaful am dan ejen insurans di seluruh negara.
Katanya, persatuan itu juga akan berganding dengan beberapa persatuan ejen insurans am lain bagi menyampaikan pandangan serta kebimbangan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan inisiatif berkenaan.
“Kami bukan menolak keputusan kerajaan, sebaliknya mahu berkongsi pandangan mengenai kemungkinan berlaku ketidakseimbangan dalam industri sekiranya pelaksanaan diteruskan tanpa mekanisme pemantauan dan tadbir urus yang jelas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, antara perkara yang menjadi kebimbangan PERWATAM ialah pembaharuan insurans dan takaful melalui aplikasi MyJPJ yang dikhuatiri boleh mewujudkan tanggapan layanan istimewa kepada syarikat tertentu sekali gus menjejaskan persaingan sihat dalam pasaran.

Menurut Khairi Anuar, proses memperbaharui polisi insurans dan takaful bukan sekadar urusan digital kerana pengguna masih memerlukan khidmat nasihat profesional, bantuan selepas jualan, pengurusan tuntutan, pindaan polisi selain sokongan ketika berdepan kemalangan atau kecemasan.
“Insurans ialah produk yang memerlukan nasihat profesional. Ia bukan produk yang boleh dibeli tanpa panduan ejen. Urusan cukai jalan adalah tanggungjawab JPJ, tetapi perlindungan insurans seharusnya terus dikendalikan oleh ejen yang bertauliah,” katanya.
Mengulas kesan terhadap pendapatan ejen, Khairi Anuar berkata, pelaksanaan Cermat Madani dijangka memberi impak besar berikutan promosi melalui platform kerajaan bersama tawaran rebat tambahan sebanyak 10 peratus mampu mengubah corak pasaran.
“Kalau bercakap mengenai pendapatan, sudah tentu ia akan terjejas. Apabila pengguna ditawarkan promosi secara meluas bersama diskaun tambahan, ia memberi kesan terus kepada pendapatan ejen yang bergantung kepada komisen,” katanya.
Beliau berkata, walaupun setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi daripada pengguna berkaitan sistem tersebut, PERWATAM berpandangan isu akan timbul apabila pelanggan memerlukan bantuan selepas membuat pembelian, khususnya ketika menguruskan tuntutan atau berdepan kecemasan di jalan raya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PERWATAM, Khidir Zulkifli berkata, kenyataan penafian (disclaimer) yang dipaparkan dalam platform MyJPJ boleh mengelirukan pengguna kerana mereka mungkin tidak mengetahui pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku pertikaian atau masalah berkaitan transaksi.
“Sebagai platform rasmi kerajaan, pengguna semestinya akan merujuk kepada JPJ apabila timbul sebarang masalah kerana urusan dibuat melalui platform tersebut,” katanya.
Bendahari Agung PERWATAM, Muhammad Syameem Ahmad pula berkata, pihaknya turut menzahirkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan data memandangkan JPJ memiliki pangkalan data pemilik kenderaan terbesar di negara ini.
Tambahnya, sebarang bentuk kerjasama dengan pihak swasta yang melibatkan perkongsian atau integrasi data perlu disokong dengan jaminan keselamatan siber, kawalan akses, audit berkala serta mekanisme pemantauan yang jelas bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat pengguna.
Sementara itu, Exco Media dan Digital PERWATAM, Laiyyinah Abdul Muthalib berkata, persatuan itu menyokong usaha kerajaan memperluaskan pendigitalan perkhidmatan awam, namun pelaksanaannya perlu memastikan semua pemain industri diberi peluang yang adil tanpa mewujudkan persepsi monopoli.
Menurut beliau, sesuatu dasar yang baik perlu dibentuk melalui proses libat urus bersama semua pihak berkepentingan termasuk persatuan ejen, syarikat insurans, pengendali takaful dan agensi kerajaan supaya manfaatnya dapat dinikmati pengguna tanpa menjejaskan ekosistem industri.
Dalam pada itu, Khairi Anuar berkata, PERWATAM sudah mengemukakan permohonan mengadakan pertemuan rasmi dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan selain mendapatkan penjelasan mengenai hala tuju pelaksanaan Cermat Madani.
“Secara diplomatik melalui kenyataan media kami memohon supaya pelaksanaan ini ditangguhkan. Namun matlamat utama kami ialah supaya urusan jual beli insurans dan takaful tidak dilaksanakan menerusi aplikasi MyJPJ.
“Biarlah pasaran ini terus beroperasi secara adil, kerajaan menjalankan peranan sebagai pengawal selia manakala urusan perlindungan insurans kekal diuruskan oleh ejen yang bertauliah,” katanya. – UTUSAN










