Selawat tafrijiyyah amalan ketika dalam kesusahan atau berhajat sesuatu - Utusan Malaysia

Selawat tafrijiyyah amalan ketika dalam kesusahan atau berhajat sesuatu

Buku karangan Dr. Alvian yang diterbitkan di Indonesia adalah buku terlengkap menerangkan sejarah, sanad dan hujah-hujah mengenai selawat tafrijiyyah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun ini banyak membuat umat Islam semakin menginsafi diri mereka dan kembali ke jalan Allah.

Bukan sedikit yang kehilangan sanak saudara sehingga membuatkan mereka berusaha untuk sentiasa bergantung kepada Allah SWT.

Ada yang memilih berdoa, berzikir, bertahlil, membaca yasin dan bermacam-macam lagi. Tidak sedikit yang sentiasa berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW siang dan malam.

Semuanya untuk mendapat keberkatan dan ketenangan agar dipermudah segala rintangan yang dihadapinya.

Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah swt memberi akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat (Riwayat Muslim)

Baginda juga bersabda: Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat.

Barang siapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam syurga). (Riwayat al-Baihaqi)

Keutamaan berselawat juga jelas dalam firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi (Muhammad), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Salah satu selawat yang tersohor seantaero dunia adalah selawat tafrijiyyah. Selawat ini terkenal dengan pelbagai nama. Antaranya Taziyyah, Nariyyah Qurthuiyyah, Kamilah dan lain-lain.

Kemasyhuran selawat ini merentasi benua dari hujung Timur sehinggalah di hujung Barat negara Islam iaitu Maghribi. Lulusan doktor falsafah dari Darul Hadis Hasaniyyah, Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi, Dr. Alvian Iqbal Zahasfan membuat kajian ilmiah terhadap selawat ini dan memuatkan bukti-bukti kesohoran selawat ini seperti di Istanbul, Maghribi dan Indonesia.

Di Malaysia pula, selawat ini dibaca di pondok-pondok, masjid-masjid, surau-surau, majlis-majlis, madrasah-madrasah dan lain-lain.

Sudah menjadi adat dan amalan umat Islam di seluruh dunia mengamalkannya ketika dalam kesusahan atau berhajat sesuatu, maka mereka bertawassul dengan selawat yang indah ini.

Maka umat Islam sejak lama telah menerima dan mengamalkannya. Tentulah pelik kalau ada orang pada hari ini yang mentohmah selawat ini sebagai syirik, bidaah atau sesat? Tidakkah mereka tahu bahawa ulama-ulama agung menerimanya?

MENGARANG SELAWAT

Pengarang Selawat Tafrijiyyah ialah Sheikh Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad al-Tazi (w. 866H). Al-Tazi dinisbatkan kepada daerah asal beliau iaitu Tazah, Timur Maghribi tidak jauh dari Fez.

Sempat menuntut ilmu di Tazah dan menghafal al-Quran, hadis dan kitab-kitab matan lainnya. Kemudian beliau berpindah ke Tlemcen (hari ini sebuah bandar lama di hujung Barat Algeria).

Ketika di Tlemcen, beliau sempat menuntut ilmu daripada Sheikh Muhammad bin Marzuq al-Hafid yang sanadnya sampai kepada Sheikh Abu Madyan al-Ghauth al-Tilimsani (w. 594H).

Setelah lulus dari Tlemcen, beliau menyambung pengembaraan ilmu ke kota Oran (baca: Wahran), Algeria.

Di sini beliau sempat menuntut ilmu dengan Sheikh Muhammad bin Umar al-Huwari. Beliau menutup pengembaraan ilmunya di Barat Islam di Tunisia dan menuntut di bawah bimbingan Sheikh Abd. al-Aziz al-Abdusi.

Seterusnya beliau berkelana ke Timur Tengah melalui jalan darat untuk melakukan haji. Maka beliau sempat berhenti di Libya, Mesir dan akhirnya sampai di Mekah.

Ketika di Mekah inilah, Sheikh al-Tazi sempat mengambil ilmu dan sanad riwayat daripada ulama hadis Mekah iaitu Sheikh Taqi al-Din al-Fasi (w. 832H). Dengan kata lain, pengarang Selawat Tafrijiyyah ini bukanlah calang-calang ulama.

Beliau adalah tokoh yang mengumpulkan ilmu zahir dan batin. Selepas haji, beliau pulang ke tanah air dan menetap di Oran serta membuka Zawiyah di sana.

AMALAN POPULAR

Beliau memiliki ramai murid termasuk Sheikh Ahmad Zarrouq al-Fasi (w. 899H), Imam al-Sanusi (w. 895) pengarang kitab Umm al-Barahin terkenal, Ahmad ibn Zackry al-Tilimsani (w. 899H) dan lain-lain ulama besar di Barat Islam.

Selawat Tafrijiyyah juga diamalkan oleh ulama di alam Melayu seperti Sheikh Khalil Bangkalan (w. 1925M), Madura yang ia masukkan di dalam Ratibnya sendiri.

Kyai Hj. Zamroji, Kediri pula membacanya setiap hari yang mengambil sanad selawat ini dari Musnid Dunya; Sheikh Yasin Padang (w. 1990M) di Mekah.

Selain ia terkenal dalam kalangan orang awam, pihak Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim juga telah mengabsahkan amalan Selawat Tafrijiyyah dan menerbitkan sebuah risalah tentang keistimewaan Selawat Tafrijiyyah ini pada 2018.

Akhir-akhir ini muncul tohmahan yang mengatakan selawat ini sebagai syirik dan haram mengamalkannya. Ini disebabkan sighat selawat ini kononnya mengandung unsur-unsur memohon kepada makhluk atau dikenal dengan tawassul dengan orang yang telah wafat.

Lafaz dalam bahasa Arab Selawat Tafrijiyyah yang terkenal.

Berikut adalah terjemahan selawat: “Ya Allah limpahkanlah rahmat yang sempurna dan berilah kesejahteraan yang sempurna kepada junjungan kami Nabi Muhammad yang menjadi sebab terlepasnya segala kebuntuan dan terbukanya segala kesempitan serta dikabulkan segala hajat dan diperoleh segala pemberian serta dikurniakan husnul khatimah dan dikurniakan limpahan rahmat berkat keagungan Baginda SAW. (Dan limpahkanlah rahmat dan salam) kepada seluruh ahli keluarga baginda dan para sahabatnya dalam setiap kerlipan mata dan nafas setiap makhluk Allah, wahai Zat yang menguasai seluruh alam”.

Kalau dilihat maknanya, tiada sama sekali unsur syirik atau kepercayaan Nabi Muhammad SAW yang menjadikan semua yang dipohonkan. Akan tetapi baginda adalah tempat perantaraan dengan harapan dikabulkan permintaan kita.

Ini dinamakan tawassul dengan orang yang masih hidup atau meninggal, dan ia diharuskan bahkan sunnat oleh mayoritas ulama seperti Imam al-Nawawi (w. 676H), Sheikh Daud al-Fatani (w. 1847M), Sheikh Abdulllah Fahim (w. 1960) dan banyak Jabatan Mufti Negeri di Malaysia.

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×