NEW YORK: Bintang antarabangsa, Rihana dinobatkan sebagai pemuzik wanita terkaya dunia dengan nilai kekayaan mencecah AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion).
Portal The Guardian melaporkan, bagaimanapun hampir keseluruhan nilai kekayaan penyanyi lagu Umbrella itu tidak diraih menerusi jualan muzik, sebaliknya daripada kejayaan empayar perniagaan kosmetiknya, Fenty Beauty.
Rihana atau nama sebenar, Robyn Fenty, 33, bergabung dengan konglomerat mewah Perancis LVMH, memulakan perniagaan kosmetik pada 2017 dengan nilai pemilikan sebanyak 50 peratus.
Pada tahun pertama operasinya, Fenty Beauty meraih jualan mencecah AS$550 juta, melebihi keuntungan yang diperolehi jenama kosmetik selebriti lain.
Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif LVMH, Bernard Arnault yang juga lelaki ketiga terkaya dunia, menyifatkan Rihana sebagai usahawan sebenar.
“Umum mengenali Rihana seorang penyanyi berbakat, tetapi menerusi kerjasama dengan Fenty Beauty, saya menyifatkannya seorang usahawan sebenar dan pemimpin yang hebat,” katanya.
Rihana bagaimanapun bukan selebriti sulung meraih kekayaan menerusi jualan kosmetik.
Personaliti termuda rancangan realiti Keeping Up With The Kardashians, Kylie Jenner pernah dinobatkan jutawan termuda 2019 dengan kejayaan empayar perniagaan, Kylie Cosmetics.










