Menjadi sebahagian daripada petugas barisan hadapan sewaktu negara berselubung pandemik Covid-19 memberi kepuasan luar biasa.
Biarpun tugasan dilakukan selama ini dianggap normal dan digalas dengan penuh rasa tanggungjawab, rupa-rupanya bila berdepan virus pembunuh ini, ia memberikan rasa bangga yang sukar diungkap dengan kata-kata.
“Mempertaruhkan nyawa, antara hidup atau mati. Walaupun perkhidmatan dilakukan tanpa mengenal masa dan waktu, saya rasa bangga sangat,” katanya Mohd. Nazarudin Muthar kepada Utusan Malaysia.
Pemandu kenderaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh, Selangor (ILKKM) ini berkata, apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah
Kawalan Pergerakan(PKP1.0) 18 Mac 2020, dirinya sudah dapat membayangkan cabaran kerjanya dalam situasi yang tidak menentu itu.
“Pada waktu itu tugas utama saya ialah membantu pihak Hospital Sungai Buloh, Selangor mengambil dan menghantar pesakit yang dijangkiti Covid-19 ke lokasi pusat kuarantin yang telah ditetapkan.
“Ia bertujuan pengasingan dan pemantauan oleh pasukan perubatan. Waktu itu rasanya sangat kritikal dan menakutkan kerana pandemik ini amat luar biasa jangkitannya. Rasa takut itu sebenarnya sentiasa bersarang di hati,” katanya.
Waktu itu, pesakit diletakkan di beberapa lokasi seperti Hospital Sungai Buloh, Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh, Asrama Pelatih ILKKM Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Rehabilitasi Cheras dan Maeps di Serdang.
Pemuda berusia 39 tahun itu memberitahu, kelancaran tugasan hasil kerjasama pelbagai pihak antaranya daripada sektor badan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Malah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut terlibat melancar dan melicinkan urusan pengambilan dan penghantaran pesakit secara berjadual.
TIDUR DENGAN PPE
Siang atau malam, hujan atau panas bukan ukuran bagi kerjaya sebagai pemandu.
Kata Mohd. Nazarudin beliau perlu sentiasa bersiap siaga menerima apa jua arahan pihak atasan yang akan akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Adakalanya beliau terpaksa tidur di tempat kerja dan sentiasa memakai sut peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang tebal dan kepanasan dalam tempoh masa berjam lamanya.
“PPE biasanya pakai buang bagi memastikan keselamatan kami terjaga. Tidak sekadar itu, saya dan rakan setugas yang lain perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

RASA TAKUT
“Sama ada kita dijangkiti atau kita sebagai agen jangkitan kepada ahli keluarga kita, kita tidak tahu.
“Risiko sebagai pemandu yang hampir setiap masa bergelumang dengan pesakit meningkatkan lagi risiko jangkitan. Saya tidak boleh leka. Selebihnya saya memohon perlindungan daripada Yang Maha Esa,” katanya mengulas situasi semasa pandemik.
Lantaran itu, beliau mengakui seperti manusia biasa, dirinya sering berdepan rasa takut dengan virus membunuh itu. Lebih-lebih lagi apabila melihatkan angka kes positif Covid-19 mencecah puluhan ribu kes, yang menandakan virus berkenaan masih aktif.
“Apa yang mendukacitakan kini semakin ramai petugas barisan hadapan telah dijangkiti oleh virus yang mengganas di seluruh dunia. Malahan ada yang meninggal dunia sewaktu sedang berkhidmat.
“Musuh ini tidak boleh dilihat ini menyerang pesakit tanpa ada berasa belas kasihan. Tidak mengira peringkat usia, umur dan siapa diri kita. Hatta seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan juga tidak terkecuali dijangkiti melalui ibunya.
“Penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) kian sesak dan jumlah pesakit kritikal yang memerlukan alat bantuan pernafasan oksigen kian bertambah.
“Saya bimbang dengan kemungkinan tidak dapat menampung kebanjiran pesakit yang terlalu ramai,” katanya meluahkan isi hatinya.
PENGALAMAN SUKAR DILUPAKAN
Mohd. Nazarudin menjelaskan, antara pengalaman menyentuh hatinya ialah apabila melihat kanak kanak dan bayi dijangkiti.
“Saya tidak boleh bayangkan jika ia berlaku kepada anggota keluarga saya. Walau bagaimanapun mereka tetap tabah dan cekal walaupun perlu berpisah dengan ahli keluarga,” katanya.
Bagi pesakit biasa, pihak KKM akan mengarahkan mereka dikuarantinkan di blok khas berdasarkan kondisi sistem imun daya ketahanan pesakit itu sendiri.
Namun ada di antara mereka hanya perlu menjalani kuarantin diri di rumah sahaja. Bagi pesakit yang memerlukan pemantauan rapi dan bantuan alat pernafasan oksigen akan ditempatkan seperti di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) dan beberapa buah lagi.
Begitu juga dengan pesakit warga emas yang menghidap pelbagai penyakit kronik.
BANTULAH KAMI
Mohd. Nazarudin secara jujur mengakui dalam ramai menghargai tugas murni dilakukan, beliau tidak pula menganggap dirinya wira.
“Ada ketikanya kami diselubungi kepenatan, keletihan dan tertekan dengan tugas yang dipikul. Ianya bukanlah sesuatu tugas yang mudah.
“Namun segalanya berjaya diatasi dengan semangat juang yang membara dan keazaman kami dalam usaha untuk menjaga kebajikan dan keselamatan masyarakat.
“Pandemik inilah telah mengubah kehidupan kita dalam sekelip mata tanpa disedari. Kita perlu meneruskan kehidupan dengan norma baharu pada masa ini. Saya memohon semua rakyat Malaysia untuk mematuhi segala arahan dan saranan kerajaan dan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Bantulah kami petugas barisan hadapan bersama sama untuk memutuskan rantaian Covid 19 ini. Bersikap jujur kepada para petugas semasa pemeriksaan dijalankan supaya tidak menimbulkan sebarang masalah dan kesulitan kepada semua pihak.
“Kami memerlukan berkat doa dan sokongan padu tanpa berbelah bahagi daripada semua orang,” katanya merayu.
Enggan menyesal menceburi kerjaya berkenaan, sebaliknya rasa bertuah mempelajari sesuatu perkara yang baru dalam memutuskan rantaian pandemik Covid 19.
“Saya yakin kita pasti menang,” katanya menutup bicara.
KELUARGA SUMBER INSPIRASI
Isteri Suhaizan Ramli, 36, amat memahami tugasnya sebagai seorang petugas barisan hadapan.

Bapa kepada lima orang cahaya mata berusia setahun hingga 11 tahun ini menitip rasa syukur atas kurniaan Allah kepada dirinya.
“Bersyukur sangat sebab keluarga sentiasa memberi kata-kata nasihat, dorongan dan mengingati saya supaya berhati hati sewaktu menjalankan tugas. Mereka merupakan sumber kekuatan dan inspirasi kepada diri saya,” katanya.
Menetap di Bukit Beruntung, Selangor, katanya seperi orang lain, dia memanfaatkan masa cuti bersama ahli keluarga sahaja.
“Dulu boleh juga menyertai aktiviti luar seperti pendakian, larian, memancing dan konvoi berkereta.
“Setidak tidaknya saya perlu recharge tenaga supaya segar kembali sebelum bertugas semula. Tetapi kini masa itu hanya bersama keluarga,” katanya.











