Pandemik Covid-19 mencatatkan kes baru harian berangka lima digit baru-baru, meragut lebih daripada 10,000 nyawa di Malaysia.
Di antara kes-kes kematian Covid-19 di Malaysia, kebanyakan pesakit didapati mempunyai sejarah penyakit penyakit darah tinggi (hipertensi).
Berdasarkan kajian, pesakit penyakit darah tinggi mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat gejala yang teruk, kemasukan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian akibat jangkitan Covid-19.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, mendapati tiga daripada 10 orang Malaysia menghidapi penyakit darah tinggi.
Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada mereka tidak menyedari bahawa mereka menghidapi penyakit darah tinggi.
Tanpa mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya, penyakit darah tinggi ini bukan sahaja mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih tinggi mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan Covid-19, malah meningkatkan risiko bagi serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kebutaan dan kematian pramatang.
Sebagai strategi mencegah dan mengawal penyakit darah tinggi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengurangan pengambilan garam ke kurang daripada lima gram (kira-kira sesudu teh) sehari.
Beberapa kajian menyokong bahawa pengurangan pengambilan garam dapat menurunkan paras tekanan darah, menurunkan risiko penyakit kardiovaskular dan strok.
Sebanyak 2.5 juta kematian dianggarkan dapat dicegah setiap tahun sekiranya semua masyarakat di dunia dapat mencapai pengurangan pengambilan garam sebanyak 30 peratus menjelang 2025.
Namun, berdasarkan laporan Kajian Pengambilan Garam Populasi Malaysia (MyCoSS) 2019, empat dari lima orang Malaysia mengambil garam lebih tinggi daripada pengambilan garam yang disyorkan oleh WHO, dengan purata pengambilan garam sebanyak 7.9 gram setiap hari.
Bagaimanakah kita boleh mengurangkan pengambilan garam dalam kehidupan seharian kita? Berikut adalah beberapa tips yang boleh diamalkan bagi mengurangkan pengambilan garam dalam makanan anda semasa memasak:
* Gunakan lebih banyak rempah seperti jus limau, serai dan herba
* Kurangkan penggunaan garam, kicap atau sos dalam memasak
* Gunakan bahan semula jadi dan bukannya makanan yang diproses untuk memasak
* Sekiranya diperlukan, tambahkan garam setelah api padam.
* Utamakan cara memasak berkuah atau bersup kerana rasa masin akan lebih ketara dalam makanan berkuah.
* Rendamkan makanan kering seperti ikan bilis, ikan kering, udang kering sebelum dimasak untuk mengurangkan kandungan garam.
Anda boleh mendapatkan lebih banyak resipi lebih enak dengan kurangkan garam melalui pautan ini: https://bit.ly/2UuuLU2.
Sekiranya perlu membeli makanan dari luar, anda boleh memilih makanan yang rendah kandungan garam dengan menggunakan tips ini:
* Pilih makanan yang dimasak menggunakan bahan segar menggantikan makanan yang diproses.
* Pilih nasi putih atau beras perang dan bukannya beras berperisa
* Meminta kurang garam atau MSG dalam makanan
* Gantikan makanan ringan masin dengan buah segar
* Baca label makanan sebelum membeli dan pilih label dengan label ‘Dikurangkan Natrium’, ‘Rendah Natrium’, ‘Sangat Rendah Natrium’ dan ‘Bebas Natrium’
* Minta pemisahan kuah, sos atau salad dari makanan semasa membuat pesanan
Lebih banyak tips dan video mengenai pengurangan garam boleh didapati di Portal Kementerian Kesihatan Malaysia melalui pautan: https://bit.ly/KKMGaram
Di samping pengurangan garam, kawalan tekanan darah juga dapat ditingkatkan dengan lebih baik lagi dengan mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, menghindari makanan yang mengandungi lemak tepu, bergerak aktif dalam hidup seharian, berhenti atau menghindari merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, dan menguruskan tekanan.
Perubahan cara hidup mungkin mengambil masa dan bukan selalunya mudah. Namun jika diusahakan secara berterusan untuk jangka masa yang panjang, kebiasaan ini akan dapat membentuk kebiasaan kepada cara hidup lebih sihat.
Bertindak sekarang dan pilihlah untuk hidup lebih sihat hari ini! Makan dengan baik, hidup dengan baik, mendapatkan kesihatan baik!
***Artikel ini disumbangkan Dr Yoong Lee Yeen dan Professor Dr. Moy Foong Ming, dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, bersama Dr Feisul Idzwan Mustapha, dari Kementerian Kesihatan Malaysia.










