Sinar baharu dalam politik? - Utusan Malaysia

Sinar baharu dalam politik?

DR. MAHATHIR MOHAMAD (kiri) dan TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa hari lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ditemu bual oleh seorang selebriti terkenal, Harith Iskandar dalam program Talk Show Tonight. Beliau memperkatakan dua topik yang mempunyai kepentingan bersama, iaitu mengenai pendaftaran sebuah parti politik baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan pertemuan beliau dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Untuk topik pertama, Dr. Mahathir berjaya melepasi satu halangan dengan parti politik baharu yang beliau tubuhkan itu telah didaftarkan. Ini bermakna beliau dan ahli-ahli teras Pejuang sudah boleh mula membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Ia dijangka diadakan tidak dalam masa terdekat tetapi mungkin pada 2022 apabila masalah pandemik Covid-19 berjaya ditangani.

Walaupun Pejuang hanya mempunyai empat ahli Parlimen tetapi dalam suasana di mana terdapat pertelingkahan mengenai calon Perdana Menteri dari barisan pembangkang, kedudukan parti-parti pembangkang yang ketiadaan parti dominan dan pengalaman Dr. Mahathir selaku bekas Perdana Menteri, pastilah Pejuang untuk bergerak.

Namun, perkara lebih penting yang diutarakan oleh Dr. Mahathir dalam temu bual itu adalah pertemuan beliau dengan Tengku Zafrul. Dalam pertemuan itu, Dr. Mahathir menyatakan dengan tulus dan ikhlas hasratnya ingin memberi sumbangan idea kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang baru ditubuhkan.

Malah lebih dari itu, Dr. Mahathir dengan penuh harapan jika tawaran khidmatnya diterima, beliau bersedia untuk mengetepikan kepemimpinannya dalam Pejuang untuk diambilalih oleh orang lain. Dalam kata lain, beliau bersedia bersara dari politik tetapi ingin terus memberi sumbangan bermakna untuk kemajuan negara.

Jelas sekali, perkara ini menyerlahkan sifat peribadi Dr. Mahathir sebagai seorang patriotik dan pejuang bangsa. Dalam keadaan negara menghadapi krisis yang meruncing, beliau tampil ke hadapan untuk bersama-sama petugas barisan hadapan untuk memberi nasihat kepakarannya dan perkara ini haruslah dialu-alukan serta dipandang serius oleh kerajaan.

Dengan mengetepikan hal-hal berkaitan percaturan politik semasa yang diharapkan akan semakin reda, cadangan dan tawaran perkhidmatan daripada Dr. Mahathir itu perlu diberikan keutamaan yang serius oleh kerajaan. Amat elok jika Dr. Mahathir diberi tanggungjawab sebagai penasihat umum kepada MPN atau diberi peranan mengetuai mana-mana jawatankuasa khas di dalamnya.

Dengan penyertaan Dr. Mahathir sebagai penasihat kepada MPN, beliau seolah-olah sudah berada di pihak kerajaan yang memerintah dan boleh dianggap tidak lagi bersama-sama Pakatan Harapan (PH). Jika ini berlaku, maka ruang untuk Pejuang bekerjasama sama ada secara rasmi atau tidak rasmi dengan Perikatan Nasional (PN) akan terbuka luas, begitu juga dengan pihak lain yang bersama dengan Dr Mahathir.

Jika ini berlaku, maka imej dan persepsi sesetengah orang terhadap Dr. Mahathir pastinya akan turut berubah jika beliau benar-benar membantu kerajaan. Beliau tidak lagi akan dilihat sebagai ‘seorang pemimpin tua yang gila kuasa’ tetapi akan dilihat sebagai seorang negarawan dan pemimpin veteran yang ketika berada di ambang senjakala, kehidupannya masih ingin menumpukan sepenuh jiwa dan raganya untuk membantu memulihkan keadaan negara yang sedang dilanda bencana besar pandemik Covid-19.

Pada masa sama, ini boleh membantu anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk kembali semula memasuki arus perdana politik nasional dan menyertai Kabinet pada masa masa akan datang. Ia pastinya lebih realistik daripada mengharapkan Mukhriz diberi peranan besar dalam parti-parti pembangkang yang sudah saling berebut mahu menjadi ketua.

Apa yang amat kita harapkan sekarang ialah semua lapisan masyarakat terutama sekali parti-parti politik, baik dalam barisan pembangkang mahupun kerajaan dapat mengadakan satu gencatan perang politik dan bersama-sama membantu kerajaan untuk memulihkan keadaan yang getir ekoran Covid-19.

Satu suasana positif kelihatan telah wujud bila bukan sahaja Dr. Mahathir yang dibawa berbincang oleh Tengku Zafrul selaku Menteri Penyelaras kepada MPN tetapi juga pemimpin-pemimpin barisan pembangkang lain seperti PKR dan DAP yang bertemu beliau untuk mengemukakan cadangan-cadangan mereka.

Langkah Tengku Zafrul menjemput pemimpin-pemimpin parti pembangkang khususnya Dr. Mahathir dan sambutan baik mereka ke atasnya diharapkan akan mampu meredakan politiking berlebihan dalam negara dan memberikan sinar baharu dalam bentuk kerjasama antara semua pihak dalam menangani pandemik yang berlarutan sudah sekian lama.

Cuma apa yang diharapkan ialah supaya langkah menjemput pemimpin-pemimpin parti pembangkang ini tidak hanya dilihat sebagai satu bahan kosmetik atau hiasan untuk memaparkan imej indah kepada kerajaan tetapi ia sebaliknya disertakan dengan kesungguhan melalui penginstitusiannya dengan memasukkan sebahagian daripada mereka ke dalam MPN.

Jika kerajaan benar-benar melibatkan pemimpin-pemimpin parti pembangkang selain pihak-pihak lain seperti pakar-pakar akademik dan industri dalam MPN, pastilah ini akan lebih menampakkan keseriusannya dalam menangani masalah sekali gus akan meredakan kritikan kepadanya.

Soal menggantikan Perdana Menteri, menubuhkan Kabinet baharu atau membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU-15 adalah perkara yang tidak sesuai difikirkan, ditimbulkan atau diusahakan buat masa ini. Jika ia diperkatakan juga maka pihak yang memperkatakannya akan dilihat mementingkan takhta atau kuasa.

Sementelahan pula, pihak yang paling banyak memperkatakannya, iaitu UMNO pun buat masa ini memerlukan banyak kerja pemulihan terhadap imejnya yang tercalar di sana sini berkaitan isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Apa lagi bila kedudukan dan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri sedang dipertikaikan ahlinya atas pelbagai isu yang memungkinkan berlakunya kudeta dalam parti itu untuk membersihkan imej UMNO yang tercemar.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan bekas Ahli Parlimen Gerik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×