Sheikh Tahir al-Kurdi penulis Mushaf Mekah - Utusan Malaysia

Sheikh Tahir al-Kurdi penulis Mushaf Mekah

Mushaf Mekah yang ditulis oleh Sheikh Tahir al-Kurdi. Mushaf ini digunakan di dunia Islam sebelum terbitnya Mushaf Madinah pada tahun 1405 Hijrah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penulisan mushaf al-Quran mempunyai sejarah yang panjang. Ia bermula pada zaman Nabi SAW yang mengarahkan beberapa sahabat r.a menulis wahyu. Semua wahyu ditulis dengan teliti dan disahkan oleh Nabi SAW sebelum ia dibawa keluar untuk dibaca kepada para sahabat r.a.

Dalam kalangan 40 sahabat yang menulis wahyu, yang paling kuat mulazamah dengan Nabi SAW menulis wahyu ialah Zaid Ibn Thabit.

Menariknya apabila arahan Abu Bakar al-Siddiq kepada Zaid Ibn Thabit untuk mengumpul al-Quran, beliau menyatakan bahawa: “Demi Allah, jika mereka beri arahan kepada-ku untuk memindah bukit ke satu tempat yang lain tidaklah berat kepada ku daripada mengumpul al-Quran”. Ia merujuk kepada amat berat tugas menyalin mushaf dan mengumpulnya.

Penulis mushaf pertama di Mekah pada era mutakhir ini ialah Muhammad Tahir al-Kurdi. Beliau dilahirkan di kota Mekah pada 1321 hijrah.

Semasa menulis biografinya dalam karya bertajuk al-Tarikh al-Qawim, beliau menyatakan pengajian awalnya adalah di Madrasah al-Falah, Mekah. Itulah satu-satunya madrasah yang berjaya mengeluarkan ramai alim ulama, ahli fikir dan penulis yang hebat di Mekah.

Sheikh Tahir al-Kurdi memperoleh sijil madrasah pada 1339 Hijrah. Pada tahun berikutnya, beliau bermusafir dengan ayahnya ke Mesir bagi menyempurnakan pengajian di Universiti al-Azhar.

Minatnya amat mendalam dalam bidang penulisan seni khat dan ketika itu Mesir mempunyai ramai tokoh khat dan tempat pengajian khat.

Di samping pengajiannya di Universiti al-Azhar, Sheikh Tahir al-Kurdi juga mendalami seni khat di Madrasah Tahsin Khutut Arabiyyah.

Bakat seni khatnya bertambah baik menjadi faktor beliau amat yakin untuk menulis mushaf. Selain seni khat, Sheikh Tahir al-Kurdi juga mempelajari seni hiasan khat yang perlu ada di setiap halaman mushaf.

Selepas mendalami pengajian di Mesir, nama beliau terkenal dengan gelaran al-Muarikh iaitu pakar sejarah dan al-Khatat iaitu pakar khat. Beliau menguasai semua kaedah penulisan khat dengan baik.

Seorang sahabatnya, pakar sejarah, Muhammad Ali Maghribiy ketika memberi maklumat berkaitan Sheikh Tahir al-Kurdi berkata: “Beliau adalah seorang guru khat di madrasahnya iaitu Madrasah Mekah. Bahkan beliau adalah ustaz yang pertama mengajar khat melalui bukunya Manahij al-Khat. Kitab ini dicetak dan diedarkan kepada pelajar yang termasuk dalam kurikulum”.

MUHAMMAD TAHIR AL-KURDI

Kehebatannya dalam menulis khat amat tinggi sehingga mampu menulis beberapa surah pendek dengan khat yang baik pada bijian beras.

Selain seni khat, beliau juga amat mahir dalam sejarah khat dan sejarah ukiran. Ini terbukti dengan penulisan beliau berkaitan sejarah khat melalui bukunya Tarikh Khat Arabi wa Adabuhu yang diterbitkan pada 1939. Buku ini menjadi rujukan dalam ilmu sejarah khat.

MENULIS MUSHAF

Pada mulanya idea menulis mushaf dikemukakan oleh Sheikh Tahir al-Kurdi kepada seorang tokoh iaitu Sheikh Muhammad Surur al-Sibban.

Beliau bersetuju dan memberi cadangan: “Alangkah baik penulisan mushaf yang kamu hendak lakukan ini dan kamu hadiahkan senaskhah kepada al-Malik Abdul Aziz iaitu raja Arab Saudi ketika itu”.

Penulisan mushaf Mekah mengambil masa tiga tahun. Pihak pencetak meminta Sheikh Tahir al-Kurdi mempercepatkan penulisan tetapi beliau menjawab: “Khat adalah kerja seni seumpama melukis atau menulis syair. Orang seni tidak akan dapat buat keseniannya kecuali jiwanya bersedia dengan sempurna. Sesungguhnya aku tidak boleh menulis kecuali jiwa aku berada dalam keadaan sempurna”.

Kerajaan Arab Saudi telah memberi perhatian dan mengambil tanggungjawab dengan membentuk satu jawatankuasa menyemak mushaf yang ditulis oleh Sheikh Tahir al-Kurdi.

Ahli jawatankuasa tersebut ialah Imam Masjid Haram Mekah, Sheikh Abdul Zahir Abu al-Samh; Sheikh Qurra di Mekah, Sheikh Hamid Tiji Hijazi dan dua orang dari Kementerian Pendidikan iaitu Ibrahim al-Nuri dan Muhammad Syata.

Mushaf ini dihantar ke Universiti al-Azhar untuk semakan dan telah diberi perakuan oleh Sheikh Qurra Mesir, Sheikh Ali Dabba’.

Selepas menulis mushaf dan berjaya diterbitkan, Sheikh Tahir al-Kurdi menyatakan kegembiraannya: “Sesungguhnya kerja yang paling besar dilakukan oleh Muhammad Tahir al-Kurdi al-Makki al-Khatat ialah menulis Mushaf Mekah Mukarramah dengan mengharapkan agar Allah SWT menjadikannya amalan yang diterima-Nya dan ikhlas kepada-Nya”.

Kata-kata tersebut ditulis oleh Sheikh Tahir al-Kurdi dalam kitabnya berbentuk ensiklopedia sejarah bertajuk Tarikh Qawim Li Makkah wa Baitullah al-Haram.

Ramai yang gembira dengan penerbitan Mushaf Mekah. Beliau adalah penulis al-Quran di Mekah Mukaramah, dicetak dan diterbitkan di Mekah. Mushaf Mekah juga diedarkan kepada negara Islam seperti Indonesia, Pakistan, negara timur tengah hingga ke negara di Afrika.

KITAB TARIKH AL-QURAN

Kitab ini diterbitkan pada 1365 hijrah. Sejarah menulis kitab ini adalah kerana semasa Sheikh Tahir al-Kurdi menulis mushaf sehingga juzuk lima, beliau dapati dalam Rasm Uthmani ada banyak keajaiban.

Lantas beliau berazam melakukan kajian dan penelitian serta mahukan ia menjadi satu buku untuk dicetak dan diedarkan ke seluruh dunia Islam.

Mengkaji Rasm Uthmani perlu kepada penelitian yang mendalam. Kadang-kadang pemikiran terkapai-kapai mencari manakah jalannya kerana rasm uthmani tidak mempunyai kaedah.

Sebagai contoh kalimah kitab كتاب ditulis dalam al-Quran dengan tanpa alif kecuali empat tempat sahaja yang ditulis dengan alif. Kalimah قال ditulis dalam al-Quran dengan alif kecuali lima tempat sahaja ditulis tanpa alif. Banyak lagi contoh lain.

Siapakah yang memberi panduan ini kepada kita dalam penulisan Rasm Uthmani? Tidak lain adalah para sahabat r.a yang menulis dengan arahan Uthman Ibn Affan.

Beliau juga menyatakan sikap kebanyakan orang yang tidak mengambil perhatian terhadap penulisan kalimah al-Quran sehingga menyebabkan ilmu Rasm ditinggalkan di kebanyakan negara Islam. Hanya Mesir yang menjaga ilmu Rasm ini.

Kitab ini adalah yang pertama ditulis dalam bentuk sebegini. Betul, ramai ulama qiraat terdahulu yang menulis dalam ilmu Rasm mushaf uthmani sebelum Sheikh Tahir al-Kurdi.

Mereka membuat kajian kalimah demi kalimah mengikut apa yang ditulis oleh para sahabat r.a. Namun kajian mereka tidak seperti kajian beliau khususnya dari sudut kaedah membandingkan kalimah yang dibuat oleh Sheikh Tahir al-Kurdi.

Walaupun begitu, Sheikh Tahir al-Kurdi tidak menganggap apa yang ditulisnya adalah lebih baik daripada ulama terdahulu. Bahkan masih mengikut jejak langkah mereka. Cuma Allah memberi pembukaan kepadanya dari ilmu-Nya yang luas.

Beliau menulis lebih 40 kitab berkaitan khat, sejarah Mekah, tafsir, fiqh dan lain-lain. Pada 24 Rabiulakhir 1400 Hijrah, Sheikh Tahir al-Kurdi meninggal dunia di Jeddah. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan Ma’la.

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunah USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN