PETALING JAYA: Sidang Parlimen yang dijadual pada 26 Julai ini harus mempunyai agenda bersifat menyeluruh dan bukan tertumpu kepada matlamat tertentu kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, secara tidak langsung pendekatan itu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamalkan dasar pemerintahan yang baik.
“Saya lihat kerajaan seolah-olah takut berbahas dengan pembangkang. Ini bukan Parlimen jika tiada perbahasan dan ahli Parlimen mahu bersuara untuk mewakili rakyat di kawasannya. Kita tidak mahu lagi rakyat bersuara hanya melalui kibaran bendera putih.
“Daripada bersidang di Parlimen hanya untuk menerangkan kepada semua wakil rakyat, lebih baik bentang melalui televisyen sahaja. Apa maknanya sistem demokrasi berperlembagaan jika ini yang berlaku? Kalau benar kerajaan berani, bersidang dan berbahaslah seperti biasa.
“Kerajaan telah belanjakan wang negara berbilion ringgit dan buat ordinan tanpa dibincang terlebih dahulu. Bentangkan dan biar Parlimen luluskan mengikut prosedur yang betul,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing akan bersidang pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos dan 3 hingga 5 Ogos ini selama lima hari.
Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna akan menghadiri persidangan tersebut.
“Saya akan membawa beberapa perkara yang saya mahu bangkitkan nanti. Tunggu sahaja apa yang akan berlaku dan percaturan kerajaan bagaimana.
“Saya tegaskan tiada keperluan sidang Parlimen hibrid jauh sekali meluluskan pindaan undang-undang untuk membolehkan persidangan dengan cara ini. Ini bukan masa untuk mencuba-cuba,” katanya. – UTUSAN










