MESKIPUN pejabatnya kecil sahaja terletak di tingkat 9 Menara Seri Wilayah, Presint 2, Putrajaya, namun nama stesen radio ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar. Dengan slogan Destinasi Informasi dan Harmoni, Putrajaya.FM tampil bersaing sengit dalam persada industri penyiaran tanah air bersandarkan kekuatan enam juruhebah berwibawa.
Bagi Penerbit Eksekutifnya, Megat Iskandar Megat Zaharuddin At-Terawis atau Dj M, stesen itu telah ke udara sejak 24 Jun 2019 bermula di sebuah premis sementara di Puchong, Selangor.
Bersama rakan sejawatannya, Mohd. Khaidir Redza Daud yang pernah mengendali stesen radio dalam talian, Goal FM, mereka mengorak langkah membina Putrajaya.FM dari sifar. Matlamatnya dek Wilayah Persekutuan ketika itu langsung tiada stesen radio tersendiri berbanding Kuala Lumpur dan Labuan masing-masing gah dengan KL FM dan Labuan FM.
Ironinya, Putrajaya.FM yang beroperasi 24 jam setiap hari bukan di bawah Jabatan Penyiaran dan hanya bersiaran dalam talian menerusi laman sesawang rasmi www.putrajaya.fm.
Selaku pengarah bersama syarikat itu dengan Mohd. Khaidir atau DJ Q, stesen berkenaan banyak memaparkan pelbagai aktiviti warga Putrajaya yang kurang dipromosikan kepada khalayak.
EROPAH
Menariknya, stesen itu turut menerima dokongan sedozen organisasi tempatan sebagai rakan strategik penyiaran antaranya Media Warga Kota, subsidiari Yayasan Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun, Putrajaya.FM juga tampak unik dengan pelbagai segmen menarik antaranya Trio Huru Hara yang ke udara pada setiap Jumaat bermula pukul 10 malam selama dua jam. Program bual bicara itu menyaksikan DJ M bergabung dengan DJ Q dan juruhebah tunggal wanita stesen tersebut, DJ Eha yang juga pensyarah komunikasi di sebuah universiti ternama.
“Begitu juga banyak program lewat tengah malam dan awal pagi yang dapat sambutan hangat para pendengar termasuk rakyat kita di seluruh dunia mengikuti siaran kami,” celah DJ Q.
Ini terutama warga Malaysia yang menetap lama di sekitar benua Eropah, Afrika dan Amerika selain disebabkan perbezaan waktu apabila bahagian itu berada pada sebelah siang.
DJ M yang juga komposer lulusan Kolej Muzik Trinity London, Britain serta graduan sejarah dan perakaunan turut terharu dengan reaksi menggalakkan masyarakat terhadap stesen itu. Ini dapat dilihat apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kali pertama bermula 18 Mac tahun lalu yang menyaksikan lonjakan ketara pendengar baharu termasuk dari luar negara.
“Kami sendiri terkejut dan ramai mengikuti kami untuk hilang bosan kerana polisi bekerja dari rumah, selain tertarik kelainan stesen ini dengan gaya persembahan agak santai,” kata beliau.
Walaupun bernaung di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan sejak awal Januari lalu, kelebihan itu bukan tiket untuk Putrajaya.FM beroperasi sambil lewa tanpa ada imej jati diri kukuh.










