Labuan, 8 negeri dalam bahaya. – Itu tajuk salah satu berita di Utusan Malaysia pada 30 Mei lalu.
Dulu Labuan beribu kes, kini 26 kes, contohilah Labuan. – Ia juga tajuk berita yang tersiar di Utusan Malaysia, 45 hari kemudian.
Saya pilih kedua-dua tajuk berita itu sebagai mukadimah ini kerana ia adalah cerminan kepada satu perjalanan, dari masa sukar ke masa lega, dari waktu penuh bimbang ke saat lebih tenang.
Tajuk berita pertama, pada masa itu Labuan mencatat nilai kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) tertinggi iaitu 1.82. Labuan juga ketika itu merekodkan peningkatan mendadak jangkitan baharu Covid-19 dengan 253 kes berbanding hanya enam sebelumnya.
Tajuk berita kedua berkaitan penurunan ketara kes jangkitan yang suatu ketika pernah mencecah 1,344 kes bagi 100,000 penduduk dalam seminggu kepada hanya 26.
Sejak minggu lalu, media silih berganti melaporkan kejayaan Labuan membendung penularan Covid-19 dan pencapaian cemerlangnya dalam gerakan vaksinasi apabila 92 peratus atau 63,300 populasi dewasa telah divaksin setakat 21 Julai lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 70.6 peratus atau 48,353 orang sudah melengkapkan dos kedua. Dengan pencapaian itu, Labuan hampir pasti memuktamadkan kedudukannya sebagai negeri/wilayah pertama mencapai sasaran imuniti berkelompok.
Bercerita tentang kejayaan memang mudah dan indah. Namun, perjalanan untuk mencatatkan kejayaan itu sebetulnya amat getir. Hanya mereka yang terlibat khususnya para petugas barisan hadapan, tahu dan memahami erti keperitannya.
Saiz Wilayah Persekutuan Labuan hanya 92 kilometer persegi, lebih besar daripada Putrajaya tetapi lebih kecil daripada Kuala Lumpur, Perlis malah Pulau Langkawi. Sesuai dengan statusnya sebagai pulau kecil, keupayaan hospitalnya terhad kepada 120 katil. Jumlah pegawai perubatan juga terhad, begitu juga peralatan perubatan.
Sama seperti negeri-negeri dan wilayah lain, Labuan tidak pernah berpengalaman mendepani sebarang wabak dan pandemik.
Tetapi selepas mula menerima serangan varian Delta pada 24 April lalu, pulau yang sebelumnya hampir layak diisytiharkan zon hijau itu mengalami perubahan mendadak.
Daripada 31 kes pada minggu epidemiologi ke-19 kepada 1,344 kes pada minggu epidemiologi ke-23.
Mujurnya, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Beliau menghidu bahaya besar yang menanti.
Oleh itu, Annuar mengambil langkah berani dengan mengisytiharkan sekatan pergerakan ke atas seluruh pulau itu. Tindakan yang sebenarnya tidak mudah kerana ia memerlukan kos tinggi.
Banyak perkara perlu diambil kira. Selain kemudahan perubatan dan rawatan, ia turut melibatkan tenaga barisan hadapan pelbagai agensi. Pengangkutan dan logistik juga menjadi masalah. Tanpa satu gerak kerja yang cekap dengan mobilisasi teratur, segala-galanya mungkin menjadi sia-sia.
OPS VAKSINASI
Tetapi Annuar dan pasukannya tidak menjadikan semua masalah itu sebagai alasan untuk tidak melaksanakan apa yang telah dirancang, lebih tepat lagi, apa yang diputuskan sebagai yang terbaik untuk rakyat Labuan khususnya dan negara umumnya.
Mobilisasi logistik dilakukan dari Kuala Lumpur. Apa sahaja sumber yang boleh dan munasabah termasuk aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digunakan.
Untuk mengatasinya, usaha terpaksa dibuat dengan mencari sokongan hingga ke Sabah manakala semua staf Hospital Labuan termasuk pembantu am dan kerani terpaksa melakukan kerja-kerja di luar bidang tugas mereka termasuk membantu kerja-kerja ujian swab.
Pada masa sama, usaha membendung penularan turut ditingkatkan dengan melancarkan program pemvaksinan atau Ops Vaksinasi, bukan sekadar retorik tetapi diterjemahkan dengan tindakan-tindakan yang bersepadu dan jitu.
Melalui Ops Vaksinasi, Annuar dan pasukannya menyasarkan pemberian vaksin sebanyak 700 dos sehari pada peringkat permulaan sehingga 3,000 dos sehari di peringkat berikutnya. Ia menyasarkan 100 peratus penduduk dewasa Labuan menerima dos pertama pada akhir Julai ini.
Bagi memastikan keberkesanan segala usaha yang dijalankan, pemantauan dibuat dengan menjadikan grup WhatsApp Labuan TSAM C19 Busters sebagai platform utama. Seperti pasukan petugas yang menggabungkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik tanpa mengira kerajaan atau pembangkang, grup WhatsApp itu berperanan memastikan keberkesanan setiap gerak kerja yang dirancang juga tanpa mendukung sebarang agenda politik. Dan inilah rahsia lain di sebalik kejayaan Labuan membendung Covid-19.
Di Labuan tidak ada politik sempit. Tidak ada hingar bangar suara-suara yang laparkan perhatian. Orang Labuan tidak menjadikan fahaman politik sebagai halangan untuk saling bekerjasama bagi memerangi musuh yang satu. Semua pihak, sama ada berstatus pemimpin atau penyokong, yang bergelar JKKK atau berjawatan MPPP, saling bergabung secara bahu membahu. Tidak ada yang kerjanya hanya mencari-cari kesalahan orang lain, mempertikaikan itu dan mempersoalkan ini, hanya kerana mahu mendapatkan kredit dan political mileages.
Tanpa gangguan politik, tanpa riuh-rendah yang tidak perlu, semua pihak terutama mereka di barisan hadapan dapat memberikan lebih tumpuan terhadap tugas dan kewajipan yang menanti mereka. Jelaslah walaupun Labuan itu hanya sebuah pulau kecil, para pemimpin dan penduduknya ternyata berjiwa besar. Sesungguhnya Malaysia perlukan lebih ramai warga seperti mereka.
Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan.











