Kondo mewah bertukar jadi kelab malam - Utusan Malaysia

Kondo mewah bertukar jadi kelab malam

Susulan penutupan pusat hiburan kini ada yang menawarkan parti persendirian di kondo atau kediaman mewah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejak penutupan pusat hiburan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengusaha kelab malam mula ‘mencari jalan’ meneruskan perniagaan yang terjejas teruk meskipun dalam skala kecil.

Ada segelintir memilih kondominium atau pangsapuri mewah sebagai lokasi menawarkan parti persendirian untuk individu-individu yang ketagih berhibur pada musim PKP.

Penganjuran itu `meriah’ apabila ia membenarkan aktiviti penyalahgunaan dadah, alkohol, perjudian dan seks.

Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, bagi melancarkan parti dalam 15 hingga 20 tetamu tersebut, pihak penganjur membuat jemputan menerusi WhatsApp dan Telegram kepada pelanggan yang boleh dipercayai.

Sebagai promosi, menurut beliau, penganjur menawarkan gadis-gadis yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) untuk dijadikan ‘pelayan’ kepada pelanggan.

Kata beliau, pelanggan yang biasa mendapat jemputan menghadiri parti persendirian musim PKP ini adalah dalam kalangan pelanggan tetap dan mengetahui kod-kod keselamatan sebelum memasuki premis.

“Dalam tempoh 2019 hingga Jun lalu, sebanyak 59 serbuan dilakukan di seluruh negara dengan 795 tangkapan membabitkan penganjuran parti persendirian di premis persendirian.

“Daripada jumlah yang ditahan, kebanyakan membabitkan golongan muda berusia 21 hingga 30 tahun dengan 417 orang ditahan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata Abd. Jalil, penganjuran parti persendirian turut menyasarkan pelanggan dalam kalangan penjawat awam.

Dalam kes ini, jelas beliau, penjawat awam digunakan oleh penganjur sebagai ‘orang tengah’ untuk menyewa tempat yang mahu digunakan untuk menganjurkan kegiatan tidak bermoral itu.

“Dalam sesetengah kes, penjawat awam berperanan sebagai individu yang menyediakan lokasi penganjuran parti persendirian kerana mereka tiada masalah kewangan dan mempunyai kelebihan mendapat harga-harga istimewa.

“Setakat ini, penjawat awam yang ditahan terlibat dalam penganjuran parti persendirian tidaklah begitu ramai dan daripada jumlah tangkapan yang dibuat hanya 12 orang diberkas dalam tempoh sama,” jelasnya.

Abd. Jalil berkata, pelanggan parti persendirian ini akan bergerak ke lokasi penganjuran ketika orang keluar bekerja.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP, tiada aktiviti selepas pukul 8 malam, jadi mereka akan keluar sebelum waktu itu untuk ke lokasi-lokasi yang ditetapkan penganjur.

“Ketika semua orang berada di rumah, waktu ini lah mereka akan menghabiskan masa berhibur sepanjang waktu malam dan keluar pada keesokan harinya,” katanya.

Sementara itu, Abd. Jalil turut memberi amaran kepada pemilik unit kondominium dan pangsapuri supaya tidak menyewakan kediaman mereka bagi tujuan parti persendirian dan mereka berdepan tindakan undang-undang sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.

Tegas beliau, PDRM memandang serius gejala parti persendirian dan kali ini bukan mereka yang terbabit sahaja dikenakan tindakan malah pemilik juga boleh dikenakan tindakan kerana bersubahat.

“Kita mahu ibu bapa memantau dan mengawasi setiap aktiviti anak-anak terutamanya anak perempuan, agar tidak terlibat sebagai ‘gadis pelayan’ kerana mahu cari duit dengan cara mudah.

“Perkara ini amat perlu kerana kita tidak mahu anak-anak ini terjebak ataupun menjadi mangsa kepada penganjur-penganjur parti persendirian seperti beberapa kes sebelum ini yang kebanyakannya melibatkan pelajar-pelajar di IPT,” katanya.- MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×