Isu Palestin: Jangan lari fokus - Utusan Malaysia

Isu Palestin: Jangan lari fokus

Bendera Palestin berkibar megah di negara kita sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat bumi anbia tersebut. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebelakangan ini, isu melibatkan bantuan kemanusiaan ke Palestin menjadi perbualan masyarakat. Tanpa perlu mengeruhkan keadaan siapa yang betul atau tidak, sebaiknya kita semua jangan lari daripada fokus untuk memastikan nasib rakyat Palestin terbela.

Isu Palestin bukan setahun dua mengungguli carta berita dunia malahan sejak 1940-an hingga kini, bumi Palestin sudah menerima pelbagai tekanan dan serangan rejim Zionis yang membina negara Israel yang tidak diiktiraf oleh Malaysia.

Pasport Malaysia sememangnya tidak laku untuk masuk ke Israel kerana dasar negara kita yang menentang kekejaman rejim tersebut yang membunuh rakyat Palestin dan menjarah tanah milik warga tempatan. Pendek kata, isu Palestin sememangnya amat dekat di hati rakyat Malaysia.

Siapa tidak kenal dengan Yasser Arafat atau nama penuhnya, Mohammed Abdel-Raouf Arafat bin Qudwa al-Hussaeini yang meninggal dunia pada 11 November 2004.

Beliau ialah Presiden Palestin, Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pemenang Hadiah Keamanan Nobel.

Selepas beliau meninggal dunia, nasib Palestin sememangnya tidak menentu disebabkan percaturan politik dalaman dan luaran yang menyebabkan Israel semakin mengukuhkan kedudukan hingga timbul kecaman dunia. Namun seperti biasa, rejim tersebut dan konco-konconya memekakkan telinga dengan desakan antarabangsa untuk tidak meneruskan dasar merampas tanah milik warga Palestin dan menjadikan sebahagian Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya dengan nama Jerusalem.

Semua ini bukan rahsia kerana serangan demi serangan terhadap rakyat Palestin oleh tentera rejim tersebut ibarat cubit paha kiri. paha kanan terasa jua.

Jika kita pergi ke kampung-kampung, bendera Palestin berkibar megah sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat bumi anbia tersebut.

Ingatlah satu perkara, bantuan yang kita sumbang kepada rakyat Palestin sama ada untuk pembangunan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain sewajarnya tidak dijadikan isu hingga mewujudkan rasa tidak selesa rakyat di sana. Sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam, Palestin adalah bumi yang amat dekat dengan hati kita setiap kali kita meraikan peristiwa Israk Mikraj. Peristiwa mukjizat Nabi Muhammad SAW tersebut sewajarnya menjadikan kita memahami mengapa Semenanjung Gaza diperjuangkan bukan sahaja oleh rakyat Palestin malahan umat Islam global.

Pada saat ini, lupakanlah pertelingkahan berhubung isu bagaimana bantuan disampaikan, siapa yang lebih telus, siapa yang lebih tulus.

Kita fokus kepada kebajikan rakyat Palestin yang ditekan saban hari oleh rejim Zionis.

Jangan sampai yang dikendong keciciran, yang dikejar hilang entah ke mana. Bersatulah umat Muhammad SAW.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×