Bantu ajar anak tangani emosi - Utusan Malaysia

Bantu ajar anak tangani emosi

Ibu bapa perlu memperbaiki komunikasi dengan anak-anak supaya mereka lebih memahami keperluan psikologi anak mereka sepanjang PKP ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kanak-kanak sering dikaitkan dengan hidup penuh keriangan. Apabila bergaduh dengan rakan-rakan pun tidak lama. Pasti akan berbaik semula dalam tempoh yang singkat.

Namun jangan pukul semua sama rata kerana kanak-kanak juga boleh mengalami kemurungan, berpunca daripada gangguan emosi seperti kebimbangan atau tekanan.

Pakar motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, pandemik Covid-19 turut mengubah corak kehidupan masyarakat tidak terkecuali kanak-kanak kerana mereka yang hidup riang kini terpaksa berkurung dalam rumah.

Katanya, kanak-kanak terpaksa mengubah gaya kehidupan yang dulunya bebas ke sana ke mari bermain bersama rakan sebaya kepada kurangnya pergerakan dan terkurung dalam rumah.

“Pandemik ini menyaksikan ramai terkesan dengan perubahan itu dan terpaksa melalui kesukaran dalam proses penyesuaian. Maklum balas menunjukkan ramai kanak-kanak terkesan secara mental dan emosi apabila rutin harian mereka terganggu.

“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019, mendapati hampir setengah juta kanak-kanak dikesan berdepan dengan masalah mental.

“Bila pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020, fenomena ini dijangka memburukkan lagi keadaan dengan bertambahnya maklum balas negatif terhadap gangguan mental kanak-kanak seperti stres tidak dapat bebas bermain dengan tekanan akibat pembelajaran dalam talian,” katanya.

HUSHIM SALLEH

Beliau mengulas isu tekanan dalam kalangan kanak-kanak hingga membawa insiden bunuh diri. Akhbar baru-baru ini melaporkan kanak-kanak berusia 11 tahun meragut nyawa sendiri berpunca daripada isu kecil.

Hushim menjelaskan, tragedi sedemikian tidak harus dipandang sepi.

Katanya, dalam keceriaan usia itu, psikologi mendedahkan kanak-kanak tergolong dalam kelompok yang mudah terjejas daripada segi emosi dan tingkah laku kerana fitrah mereka terlalu mentah dalam mendepani cabaran kehidupan.

“Keupayaan mereka menyerap dan menguruskan tekanan tidak sama seperti orang dewasa,” katanya.

TANDA-TANDA

Tanda kemurungan kanak-kanak yang berbeza daripada orang dewasa turut menyebabkan ibu bapa dan doktor kadangkala gagal atau terlepas pandang mengenai ciri-ciri kemurungan dihadapi.

Perubahan tingkah laku, kerap mengadu sakit, mudah kecewa, tidak boleh bertolak ansur, kerap bergaduh, kurang selera makan, mudah takut dan panik hanyalah antara sebahagian perkara yang perlu diperhatikan.

PKP DAN TEKANAN

Mengulas tentang faktor PKP menjadi punca utama tekanan, Hushim menjelaskan, apabila individu terkurung dalam satu tempat yang sama untuk satu tempoh yang panjang, emosi negatif akan muncul sebagai tindak balas psikologi terhadap situasi itu.

“Kanak-kanak berisiko memberi reaksi negatif dari sudut emosi dan tingkah laku mereka sekiranya tidak ditangani dengan baik.

“Perkembangan interpersonal (sosial) ini banyak diperoleh apabila mereka hadir ke sekolah dan menghabiskan masa lapang bersama rakan-rakan.

“Apabila mereka tidak lagi bebas seperti keadaan sebelumnya, hal itu pasti memberi tekanan dan boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka.

“Perubahan emosi dan tingkah laku kanak-kanak boleh berlaku dalam pelbagai bentuk akibat keadaan mereka yang tidak lagi dibenarkan bebas,” jelasnya.

Antara tanda boleh dikesan dalam kanak-kanak ialah mereka takut, murung, sedih, stres, terlalu sensitif, bersikap apatetik dan keliru dengan perubahan yang berlaku apabila tidak lagi dapat menjalani aktiviti kebiasaan mereka seperti sebelum ini.

Perubahan tingkah laku juga boleh berlaku seperti memberontak, tantrum, hiperaktif, argumentatif, destruktif, atau mengasingkan diri.

“Ibu bapa dan orang dewasa perlu sentiasa memantau perkembangan kanak-kanak ini sepanjang pelaksanaan PKP dan peka dengan simptom yang ditunjukkan.

“Begitupun, situasi ibu bapa yang bekerja dari rumah yang turut mengalami tekanan dengan memarahi anak-anak untuk melepaskan tekanan turut boleh memberikan kesan kepada si kecil,” katanya.

ELAK ANAK TERPERAP DALAM RUMAH

Hushim berkata, pada peringkat awal PKP iaitu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan, ramai ibu bapa dan anak mula menyesuaikan diri dan membuat pelbagai perubahan rutin harian.

“Pun begitu, semakin lama didapati ramai kanak-kanak menunjukkan tanda penolakan dan tidak lagi berminat dengan gerak kerja dalam talian.

“Ini secara langsung boleh mempengaruhi motivasi dan kemahiran belajar,” katanya mengenai pemerhatiannya terhadap kaedah pendidikan baharu itu.

Kanak-kanak juga tidak terlepas daripada berdepan tekanan. -GAMBAR HIASAN

Tegas beliau, jika perkara itu berlanjutan, dikhuatiri hasil pembelajaran tidak dapat dicapai sepenuhnya.

“Saya melihat kegusaran ibu bapa dan guru terhadap isu ini adalah berasas. Maka, tindakan segera perlu dibuat bagi memastikan sistem sokongan pembelajaran secara dalam talian diperkemaskan dan dipertingkatkan,” katanya.

Ujar Hushim, salah satu kesan besar pembelajaran dalam talian terhadap perkembangan kanak-kanak ialah mereka terdedah dengan internet melebihi lima jam sehari.

“Sebanyak 85 peratus kanak-kanak menghabiskan masa depan telefon pintar atas alasan PdPR. Banyak kes gajet digunakan untuk melayari YouTube dan laman hiburan.

“Lebih menakutkan, ada kanak-kanak yang menonton cara bunuh diri dan sebagainya. Mungkin mereka ingin mencuba tanpa memikirkan kesan negatif tindakan tersebut,” jelasnya.

TINDAKAN SEGERA

Ibu bapa perlu segera merujuk anak mereka di mana-mana hospital berhampiran sekiranya mendapati anak mereka memerlukan rawatan terperinci daripada segi psikologi.

“Bantu anak menyusun norma baharu bagi mengelakkan mereka terlalu berfikir ‘terperap’ dalam rumah. Bina aktiviti seimbang sebagai perkembangan psikologi mereka.

“Beri kanak-kanak sokongan emosi supaya mereka rasa dihargai. Hubungan dan komunikasi yang baik antara kanak-kanak dan keluarga menjadi antara faktor pelindung utama kepada daya tahan dalam diri kanak-kanak,” jelasnya.

Lebih mustahak katanya, bantu anak mengatasi tekanan dan kenal pasti punca tekanan itu. Ia boleh diperolehi menerusi komunikasi terbuka bertujuan menggalakkan si kecil meluahkan emosi dan tekanan dihadapi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN