Kitab masyhur yang menjadi rujukan dalam pengajian kaedah ilmu tafsir ialah al-Tafsir wa al-Mufasirun. Kitab ini ditulis oleh tokoh bernama Dr. Mohammad Husin al-Zahabi. Beliau dilahirkan pada 19 Oktober 1915 di daerah Kafr el-Syeikh, Mesir.
Beliau menyambung pengajian di kuliah Syariah, Universiti al-Azhar dan mendapat ijazah pada 1939. Di peringkat PhD beliau membuat kajian dan menulis tesis ‘Tafsir dan Mufassirun’ di Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar. Pada 1946 beliau cemerlang dalam sesi pembentangan tesis tersebut.
Tesis itu kemudiannya diubah suai kepada kitab dan sehingga kini ia menjadi rujukan utama dalam pengajian ilmu tafsir di pusat pengajian tinggi di tanah Arab dan dunia Islam.
Dr. Husin Zahabi pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Azhar. Pada 1968, beliau dipinjamkan sebagai pensyarah di Universiti Kuwait.
Selepas kembali ke Mesir pada 1971, beliau dilantik sebagai profesor di Kuliah Usuluddin dan dilantik sebagai dekan. Selepas itu beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Kajian Islam.
Kecemerlangan dalam keilmuan dan pengurusan melayakkan beliau dilantik sebagai Menteri Waqaf dan Hal Ehwal al-Azhar dari April 1975 hingga November 1976. Selepas itu beliau kembali berkhidmat sebagai profesor di Kuliah Usuluddin.
Dr. Husin Zahabi adalah tokoh ulama yang amat komited menyebarkan ilmu untuk mengangkat panji-panji Islam.
Beliau amat kuat melarang dan menentang fahaman ekstrem dalam agama. Pendapatnya jelas, Islam disebarkan melalui dakwah yang aman dan bersantun.
Pendakwah mestilah menjelaskan ajaran Islam dengan hujah dan dalil yang betul. Bukan secara ekstrem.
Dalam berdakwah mestilah membawa fikrah Islam yang betul dengan menjauhi perkara khurafat dan kesesatan.
Dalam bukunya al-Wahyu, beliau menulis tentang syariat Islam yang sesuai diamalkan sebagai peraturan hidup bagi semua umat untuk menyelesaikan permasalahan semasa dan yang akan datang.
Menurut beliau, ciri-ciri perundangan Islam mempunyai perkara berikut:
Pertama: Sesuai dengan fitrah semulajadi manusia secara tuntas dan tidak sekali-kali berlawanan dengan tabie semulajadi.
Contoh, mengharamkan berkahwin dengan ibu dan anak perempuan.
Pengharaman ini diamalkan semua perundangan yang dianggap sebagai pengharaman yang jelas dan jika ada yang mengharuskan maka ia adalah keganjilan dan menjadikan manusia seperti haiwan.
Kedua: Boleh dilakukan sesuai dengan kemampuan manusia. Jika syariah mengarahkan perkara yang tidak mampu dilakukan maka ia adalah satu kelemahan dan berlawanan dengan arahan taklif yang berobjektif mematuhi dan taat.
Daripada sinilah adanya keringanan dalam banyak hukum semasa berlaku masyaqqah. Sebagai contoh boleh berbuka puasa semasa bermusafir dan boleh solat secara duduk jika tidak mampu berdiri.
Ketiga: Amat sesuai dengan semulajadi arahan hidup dalam bermasyarakat. Dari sinilah diarahkan peraturan memberi wala’ kepada pemerintah dan suami memberi perlindungan kepada isteri.
Keempat: Meraikan adat kebiasaan yang jadi amalan rutin kehidupan manusia dalam hubungan mereka. Ia diizinkan selagi tidak merosakkan atau membawa kepada kerosakan.
Daripada sinilah diharamkan anak angkat dibinkan kepada ayah angkat dan diharamkan berkahwin dengan dua adik-beradik. Dua amalan tersebut biasa dilakukan sebelum kedatangan Islam.
TAFSIR WA AL-MUFASIRUN
Pada permulaan kitab ini, Dr. Husin Zahabi menyatakan, Allah SWT mengutuskan Nabi SAW kepada umat ini untuk menghilangkan kecelakaan dan maksiat yang mereka lakukan serta membebaskan rantai taklid yang merantai jiwa mereka.

Allah menurunkan al-Quran. Memberi panduan kepada mereka yang mengikut jalan kesejahteraan dan mengeluarkan mereka daripada jalan kegelapan kepada cahaya dengan izin Allah.
Dalam tempoh singkat, al-Quran mengetuk pendengaran penduduk Mekah dan sampai ke hati mereka. Memiliki perasaan dan pancaindera. Tidak ada yang menolak kecuali sedikit sahaja kerana hati mereka terkunci.
Akhirnya, manusia memeluk agama Islam secara berkumpulan.
Panji-panji Islam tertegak dalam masyarakat Mekah dan umat Islam menyatakan kebenaran serta membatalkan kebatilan.
Kitab tafsir Mufasirun ini menceritakan berkaitan sejarah ilmu tafsir, perkembangan dan kaedah yang digunakan ahli tafsir dan menghurai makna al-Quran.
Ia juga menerangkan pembahagian tafsir dalam kalangan kumpulan tertentu seperti tafsir beraliran tasauf, tafsir falsafah, tafsir fuqaha dan tafsir dalam bentuk sains.
Selain menerangkan tafsir bi Ma’thur dan jenis-jenisnya, beliau juga menerangkan jenis tafsir dengan pandangan yang dipuji. Selain itu, menerangkan jenis tafsir yang wajar dihindari.
Pada mulanya umat Islam memahami al-Quran dengan kaedah yang betul dan bersih. Mereka mengamalkan panduan al-Quran sehingga menjadi kumpulan yang kuat, kumpulan yang mulia dengan tidak menerima kehinaan, sehingga semua bangsa dan negara patuh kepada Islam.
Namun ada orang Islam yang leka dan mengabaikan panduan al-Quran. Dipengaruhi hawa nafsu dan tidak mengikuti manhaj al-Quran yang dilalui generasi terawal. Mereka menakwil al-Quran dengan cara salah, melalui jalan yang berliku jauh dari panduan al-Quran.
Paling menakutkan ada kumpulan ini yang menzahirkan Islam tetapi batinnya kufur. Lidahnya mengucap Islam tetapi hatinya penuh kekufuran yang gelap. Mereka berusaha memadamkan cahaya Islam dan kemuliaan umat Islam.
Mereka lakukan penyelewengan dan menukarkan kepada takwil yang rosak yang tidak berasas kepada prinsip agama yang betul.
Mereka tidak menyandarkan pendapat kepada bahasa Arab yang tepat dan tidak juga berhujah dengan akal. Akhirnya mereka membuat takwilan yang salah dan tidak disedari oleh orang yang bergelumang dengan kejahilan.
Namun, umat Islam yang berakal tidak mampu dipengaruhi dengan apa cara promosi dan habuan. Bahkan mereka berusaha untuk menghapuskan kebatilan tersebut.
Mereka menggunakan mata pena dan lisan untuk menghapuskan kesalahan tersebut.
Pada tahun 1970-an, tanah Arab menyaksikan tersebar fahaman ekstrem agama. Ini amat bahaya.
Ramai ulama bangkit menjelaskan ajaran Islam yang bersifat syumul, lengkap wasatiah dan tidak ekstrem.
Al-Marhum Dr. Husin Zahabi diculik dari rumahnya oleh sekumpulan ekstrem agama. Beliau dijumpai syahid pada 7 Julai 1977 pada usia 61 tahun.
Al-Marhum meninggalkan banyak ilmu dan kitabnya Tafsir Wa al-Mufasirun terus jadi rujukan hingga ke hari ini.
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










