BERDEPAN dengan kekangan alatan perisikan di peringkat negeri tidak meletakkan prestasi pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka di bawah ‘par’.
Malah dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, skuad itu berjaya mematahkan sindiket pengedaran rentas negara bernilai lebih RM7 juta.
Dalam operasi digelar Op Passat itu, seramai 10 suspek berusia 32 hingga 49 tahun yang dipercayai transporter membawa bekalan merentasi negara ini berjaya diberkas sebelum sempat mengagihkan bekalan untuk dibawa ke negara-negara jiran berdekatan menggunakan laluan laut.
Ketua JSJN Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, penangkapan sindiket itu adalah salah satu pencapaian besar buat pasukannya yang melaksanakan tugas di negeri kedua terkecil di Malaysia.
Kongsinya, sepanjang tempoh enam tahun sejak 2016, JSJN Melaka merekodkan pencapaian tertinggi pada tahun 2019 apabila berjaya merampas dadah keseluruhan bernilai RM30.5 juta.
“Kemudian pada tahun lalu kita merekodkan nilai rampasan sebanyak RM3.1 juta dadah dalam beberapa siri operasi yang terus dilakukan walaupun berada dalam tempoh kritikal pandemik Covid-19.
“Pada awal tahun ini, kita berjaya mengesan dan mematahkan sindiket pengedaran dadah rentas negara yang membawa 54 kilogram dadah jenis syabu dalam kereta Volkswagen Passat dipercayai untuk dihantar ke negara-negara jiran melalui laluan laut.
“Pada 12 Mei lalu, kita menghidu pergerakan rangkaian lain kumpulan itu dan menggerakkan skuad Op Passat 2. Hasil risikan berjaya menangkap dua lelaki yang berada di sekitar Tanjung Kling yang membawa sebanyak 104 dadah syabu bernilai RM4.2 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Cabaran bukan alasan tangani dadah
Zulkiflee mengakui, pada peringkat awal dalam melakukan risikan, pasukannya menghadapi cabaran apabila menyentuh aspek peralatan, namun perkara itu tidak pernah menjadi punca kegagalan dalam mencekup ‘tokan-tokan’ dadah.
“Memang kadang-kala kita berdepan dengan cabaran dalam peralatan risikan, namun perkara itu tidak pernah menjadi alasan penjenayah lolos kerana kita mempunyai pasukan khas di Bukit Aman yang sentiasa sedia membantu.
“Dalam beberapa kes terdapat penjenayah-penjenayah menggunakan talian telefon antarabangsa meskipun berada di dalam negara ini, malah mereka turut menyediakan kata laluan atau kod khas termasuk kata laluan nombor dalam setiap komunikasi dilakukan.
“Kepakaran Bukit Aman diperlukan dalam hal sedemikian. Di peringkat negeri apa yang kita buat, kita susun strategi, sediakan minimum empat langkah utama untuk memastikan mereka akhirnya tidak dapat melarikan diri,” jelasnya.

Tambahnya, pelbagai taktik dan helah digunakan oleh suspek, malah pada tahun 2019 polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ekstasi terbesar di negara ini yang ‘bersembunyi’ berdekatan kilang belacan di Kawasan Perindustrian Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Kelemak, Alor Gajah.
Dalam serbuan itu, JSJN Bukit Aman dan Melaka berjaya merampas pil, serbuk ekstasi dan syabu bernilai kira-kira RM30 juta yang dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Serbuan tersebut melibatkan makmal pemprosesan dadah dan kita percaya suspek sengaja memilih lokasi tersabut iaitu berdekatan kilang belacan bagi ‘menutup’ bau kuat bahan-bahan kimia yang diproses mereka.
“Bagaimanapun helah mereka tidak berjaya, walaupun bau belacan itu sememangnya kuat, namun deria bau pasukan JSJN lebih kuat dan mampu menghidu kegiatan mereka,” ujarnya sambil berseloroh.
Untuk rekod, JSJN Melaka kini dianggotai 50 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah (42), IPD Alor Gajah (25) dan IPD Jasin (20).










