Tema moden klasik meriahkan suasana Syawal - Utusan Malaysia

Tema moden klasik meriahkan suasana Syawal

Hiasan yang ringkas tetapi kemas menyerlahkan keindahan ruang istirahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini masih lagi “terganggu” akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kembali dilaksanakan di beberapa negeri, namun tidak dapat dinafikan kemeriahan itu tetap ada.

Meskipun tidak dapat pulang beraya di kampung halaman dan berkumpul bersama sanak-saudara, namun tradisi menghias rumah tetap sahaja diteruskan.

Tahun ini, tema moden klasik antara yang menjadi pilihan ramai untuk menyerikan suasana kediaman tatkala berkumpul bersama ahli keluarga terdekat.

Pengarah Decor Palace, Kamaruzaman Che Udi berkongsikan hiasan ruang tamu yang menjadi trend pada hari raya kali ini dengan penggunaan perabot dan hiasan menggabungkan ciri-ciri klasik dan moden.

KAMARUZAMAN CHE UDI

Bagi merealisasikan tema itu, ramai pelanggan yang memilih sofa jenis Chesterfield yang membawakan ciri-ciri klasik daripada negara Eropah.

“Secara asalnya dari negara barat, sofa ini diperbuat daripada kulit oleh itu harganya agak mahal. Kini ia telah diinovasikan dengan menggunakan pelbagai material seperti velvet dan PU leather menjadikan ia mampu milik,” katanya.

Gabungan rona gelap dan lembut

Pemilihan sofa Chesterfield berona gelap merupakan pilihan tepat bagi membangkitkan suasana zaman klasik British.

Ia merupakan sofa berkonsepkan mewah dilengkapi dengan tempat letak tangan bergulung yang disulam indah.

Rekaan sofa yang telah wujud hampir 300 tahun ini masih relevan sehingga kini malah kewujudannya di ruang sudut rumah mampu menyerlahkan kesegaran selain tampil elegan dalam membawa citarasa tradisi dalam ruang kediaman moden.

Bagi menonjolkan lagi kemewahan sofa berkenaan, ia sesuai dipadankan dengan dinding berona cerah atau pastel. Dinding dengan warna ini akan menampakkan lagi ciri-ciri rekaan sofa yang mewah di ruang tamu kediaman sekaligus menghidupkan suasana.

Meja kopi dan meja sisi

Meja kopi jenis moden menjadi pilihan tepat untuk dipadankan bersama sofa Chesterfield. Penggunaan material keluli tahan karat dan marmar dapat menyerlahkan sisi moden dalam ruangan.

Meja jenis bulat dan berwarna cerah dengan rekaan kaki yang unik memberikan sentuhan gabungan eksklusif dan moden sebagai pelengkap suasana.

Begitu juga dengan penggunaan meja sisi dilihat amat penting ketika ini bagi menaikkan seri dalam sesuatu ruangan. Meja sisi selalunya dihiasi dengan hiasan bunga orkid sebagai elemen dekorasi tambahan.

Bunga orkid menambah seri pada ruang kediaman.

Wing Chair

Penggunaan wing chair dalam penataan hiasan rumah pada ketika ini bukan sesuatu yang asing lagi.

Ia sering dipadankan bersama sofa di ruang tamu untuk menampilkan konsep mewah dan moden. Selain itu, ia juga dapat menjimatkan ruang terutamanya bagi kediaman yang agak sempit.

Hal ini kerana, saiz wing chair yang lebih kecil daripada sofa dapat memberikan lebihan ruangan bagi tujuan dekorasi lain.

Pemilihan warna wing chair yang sedikit lembut daripada sofa dapat memberikan variasi warna dalam ruangan tanpa menghilangkan ciri-ciri ekslusif. Selain itu, padanan kerusi jenis ini bersama sofa Chesterfield antara pilihan terbaik dalam membangkitkan konsep klasik moden.

Ruang makan

Saat yang paling dinanti-nantikan ketika hari raya sudah pastinya menikmati aneka juadah tradisi.

Oleh itu, ruangan makan yang selesa dan cantik haruslah dititikberatkan bagi melengkapkan suasana kemeriahan raya.

Meja makan dengan material marmar memberikan konsep eksklusif mewah.

Pemilihan meja makan menggunakan material marmar antara yang terbaik kerana ciri-cirinya yang mudah dibersihkan selain tahan lama berbanding material kayu.

Dengan padanan bersama rekaan kerusi menggunakan fabrik velvet, meja makan jenis ini juga mampu menampilkan elemen mewah dan eksklusif.

Ia sangat sesuai dipadankan bersama ruang tamu berkonsepkan moden klasik terutamanya jika diletakkan di kawasan sekitar ruang tamu.

Dengan tambahan hiasan bunga orkid dengan warna kontra atau sedikit cerah akan menaikkan seri ruangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN