Mukadimah
Mohamad bin Mohamad Khalid, atau nama popular MAMAT KHALID, memang tak asing dalam industri seni tanah air. Buah tangan sutradara terkenal ini sentiasa ditunggu, malah tak keterlaluan andai dianggap sebagai karya epik. Misalnya, filem berkisar zombi dan rock yang sentiasa buat peminat tak kering gusi.
Dalam bulan puasa ini pun, beliau masih mampu menyajikan peminat dengan filem terbaru 18 Puasa di Kampong Pisang, filem berkisar zombi yang sarat elemen jenaka. Khabarnya, ia laku keras dan meraih jutaan ringgit dalam tempoh singkat sejak ditayangkan.
Soalnya, apakah jenaka dan seram sahaja satu-satunya formula pembikin filem Melayu nak menarik penonton? Sedangkan pengkritik tak habis-habis menghentam industri yang didakwa sendu dan terhakis nilai nasionalisme dan kenegaraan.
Berusaha mencari jawapan, wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub dan FAHMI FAIZ menemu bual beliau di ibu kota, baru-baru ini. Ia turut dibantu Muhammad Shiddieqiin Zon selaku jurukamera, serta Mohd. Fikri Fadzil selaku juruvideo.
MINGGUAN MALAYSIA: Perkembangan terkini abang?
Perkembangan terkini abang, abang memang sudah tetapkan dalam hidup abang setiap masa ada sahaja yang terkini. Bermakna setiap masa ada karya yang abang perlu buat, jadi alhamdulillah abang tak pernah berhenti. Abang perlu berkarya untuk abang terus hidup. Jadi apa yang abang buat sekarang ini adalah banyak kerja untuk Astro, dan banyak libatkan telemovie, filem dan sitkom. Itulah dia serba sedikit apa yang abang buat terkini.
Tahniah, Filem 18 Puasa di Kampong Pisang dapat sambutan hangat. Dengarnya sudah raih lebih RM3 juta. Komen abang?
Abang pun tahu bila baca Facebook. Sebenarnya abang pun tak tahu berapa, kerana kami dikomisenkan untuk buat dengan Astro. Memang syarikat Enjit Semut Productions yang buat, tapi is based on commissioning, maknanya memang milik Astro. Jadi maknanya kami hanya buat produksi. Abang hanya mengarah, jadi segala logistik itu semua bukan hak kami untuk tahu. Jadi walaupun kejayaan ini berapa juta sekalipun, kami hanya dengar sahajalah. Pengiraan itu kami tak tahu berapa. Tapi alhamdulillah.
Filem Mamat Khalid biasanya paparkan jalan cerita yang sama. Tidak mahu teroka idea baharu?
Pasal abang rasa apa yang abang buat pun sudah lari daripada apa yang orang lain buat. Jadi, abang hendak lari ke mana lagi? Cuba beritahu abang satu cerita yang orang buat sama dengan cerita abang? Tak ada. Ini kerana setiap cerita abang itu, sudah melompat dan lari daripada sediakala, apabila berkarya memang lari daripada biasa.
Jadi abang layan setiap karya abang itu haruslah lain daripada lain. Jadi, macam cerita 18 Puasa misalnya, ada tak yang sama macam cerita ini? Sudah lari dah. Jadi abang nak lari ke mana lagi? Sudah memang semua abang lari. Jadi itu yang abang hendak kekalkan.
CIPTA KARAKTER PELAKON
Kriteria yang diperlukan untuk membintangi filem Mamat Khalid?
Pelakon abang biasanya yang abang kenal, yang abang rapat. Jadi abang boleh hendak ciptakan apa watak, sebab abang kenal perwatakannya.
Bermakna kalau abang tak kenal mereka, tidak ambil berlakon?
Susah, amat susah untuk abang nak dekatkan kerana abang masih gusar nak menyuruh orang tune dengan apa, kerana kalau orang yang kita kenal kita boleh suruh dan menjerit-jerit. Jadi seronok. Dan abang lebih percayakan itu. Tapi dalam masa berpuluh tahun ini walaupun orang kata asyik muka sama tapi kalau ikutkan balik semua itu masih baru. Maknanya abang kenal, abang buat, bukan maknanya setiap kali ada saja muka baru.
Cuma bezanya abang tak ambillah yang top, sebab ada sesetengah cerita memang perlukan production value. Tapi abang rasa kebanyakannya cerita abang ini lebih kepada penceritaan dan perwatakan. Dan lepas itu pula abang percaya yang tiada nama pun boleh menjayakannya. Dia kira macam underdog. Banyak istilah anti hero. Semuanya anti.
Jadi, siapa mahu berlakon filem abang, kena rapat dengan abang dahulu?
Abang yang kena rapat dengan mereka terlebih dulu (tertawa). Sebab abang kena tahu, oh, dia cakap macam ni. Jadi abang boleh manipulate. Eh, bukan manipulate. Nampak macam buruk sangat bunyinya (tertawa).
KALAULAH AARON
AZIZ YANG BERLAKON…
Pelakon berpotensi yang ada dalam radar abang ketika ini?
(Terdiam) Lama nak kena fikir ini. Sebab abang tak pernah terfikir. Benda ini abang tak pernah fikirlah.
Maksudnya siapa pelakon yang abang hendak memang dapatlah?
Hah, macam itulah. Jadi untuk abang fikir, aku nak dialah memang tak ada. Abang tak buat macam itu. Abang tahu kelebihan setiap pelakon yang ada dalam industri ini. Kadang-kadang rugi juga bila mereka ikut abang. Sebab cara abang ini lain. Bayangkan kalau Aaron Aziz berlakon dengan abang, kan dah lari itu? Abang mana ada watak macam itu. Tengoklah si Zul Ariffin itu jadi apa? Kena ombak saja dengan Kak Limah. Jadi, abang lebih yang macam itu. Jadi Zul abang offer sebab abang kenal sebelum dia famous lagi. That’s why boleh ambil. Jadi lebih kepada yang sudah kenal. Jadi lebih selesa.
PANGKAT, DARJAH KEBESARAN
Penganugerahan darjah kebesaran ke atas anak seni hari ini diperlekehkan warganet. Kerana anggap tidak layak. Komen abang?
Memanglah orang yang berhak saja dapat, jadi apabila pemilihan dan penilaian itu masih nampak belum cukup kriteria, jadi belum cukuplah. Tapi abang rasa kalau layak dan cukup, automatik dia boleh dapat. Sama ada orang itu layak dapat atau pun tidak, abang rasa itu sangat subjektif. Itu terpulang kepada penilaian.
Macam abang pun orang banyak tanya kenapa tak dapat? Abang jawab mungkin abang masih tak layak lagi. Abang rasa memang abang tak layak lagi pun, dan gelaran Datuk itu besar dan penganugerahan yang sangat dihormati, Jadi apabila sudah dapat pun ia akan jadi lain, terutamanya bab tanggungjawab. Jadi abang memang sangat admire orang yang ada gelaran itu. Bagi diri abang pula, abang anggap masih tak cukup kriteria lagi.
Menurut kata isteri, abang tidak menjual pelakon tetapi menjual karakter. Boleh huraikan?
Yalah, salah satunya yang paling tebal dalam diri abang adalah setiap manusia itu seorang pelakon. Boleh menjadi seorang pelakon, cuma nasib dan bakatnya yang menentukan ke mana arah tuju dia. Dan apabila kita juruskan pemilihan abang untuk pelakon-pelakon yang tiada nama ini, pada abang ia tidak bersandar kepada populariti.
BUKAN PERJUDIKAN KARYA
Bermaksud abang gamble?
Abang tak gamble, malah confident. Abang sudah buat lama, jadi karakter macam itu memang ambil masa, bukannya mengejut tetapi lambat, tetapi bila karakter itu jadi klasik, ia akan kekal. Macam Man Laksa, siapa dia? Tapi karakter itu abang percaya.Jadi pada abang populariti seseorang pelakon itu memang bagus untuk production value, tapi untuk pengkarya macam abang itu adalah satu cabaran untuk menjadikan sesuatu watak itu daripada tidak dikenali sehinggalah dikenali ramai. Tapi itu bukan tujuan utama, lebihnya lagi adalah untuk menghidupkan watak itu. Bukannya abang hendak buat dia ini, sebab dia ini terkenal. Tak ada. Tak ada niat pun, tapi hendak memperkenalkan watak ini bermula dari pelakon yang segar.
FILEM MELAYU TIADA IDENTITI?
Ramai mengkritik filem kita tiada identiti. Komen abang?
Maju atau mundurnya filem kita, itu lebih kepada persepsi si pengkritik. Masing-masing ada hak bercakap, dan apabila kita bercakap tentang filem tempatan, abang sangat setuju dengan motto ‘filem kita wajah kita’. Bila cakap soal wajah, bukan saja ditunjuk pada budaya atau kehidupan masyarakat, tapi juga kepada pembikin filem itu sendiri. Di mana wajah pembikinnya, adakah pembikin itu bijak atau tak cukup matang? Hasil filem itu mencerminkan semua ini. Pokoknya ia bukan tentang industri keseluruhan, tetapi kepada pembikinnya.
Mana pergi filem bersifat nasionalis? Kenapa masyarakat seakan tak sokong filem sebegini?
Itu yang abang kata tadi, ia terpulang kepada pembikin filem itu sendiri. Macam abang sendiri, abang cuba nak angkat tema sebegitu, nasionalisme dan sebagainya. Abang buat dengan cara abang, ada yang sampai dan ada yang tidak. Ada pula segelintir yang buat (filem nasionalisme), tapi kita rasa macam disudukan dengan skrip yang seakan-akan berkhutbah mengenai nasionalisme. Jadi benda-benda macam itulah yang perlu dijaga untuk hendak sajikan kepada massa, yang mana agar karya kita dapat menambat hati penonton.
Jadi apa cabaran menghasilkan filem bertemakan kenegaraan?
Kebanyakannya, macam abang sendiri pun, abang takut kalau karya itu dilihat seakan-akan mahu disudukan atau terlampau disogokkan dengan elemen nasionalisme yang terlalu straightforward. Contohnya, “kita haruslah bersatu padu”. Bila cakap saja macam ini, macam berkhutbah lah jadinya (tertawa). Jadi kita perlukan pendekatan lain.
MESEJ HALUS, TERSIRAT
Difahamkan filem abang banyak elemen tersirat (subtext) yang tersorok di bawah lapis jenaka.
Cakap pasal subtext ini, selalunya terkena pada batang hidung abang sendiri (tertawa). Hakikatnya, banyak mesej yang abang letak untuk menyedarkan Melayu Islam, abang banyak tekankan aspek itu sebenarnya. Misalnya, adab dalam beragama, semua itu abang garap dengan cara sendiri. Jadi dalam subtext itu, nampak itulah cara abang, bukan lah hendak menegur, tapi mahu menceritakan mengenai kita ini orang Melayu, kita berbangsa dan beragama. Banyak abang hendak sedarkan, malah kepada diri sendiri, karya yang harus diselitkan semangat cintakan negara, bangsa dan agama, banyak elemen ini dalam filem abang. Tapi dengan lapisan yang abang kiaskan, bak kata orang very subtle (terlalu halus). Tapi kena kupas lah satu-satu, abang tidak lah nak cerita pada umum, “yang sebenarnya ini adalah mesejnya”.
SIGMUND FREUD
Ada sumber dekat dengan abang beritahu, abang seorang yang rajin membaca. Boleh kongsikan antara buku yang beri inspirasi berkarya?
Banyak, tapi bila abang sebut nanti, orang tahulah abang jenis radikal yang macam mana (tertawa). Antaranya, Sigmund Freud. Tapi bila abang sebut abang baca buku beliau, nanti orang pun hairan. Cakap pasal genre pula, abang banyak membaca buku sejarah.
PRODUK BUTIK BUKAN KILANG
Ada menyebut abang ada pegangan bahawa produk abang dari butik dan bukan dikeluarkan dari kilang. Adakah bermaksud, abang jaga eksklusiviti?
Apabila mahu berkarya, banyak ruang untuk berkarya jadi abang rasa ada masa, kita boleh jalan sekali empat telemovie misalnya. Tapi abang kata, kalau macam itu, ia sudah jadi pengeluaran skala besar. Kalau ini berlaku, abang akan mula panggil penulis skrip lain misalnya, dan abang punya sentuhan sudah tiada. Jadi abang lebih suka kalau 100 peratus abang sendiri terlibat. Tak perlu keluarkan filem sebanyak-banyaknya, tapi apa dihasilkan itu memang ada sentuhan peribadi, datang dari abang yang mana semua abang yang jaga.
ORIENTALIS MELAYU
Pengkritik sering tohmah filem Melayu jadi cerminan ke atas orang kita yang asyik dengan komedi, lawak, hantu dan cinta semata-mata. Komen?
Sangat betul, sebab apa? Sebab itulah juga genre-genre filem yang keluar daripada Hollywood. Apa bezanya? Oh, bila tentang Melayu, “apalah Melayu ini asyik dan terlalu suka cerita hantu.” Hollywood, setiap bulan keluarkan cerita hantu. Di seluruh dunia pun keluarkan cerita hantu. Thailand misalnya, lagi banyak filem hantu. Filem komedi contohnya, cukup banyak genre yang sama oleh penerbit luar. Sekarang bila banyak penerbit Melayu keluarkan filem aksi, tunggulah nanti mesti ada yang cakap, “Itulah Melayu, asyik dengan filem aksi.” Akan jadi macam ini, sebab golongan ‘orientalis Melayu’ sekarang.
Maksud abang?
Ini merujuk kepada perasaan orientalis dalam kalangan sendiri. Kalau dulu, orang luar yang tengok kepada kita orang Timur dan Asia ini. Ini dimaksudkan sebagai orientalis. Biasanya dulu, orang luar yang banyak taji kita. Tapi masalah kita sekarang, orientalis ini dalam kalangan tempatan. Dia melayu, tapi dia tengok luar dari perspektif Melayu, kononnya dia tengok Melayu ini dari New York, dia duduk di sana dan komen, “Apa lah Melayu ni.” Jadi janganlah hendak cakap orang kita suka cerita hantu, sebab hakikatnya di seluruh dunia lagi banyak penerbit genre sebegini.
FILEM NABI NUH
Apa filem yang abang idam, masih belum tercapai untuk diarahkan?
Ada, abang ada satu filem mengenai asal usul Melayu. Ini sejarah dan semangat Melayu, sejak dari zaman Nabi Nuh. Ini semua orang akan terkejut, bila sebut Nabi Nuh. Tapi inilah jejak kita untuk menyusuri kembali asal orang Melayu. Mungkin konsep abang tersendiri, dalam serius ada juga komedi, tapi dalam komedi akan menangis punyalah bila tonton. Jadi ia genre bercampur.
KESIHATAN
Kesihatan sekarang macam mana?
Alhamdulillah, tapi masih ambil ubat-ubatan. Abang perlu jaga-jaga, masih tak boleh tertekan. Sebab bila tertekan akan jejaskan kesihatan, jadi sekarang kena sentiasa bersederhana, keep it to the pace dan kena makan ubat. – Mingguan Malaysia










