MUKADIMAH
Pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen membuka mata ramai pihak bahawa sistem demokrasi berparlimen sudah terencat.
Bukan sahaja wakil-wakil rakyat tidak dapat bersuara, malah jawatankuasa pilihan terutama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak dapat memainkan peranannya sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan.
Tahun ini sahaja, sebanyak 15 mesyuarat PAC tertangguh dan lima laporan maklum balas kementerian gagal dibentangkan.
Pengerusi PAC yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, WONG KAH WOH nampaknya gelisah kerana tiada prosiding sejak selepas 5 Januari lalu.
Ikuti temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN melalui aplikasi Zoom, baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana pengurusan PAC terkini di bawah seliaan Yang Berhormat (YB)?
KAH WOH: Saya bukanlah wakil pembangkang pertama dalam PAC kerana pada tahun 2018, pengerusi PAC pernah dilantik daripada pembangkang iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee dan digantikan oleh Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada 2019 yang kini merupakan Menteri Pengajian Tinggi.
Sebagai pengerusi, saya menegaskan kepada ahli-ahli PAC di pihak kerajaan dan pembangkang yang kita tak boleh bersifat partisan politik kerana jika ini berlaku akan membawa masalah.
Saya juga memastikan semua keputusan dibuat adalah persetujuan secara bersama ahli PAC termasuk siapa yang akan diambil keterangan, siapa saksi yang akan dipanggil dan bagaimana laporan itu dirangka.
Saya tak boleh bersikap diktator atau enggan mengambil kira pandangan ahli lain kerana keseluruhan perjalanan PAC tidak akan berjalan lancar.
Perubahan yang YB bawa?
Sebelum ini, setelah membentangkan laporan, PAC akan memberikan masa dua bulan kepada kementerian untuk memberi maklum balas kepada PAC tetapi kami merasakan ia sangat lama dan kadang-kadang ada isu yang harus diselesaikan lebih awal.
Jadi, PAC masih mengekalkan masa dua bulan tetapi PAC akan mendapatkan satu laporan maklum balas interim secara bertulis daripada kementerian sebulan selepas laporan dibentangkan di Parlimen.
Dalam masa dua bulan daripada tarikh tersebut, PAC akan mendengar pembentangan secara bersemuka daripada pegawai berkaitan laporan tersebut.
Ada pengaruh politik dalam PAC?
Setakat ini, saya tak nampak sebarang agenda politik dibawa masuk ke dalam PAC malah tiada pengaruh daripada kerajaan atau pembangkang kerana pada akhirnya, ini adalah keputusan konsensus. Semua wakil rakyat yang dilantik dalam PAC mempunyai kepakaran dan kematangan masing-masing.
PAC dikatakan setakat membentangkan semua laporan dan terhenti begitu sahaja. Komen?
Memang PAC tidak menghentikan kerja dari segi pembentangan laporan di Parlimen sahaja. Kalau dulu pada 2018, ia memang terhenti setakat itu sahaja namun PAC menambah baik prosedur dengan memasukkan satu lagi aspek iaitu pembentangan maklum balas.
Ini merupakan kerja susulan bagi semua laporan yang telah dibentangkan dan laporan akan diserahkan kepada kementerian dalam masa dua bulan. Kemudian, kementerian akan membentangkan laporan maklum balas tersebut.
Hal ini sedikit sebanyak membantu kepada usaha semak dan imbang kerana PAC tidak mahu laporan yang dibentangkan dibiarkan begitu sahaja.
Ada juga laporan PAC syorkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan dalam isu tersebut.
Malah, PAC akan memanggil SPRM dan polis untuk tampil kepada PAC bagi memberikan maklum balas berkenaan syor berkenaan. Di situlah pihak berkuasa akan melaksanakan tugas mereka.
Proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen dilihat melumpuhkan fungsi PAC. Benarkah?
Ini situasi amat menyedihkan kerana PAC telah pun diberikan tanggungjawab tetapi malangnya, PAC lumpuh akibat penggantungan Parlimen dan darurat.
Pada 12 Januari lalu, saya ingat lagi Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengeluarkan kenyataan walaupun tiada sidang Parlimen, tetapi jawatankuasa pilihan Parlimen termasuk PAC masih boleh menjalankan fungsi sebagai semak dan imbang.
Tetapi, apabila PAC nak mulakan prosiding sekali lagi, PAC diberitahu oleh Parlimen di bawah Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 2021, semua persidangan jawatankuasa pilihan digantung. Justeru, situasi sebegini tidak sihat bagi sistem demokrasi berparlimen dalam negara.
Selepas ini bagaimana?
Tak banyak yang PAC boleh lakukan sekarang melainkan hanya mengeluarkan kenyataan seperti wakil-wakil rakyat lain bertanya kepada kerajaan tentang apakah prosedur, tahap ketelusan dan perbelanjaan kerajaan buat masa ini.
Apa kesannya?
Kami tidak boleh memanggil saksi-saksi untuk hadir di hadapan PAC untuk memberikan keterangan. PAC juga tidak boleh mendapatkan tindakan susulan daripada kementerian.
Contohnya, selepas 5 Januari, PAC harus bermesyuarat untuk menilai hansard-hansard dan keterangan yang diberikan serta menyediakan laporan. Selepas itu, ia hendaklah dibentang di Parlimen tetapi, akhirnya, laporan program vaksin juga tergantung.
Pakar Perlembagaan berpendapat, walaupun darurat, semak dan imbang masih boleh dilakukan termasuklah PAC. Komen?
Benar. Tetapi, selaku jawatankuasa di bawah Parlimen, PAC dikehendaki mengikuti pandangan dan keputusan daripada Speaker Dewan.
Pada Mac lalu, apabila wabak Covid-19 sedikit terkawal, PAC telah dan mahu meneruskan prosiding namun Setiausaha Dewan Rakyat memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara memberikan pandangan di bawah Ordinan Darurat, semua prosiding digantung termasuklah jawatan kuasa pilihan.
Pun begitu, saya tidak bersetuju dengan pendekatan yang diambil Peguam Negara dan jelas sekali Speaker Dewan Rakyat juga setuju.
Kalau begitu, nilai semak dan imbang sudah tidak bermakna lagi?
Saya sangat setuju. Segala perbelanjaan kerajaan haruslah diluluskan oleh Parlimen dan jika diluluskan pada bila-bila masa – dalam proses perbelanjaan itu – PAC atau jawatan kuasa pilihan lain boleh masuk untuk menyemaknya.
Bila kali terakhir bersidang?
Pada 5 Januari lalu. Itu pun PAC hanya memanggil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa pegawai lain berkenaan program vaksinasi yang dijalankan kerajaan.
Pada masa itu, terdapat banyak persoalan yang dibangkitkan rakyat dan wakil rakyat berkenaan program vaksinasi, berapa wang yang telah digunakan, mengapa terdapat kelewatan dalam melaksanakan program ini dan lain-lain?
Namun, PAC mengambil keputusan pantas untuk mengadakan prosiding dan memanggil saksi untuk hadir dan hasilnya, PAC memberi komen yang baik terhadap usaha kementerian dalam mengendalikan program tersebut.
Bagaimana ahli-ahli PAC menjalankan tugas?
Setiap mesyuarat PAC, pengerusi akan mempengerusikan mesyuarat dan jika tidak hadir, naib pengerusi akan mengambil alih.
Setiap ahli dalam mesyuarat akan mengambil giliran untuk bertanya soalan kepada pegawai terlibat atau memberi pandangan terhadap isu yang sedang dibicarakan.
Pastinya, sebelum bermesyuarat, semua ahli harus membuat kerja rumah masing-masing. Jika isu itu dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara, kena bacalah laporan tersebut. Di situlah baharu boleh bangkitkan soalan tentang isu berbangkit.
Suka saya jelaskan, PAC terdiri daripada 14 ahli termasuk Pengerusi dan Naib Pengerusi yang dilantik melalui usul dalam Parlimen yang diluluskan Dewan. Manakala 12 ahli yang lain dilantik oleh jawatan kuasa pemilih yang membentangkan nama-nama tersebut di Parlimen.
Sejak Parlimen digantung, kerajaan membelanjakan sejumlah dana yang besar untuk mengurus wabak Covid-19 dan program vaksinasi. Adakah perincian setiap perbelanjaan ini diperiksa PAC?
Bukan semua isu PAC akan petik. PAC akan ambil mana yang dirasakan perlu untuk memanggil saksi hadir ke hadapan PAC bagi memberikan keterangan.
Kalau macam itu tak teluslah?
Isu yang diambil PAC tidak semestinya melibatkan salah guna kuasa atau rasuah. Ini tidak akan berlaku jika saksi yang hadir dapat meyakinkan ahli PAC tentang perbelanjaan tersebut. Pada akhirnya, PAC sendiri dapat membersihkan nama mereka.
Contohnya, pada 2019, PAC telah memanggil Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan untuk memberikan keterangan soal kerugian Khazanah pada 2018 dan 2019.
Di situ, jika rakyat menilai laporan yang dibentang berkenaan prosiding Khazanah, PAC memberikan laporan amat positif dan telah membersihkan nama mereka.
Jika isu serius melibatkan perbelanjaan yang besar dan mungkin ada kekeliruan atau isu yang menuntut PAC mendapatkan penjelasan, PAC akan ambillah isu isu.
PAC boleh mengambil isu daripada laporan Ketua Audit Negara. Katakan bagi sesuatu isu, PAC akan mengambil tiga atau empat isu sahaja dan lain-lain akan diserahkan kepada Ketua Audit Negara.
Bagaimana pula dengan keputusan kerajaan mengeluarkan dana dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988?
Sekali saya baca kenyataan akhbar bahawa kerajaan meminda akta ini bagi membenarkan pengeluaran wang semasa Covid-19, ini sesuatu yang mengejutkan.
Apabila kerajaan berbincang berkenaan penggunaan dana sebanyak RM3 bilion dalam Belanjawan 2021 untuk melaksanakan program vaksinasi, kerajaan tidak sebut langsung berkenaan dari mana dana itu akan diambil. Dan sekarang, sudah menjadi RM5 bilion itu pun diambil daripada dana KWAN.
Macam mana nak semak perbelanjaan ini?
Nampaknya dalam keadaan sekarang, pemantauan dari segi perundangan dan Parlimen adalah sifar. Selagi PAC digantung, memang tidak boleh buat apa-apalah.
Apa yang harus dilakukan adalah panggil untuk prosiding semula bagi membangkitkan isu ini. PAC harus semak semula kenapa dana untuk program vaksin naik RM2 bilion lagi.
Apabila sampai kepada PAC, memang tiada apa yang perlu disembunyikan. Maklum dan beri peluang kepada PAC untuk menyediakan laporan serta membentangkannya di Parlimen.
Apa perkembangan terkini selepas berlaku percanggahan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa PAC boleh menjalankan fungsinya sedangkan itu tidak berlaku?
Saya ada berbincang secara peribadi dengan beliau melalui Whatsapp. Saya kata, jika tidak dibenarkan bersidang, PAC tidak dapat menjalankan fungsi dan tanggungjawab sebagai semak dan imbang.
Saya meminta beliau untuk berbincang dengan Peguam Negara dan Speaker Dewan Rakyat tentang perkara ini. Hal ini amat penting kerana semasa pandemik berlaku peningkatan perbelanjaan secara mendadak dalam kerajaan.
Hubungan dengan Takiyuddin bagaimana?
Hubungan saya dengan beliau adalah baik. Saya mengenali Takiyuddin sejak tahun 2017 apabila masa itu saya adalah Naib Pengerusi PAC dan beliau juga ahli PAC.
Saya percaya beliau juga faham berkenaan kepentingan PAC. Jadi, saya berharap beliau dapat memastikan fungsi PAC berjalan semula dan paling penting Parlimen dapat bersidang.











