Sekarang prinsip politik hanya soal angka - Utusan Malaysia

Sekarang prinsip politik hanya soal angka

MUHAMMAD MUHAMMAD TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Sejak kebelakangan ini, borak-borak politik sama ada di kedai kopi mahupun di bilik berita, kebanyakan berkisar kepada isu sejauh mana kerajaan mampu bertahan.
Rakyat yang memerhati di bawah jadi gelisah. Di satu sudut, ‘gempa bumi politik’ yang menggoncang kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) merisaukan pemerhati, yang tak mahu Pakatan Harapan (PH) terutama DAP berkuasa kembali.
Di sudut lain pula, pihak lagi satu berpendapat kalau nak parti mereka memerintah, maka harus ada ‘penjajaran baharu’, lantas bertebarlah spekulasi kononnya ada perjanjian pintu belakang dengan seteru azali. Lebih haru-biru, disebut pula secara terang-terangan bahawa hubungan UMNO-Bersatu bakal dinisankan.
Persoalannya, sampai bila senario memeningkan ini harus ditelan oleh rakyat? Siapakah yang boleh diharapkan untuk menjadi nakhoda bagi mengemudi bahtera pertiwi, dalam menempuh fasa mencabar memperkasa agenda nasionalisme dalam era pandemik global ini?
Mendepani persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia FAHMI FAIZ, ROSHIHAN ANNUAR YUB dan AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN bertemu bual dengan bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib di kediamannya di Shah Alam. Ia turut dibantu jurufoto ZULFADHLI ZAKI dan juruvideo Mohd. Fikri Fadzil.

MINGGUAN MALAYSIA: Perkembangan terkini Tan Sri?
Saya macam biasa sahaja. Kita melihat dan membaca perkembangan yang ada pada hari ini, saya tengok seluruh dunia berubah dengan pandemik Covid-19. Malah semua berubah saya tengok, sangat berbeza berbanding semasa saya menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, sebagai Menteri dan Naib Presiden dulu.

Beza yang macam mana?
Dari aspek politiknya, dulu kita bergerak macam satu pasukan, gerakan yang bersatu. Ada matlamat, dan apa yang dibawa daripada bawah kepada bahagian, bahagian dibawa kepada negeri, seterusnya kepada Majlis Tertinggi UMNO (MT) sebelum dirumuskan. Itu semua ada susun lapis yang teratur. Apa yang diputuskan, itu menjadi keputusan yang dilaksanakan di peringkat pelaksana dasar.

Bagaimana Tan Sri lihat politik sekarang?
Sekarang sudah banyak sangat parti saya tengok, dah berpecah jadi banyak parti, banyak pihak dan pecahan. Dari pecahan pertama tahun 1952 bila Pas berpecah dengan UMNO, kemudian pecahan kedua, 1987 melalui Semangat 46, dan pecahan selanjutnya zaman reformasi Anwar Ibrahim pada 1998, sehinggalah kepada zaman sekarang ini, pecahannya terlampau banyak.

Apa kesannya?
Jadi, rakyat sebenarnya keliru dan rimas, tak berapa seronok bila tengok pecahan ini terlampau banyak sangat. Jadi tak tahu mana satu yang mempunyai kekuatan, yang boleh membawa kapal politik ini untuk meredah lautan yang bergelombang.

KEMBALI KEPADA UMNO
Tan Sri pernah meninggalkan UMNO, masuk Pas, kemudian PKR dan sekarang balik kepada UMNO. Mahu komen pasal itu?
Itulah yang berlaku sekarang pun dalam kalangan lain, jadi mungkin saya ini mendahului zaman lah (tertawa). Tengku Razaleigh pun macam itu juga dulu, Anwar Ibrahim keluar masuk, Dr. Mahathir keluar masuk berapa kali? Lepas pilihan raya 1969, dia berkempen atas pentas Pas. Lepas itu balik UMNO, keluar balik, kemudian tubuh pula Bersatu. Keluar lagi, sekarang buat pula Pejuang. Jadi saya pun sebahagian daripada budaya itu lah (tertawa).

Sekarang, sebagai Penasihat UMNO Selangor, apa tugas sebenar Tan Sri?
Menasihati parti, kita mengimbangi apa yang dilakukan, jadi tempat mereka nak merujuk. Ia jadi macam satu tempat untuk mengadu. Kalau di kampung-kampung, kita mengadu, minta pandangan daripada orang yang tua-tua, macam itulah ibaratnya.

BN, UMNO PASCA PRU-14
Adakah Tan Sri ramal, ‘kapal’ BN akan karam semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)?
Banyak sangat masalah ketika itu, faktor Tun Dr. Mahathir sendiri pergi dari satu tempat ke satu tempat, mengepalai satu gelombang yang dimunculkan. Sehingga orang percaya dengan apa juga yang dibawa oleh gelombang itu. Dengan janji PTPTN, janji minyak turun, Felda pun dah berhutang tinggi katanya, inilah yang dijanjikan sehingga Pakatan Harapan (PH) berjaya. Tapi selepas itu wujud arus yang menyurutkan gelombang itu tadi, gelombang itu sudah jadi surut.

Apa berlaku selepas itu?
Bila surut, sudah mula pula tarik menarik, tarik sana tarik sini. Sampailah hari ini, tarik menarik itu masih nampak macam berleluasa. Jadi soal prinsip itu sudah tak relevan.

Tak relevan maksudnya sudah tiada rasa kesetiaan pada parti?
Setia itu memang setia, tapi politik ini berkenaan art of numbers iaitu seni mengumpul angka. Kalau kamu ada angka, misalnya 222 kerusi Parlimen, maka hendak dapatkan 112 untuk jadi kerajaan, maka ia tentang angka. Oleh kerana angka itu jadi penting, maka semua pihak mencari formula untuk mendapatkan angka.

Jadi maksudnya, prinsip sekarang hanyalah demi nak dapatkan angka?
Ya, angka semata-mata. Kesetiaan jadi nombor dua, nombor satunya angka. Sebab masing-masing pandai mengira dan boleh menjangka mana satu yang akan diperoleh. Jadi di sini, kumpulan atau parti paling kecil pun sekarang dah jadi penting.

MASA DEPAN UMNO
UMNO masih relevan?
Pimpinan UMNO di bahagian akar umbi sangat komited, ketua cawangan misalnya, pada mereka parti ibarat menjadi darah daging dia. Mereka bukan tahu sangat apa yang berlaku di Kuala Lumpur atau Putrajaya. Saya dahulu Ketua Pemuda Cawangan, bukan tahu apa-apa di pusat sewaktu Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Kita taat setia kepada parti, pegang UMNO sebagai rumah kita, Mesyuarat Agung kita aturkan kekuatan. Itulah budaya UMNO, yang di bawah masih lagi kuat.

Maksudnya UMNO masih berpengaruh?
Ya, walaupun ada gelombang teknologi tanpa sempadan, seperti penggunaan WhatsApp misalnya yang boleh memecah belah, namun kesetiaan parti itu adalah budaya yang sudah sebati dalam UMNO. Jadi kalau ada parti lain yang cuba masuk ke kampung, itu memang tidak akan berjaya. Sebab di kampung-kampung, seperti sudah ada ‘penunggu’.
Ini adalah realitinya, kecuali pada PRU-14, yang mana ramai pengundi wujudkan ombak, tetapi sekarang sudah bertukar balik. Kembali ke asal apabila janji-janji pilihan raya lalu tidak dilaksanakan. Ini dibuktikan melihat kepada kejayaan UMNO memenangi setiap pilihan raya kecil (PRK). Jadi, pokoknya akar-umbi masih kuat.

MN
Sejauh mana gabungan UMNO-Pas dalam MN menghasilkan kekuatan politik yang hebat?
Pada hemat saya, UMNO salah satu parti yang mempunyai jentera akar umbi yang paling kuat. Kalau UMNO dan Pas bersatu, mereka pasti akan berjaya membentuk kerajaan akan datang, ia semudah itu. Kalau dua ini bergabung, mereka akan bentuk kerajaan. Malah angkanya (kerusi Parlimen yang banyak) pasti akan dapat. Kedua-dua ini bergabung, pilihan raya akan datang pasti akan memerintah kembali, bersama dengan Sabah, Sarawak lah.

Bagaimana pula dengan Bersatu?
Sekarang sudah ada Bersatu. Kalau mereka mahu ikut serta, jadi kena tengok siapa yang dominan. Kalau yang dominan itu UMNO, maka kena dengar suara UMNO. Tetapi UMNO pun, kena beri perhormatan kepada Bersatu. Sekarang ini, permainan politiknya berbeza, tak boleh macam pada satu ketika, dia terlampau dominan sangat. Sekarang ini, saya tengok, saya dengar macam-macam. Tapi saya tak kisahlah, sebab ini politik alaf baru, politik tahun 2021. Apa-apa kemungkinan boleh terjadi sekarang.

Mana lebih baik, UMNO bersama Pas (MN), atau bersama Pas dan Bersatu (PN)?
Kalau mahu ikutkan, kalau ketiga-tiga bergabung pasti akan menjadi kuat. Tetapi nampaknya, realitinya ialah yang paling dominan adalah UMNO dan Pas. Itu paling kuat. Jadi kalau dua ini solid, maka Bersatu harus hormati kekuatan itu. Jadi kalau mereka tahu untuk menghormati kekuatan dua gabungan itu, maka akan wujudlah satu hala tuju politik yang lebih kuat.

BACK DOOR DEAL
Baru-baru ini heboh ada back door deal antara UMNO-Anwar Ibrahim. Tidakkah ia akan pecahkan solidariti Melayu?
Bila keadaan sekarang macam ini, maka itu terpulang kepada pucuk pimpinan dan saya tak mahu komen. Sepatutnya kita menyatu, makin ramai lagi bersatu, makin cepat negara ini sihat dan pulih. Pada masa sama, kena angkat calon-calon muda, beri mereka semangat, jati diri, pemikiran, agama dan sebagainya.

Komen mengenai back door deal?
Ini saya nak beritahu, kita sudah pernah berkawan dengan semua itu dulu. Macam mana? Dr. Mahathir dah berkawan dengan DAP, Anwar pun berkawan dengan DAP, Tan Sri Muhyiddin pun berkawan dengan DAP malah Azmin Ali pun berkawan dengan DAP. Jadi kalau nak kata kononnya kita ini berteraskan perjuangan, kononnya dalam politik kita kata tak mahu DAP. Tapi, semua pemimpin itu pernah berkawan dengan DAP. Kadang-kadang mereka menang kerana sokongan DAP.

Maksudnya?
Kalau dia hanya dapat undi Melayu, mungkin dia kalah masa pilihan raya. Jadi undi Cina ini ya, katalah di satu tempat itu ada 55 peratus Melayu, 45 peratus Cina dan India. Cina, India ini, dia tujukan solid kepada satu calon yang mana ini berlaku semasa 2018, maka calon itu perlu hanya 10 peratus sahaaj undi Melayu, dan dia menang. Mungkin Tan Sri Muhyiddin pun dapat undi kaum Cina pada PRU-14.

Maksudnya, tak salahlah kalau UMNO buat penjajaran dengan DAP, PKR?
Sekarang tiada yang mustahil dah. Cakap-cakap politik sahaja, kononnya tak mahu DAP, tak mahu itu tak mahu ini. Tetapi kita dengar juga, ada orang A bincang dengan B, dia kata kita tak mahu ahli Parlimen yang bermasalah, tapi yang lain-lain itu boleh. Ini semua nak mencari jalan untuk bekerjasama. Ini lah politik 2021. Kita bukan lagi di era yang lama, jadi UMNO ini satu hari besok, dia boleh berkawan dengan sesiapa.

Adakah ini budaya yang sihat?
Ya lah, sama ada ia sihat atau tak, bergantung kepada persepsi masing-masing. Maka soalan ini tak relevan, ia hanya soalan untuk politik sahaja lah. Pasal di masa depan, angka itu yang penting.

KLUSTER MAHKAMAH
Segelintir top gun UMNO kini terpalit kes mahkamah. Sejauh mana mereka memberi kesan terhadap persepsi rakyat?
Saya fikir, kalau ikut budaya UMNO, kalau orang itu dihadapkan ke mahkamah, dia akan meletak jawatan. Itu tradisi UMNO. Dia mesti selesaikan di mahkamah. Apabila selesai dan didapati tak bersalah, dia boleh kembali.

Jadi wajarlah kumpulan ini berehat dari parti?
Ya, dan pemimpin-pemimpin dahulu semua macam itu. Tapi sekarang ini, saya lihat sekarang sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang, dua-dua bila terpalit pun masih jadi pemimpin. Jadi hendak kata orang belah sini saja salah, yang dia dahulu pun boleh juga.

PERISIK LUAR
Maksudnya, yang dulu ‘haram’ kini dah ‘dihalalkan’?
Sekarang ini, yang haram sudah jadi halal (tertawa). Jadi ini cara baru, boleh terima pula orang macam ini terus jadi pemimpin. Tapi saya fikir, rakyat yang mengundi akan ada rasa tak sedap. Kita kalau jadi pemimpin, kita kena ada kredibiliti. Sebab melalui kredibiliti, ia akan mempengaruhi pelbagai pihak.
Contohnya?
Orang luar misalnya, termasuk kedutaan punya wakil, mereka menitikberatkan soal ini. Saya beri contoh, ada kedutaan luar di Malaysia ini yang mempunyai perisik mereka sendiri, macam CIA juga. Kumpulan ini sentiasa buat analisis politik, dan sebarkan dalam dewan perniagaan mereka di Malaysia.

Analisis yang macam mana?
Dalam analisis itu, mereka akan selidik negara ini. Bercakap soal kredibiliti, secara tak langsung kalau soal kredibiliti ini dikompromi, mereka mungkin akan hantar laporan, “tak boleh keadaan politik macam ini”. Jadi ini akan menjejaskan pelaburan luar.

Maksudnya, kredibiliti pemimpin mempengaruhi ekonomi?
Benar. Kalau pelabur nak datang, tapi lepas rujuk kepada laporan itu tadi, maka mungkin mereka tak jadi datang. Sekali gus, kita akan hilang peluang pelaburan. Sepatutnya kita tak boleh ada masalah macam ni. Orang yang jadi pemimpin mesti dibersihkan dari isu tersebut. Ini kerana negara ini memang memerlukan pelaburan asing. Kita masih tak cukup kuat kalau hanya bergantung atas kapasiti dan diri kita sendiri.

UNDI 18
Setuju usia 18 dah boleh mengundi?
Dulu sudah elok 21 tahun, jadi kita maintain sajalah usia 21 tahun itu. Bukan kita kata budak 18 itu tak elok, tapi kita sudah ada cara lama macam itu. Jadi sudah elok, maka benda dah elok haruslah diteruskan.
Sedangkan sekarang sebenarnya, ada banyak perkara lain yang lebih penting yang perlu dibaiki. Agaknya sebab sibuk berebut-rebut kerusi sekarang, kadang-kadang sudah terlepas perkara yang lebih penting daripada undi 18 itu.   – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN